Monday, April 13, 2009

Hikmah Puasa

Oleh: Nur Azah Binti Adnan@Musa

Pendahuluan
Setelah sedia maklum puasa adalah rukun Islam yang keempat dari lima rukun. Setiap umat Islam wajib menunaikan rukun Islam ini kerana rukun Islam adalah rukun yang perlu dilakukan untuk memperlengkapkan kehidupan sebagai seorang umat Islam.
Dari apa yang telah saya baca dalam buku ini terdapat banyak input-input yang berguna untuk mengetahui apa itu istilah puasa dan hikmah-hikmahnya.
Selain itu buku ini juga amatlah sesuai dijadikan panduan untuk mengetahui selok belok, hikmah, falsafah, fadhilat serta keutamaan dalam berpuasa dan hal-hal yang sepatutnya diketahui oleh setiap individu umat Islam.

Pengertian Puasa
Berpuasa adalah rukun Islam yang keempat. Puasa (ash-Shiyam) menurut bahasa bermaksud al-Imsak iaitu menahan. Dari sudut istilah atau pengertian syar’i ialah menahan diri dari makan, minum dan hal-hal yang membatalkan puasa mulai terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari dengan niat beribadah kepada Allah s.w.t.
Jenis Puasa dan Hukumnya
Terdapat banyak jenis puasa dalam Islam. Antaranya adalah:
1. Puasa wajib iaitu puasa sebulan penuh pada bulan Ramadhan. Selain itu ialah puasa gadha’ iaitu puasa sebagai qadha atau menggantikan puasa bulan Ramadhan yang tertinggal kerana sebab syar’i. Antara lain ialah puasa nazar iaitu wajib berpuasa apabila suatu perkara yang diingin dan dicita-citakan tercapai selepas membuat nazar.
2. Puasa sunat (mustahab) iaitu puasa seperti puasa Isnin dan Khamis. Selain itu puasa enam hari Syawal.
3. Puasa makruh iaitu puasa yang dilakukan pada hari yang masih diragukan. Ini bermaksud ketentuan masuknya waktu Ramadhan belum jelas. Begitu juga puasa dengan menjadikan hari Jumaat atau hari-hari lain diluar waktu-waktu puasa yang ditentukan.
4. Puasa haram iaitu berpuasa pada dua Hari Raya dan juga berpuasa pada hari tasyri’ iaitu tiga hari setelah Aidiladha.

Syarat Wajib Puasa
Terdapat empat syarat wajib puasa yang wajib diketahui iaitu Islam. Islam ini bererti wajib puasa kepada semua muslim yang beragama Islam. Kedua iaitu berakal, ia tidak wajib kepada orang gila yang tidak sedar apa yang berlaku terhadap dirinya. Ketiga iaitu dewasa. Dalam konteks dewasa ini wajib bagi seorang muslim itu berpuasa sekiranya mereka sudah tahu membezakan antara yang baik dan buruk tentang sesuatu perkara itu. Dan yang keempat iaitu mampu, seorang muslim itu mestilah mampu dari segi mental dan fizikal untuk melakukan ibadah puasa itu.
Syarat Sah Puasa
Syarat sah puasa mengandungi enam syarat iaitu:
1. Islam : iaitu tidak sah puasa untuk orang kafir sebelum masuk Islam. Namun mereka akan dihukum di akhirat kelak kerana meninggalkannya.
2. Berakal : iaitu tidak sah puasa untuk orang gila sehingga kembali berakal.
3. Tamyiz : iaitu tidak sah puasa anak kecil sebelum dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk.
4. Tidak haid : iaitu tidak sah puasa wanita haid, sebelum suci dari haidnya.
5. Tidak nifas : iaitu tidak sah puasa wanita nifas, sebelum suci dari nifasnya.
6. Niat : mestilah berniat dari malam hari setiap hari dalam puasa wajib.
Bila Kanak-kanak Disuruh Berpuasa
Para-para ulama mengatakan kanak-kanak disuruh berpuasa jika ia kuat, hal ini bertujuan untuk melatihnya. Sebagaimana ia disuruh sembahyang pada umur 7 tahun dan dipukul pada umur 10 tahun jika enggan supaya terlatih dan membiasakan diri.

Perkara-perkara Sunat Ketika Berpuasa
Ketika melakukan ibadah puasa terdapat perkara-perkara sunat yang boleh dilakukan oleh umat Islam. Antara sedar dengan tidak sedar sahaja untuk kita melakukan perkara-perkara sunat ini untuk menambahkan pahala masing-masing. Ada enam sunat puasa. Yang pertama ialah melewatkan sahur hingga akhir waktu malam sehingga terbitnya fajar.
Kedua ialah segera berbuka puasa jika benar-benar matahari sudah terbenam. Ketiga pula ialah membanyakkan amal kebaikan terutamanya menjaga sembahyang lima waktu pada waktunya secara berjemaah, menunaikan zakat harta benda kepada orang-orang yang berhak menerimanya, membanyakkan sembahyang sunat, sedekah, membaca Al-Quran dan amal kebaikan lainnya.
Keempatnya ialah jika dicaci atau dimaki hendaklah tidak membalas cacian orang yang mencacinya itu tetapi membalas semua perbuatan itu dengan kebaikan supaya mendapat pahala dan terhindar dari dosa. Kelima pula ialah berdoa ketika berbuka sesuai dengan yang diinginkan. Contohnya “Ya Allah hanya untuk-Mu aku berpuasa, dengan rezeki anugerah-Mu aku berbuka. Maha Suci Engkau dan segala puji bagi-Mu. Ya Allah, terimalah amalku, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Dan yang terakhir sekali ialah berbuka dengan buah kurma yang masih segar, jika tidak ada maka bolehlah dengan kurma yang kering, dan jika tidak ada cukuplah dengan air sahaja.

Kelonggaran Dalam Berpuasa
Dalam soal berpuasa ini, Allah s.w.t ada beberapa rukhsah yang diberikan kepada umat Islam khususnya kepada wanita diantaranya:
1. Rukhsah tidak berpuasa bagi wanita hamil dan menyusukan anak. Rasulullah s.a.w. bersabda :
“ Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla meringankan puasa bagi musafir dan separuh dari sembahyang ; begitu juga puasa bagi wanita hamil dan menyusukan.”
(Riwayat Lima perawi dan disahihkan oleh Turmuzi)
Dalam hal ini mereka boleh membayar fidyah atau qadha.
2. Kelonggaran juga bagi orang tua yang sudah lanjut usia dan tidak mampu lagi berpuasa.
3. Mencicipi rasa makanan bagi kaum muslimah dan suri rumah. Sebagai orang yang paling banyak bekerja di dapur dan sebagai pengurus rumah tangga sudah tentu tidak boleh dipisahkan dari masakan. Oleh kerana itu mereka dibenarkan mencicipi makanan dengan ujung lidah mereka dan hal itu tidak sampai membatalkan puasa mereka.
4. Mengubati penyakit dengan suntikan. Pengubatan boleh dilakukan ketika puasa walaupun ia dengan cara suntikan sama ada melalui otot ataupun nadi. Tidak menjadi persoalan masuknya sesuatu ke dalam tubuh kerana tidak melalui yang biasa iaitu mulut.
5. Mandi, menggosok gigi dan berkumur-kumur.
6. Berciuman.
Dari Umar berkata, “Pada suatu hari ghairahku timbul lalu aku mencium isteriku padahal aku sedang berpuasa,” Maka aku datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Hari ini aku telah melakukan perkara besar, aku telah mencium isteriku sedangkan aku sedang berpuasa.”
Maka sabda Rasulullah, “Bagaimana pendapatmu jika kamu berkumur-kumur dengan air padahal kamu puasa?” “Ia tidak mengapa?” jawabku. “Maka lebih-lebih lagi yang engkau tanyakan?”
(Riwayat Abu Daud Ahmad dan Nasa’I; menurut Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban serta Hakim, hadis ini adalah sahih)
Perkara-perkara Yang Membatalkan Puasa
1. Makan dan minum dengan sengaja. Jika dilakukan kerana lupa maka tidak batal puasanya itu.
2. Jimak (bersenggama).
3. Memasukkan makanan ke dalam perut. Termasuk dalam hal ini ialah suntikan yang mengenyangkan dan transfuse darah bagi orang yang berpuasa.
4. Mengeluarkan air mani dalam keadaan terjaga kerana onani, bersentuhan, ciuman atau sebab lainnya dengan sengaja. Adapun keluar mani kerana mimpi tidak membatalkan puasa kerana keluarnya tanpa sengaja.
5. Keluar darah haid atau nifas. Kalau seorang wanita mendapati haid atau nifas, batallah puasanya sama ada pada pagi hari atau petang hari sebelum terbenam matahari.
6. Sengaja muntah iaitu mengeluarkan minuman atau makanan dari perut melalui mulut.
7. Murtad dari Islam. Perbuatan ini menghapuskan segala amal kebaikan.
Firman Allah s.w.t.
“Seandainya mereka mempersekutukan Allah, nescaya lenyaplah dari mereka amalan yang telah mereka kerjakan”
(Al-An’am:88)
Adab Puasa
Terdapat banyak adab-adab berpuasa. Sebagai muslim yang berpuasa kita mestilah mengetahuinya dan mudah-mudahan Allah s.w.t merahmati. Puasa tidak sempurna jika tidak mengetahui enam perkara ini iaitu :
1. Menundukkan pandangan serta menahannya dari pandangan-pandangan liar yang tercela dan dibenci.
2. Menjaga lisan dari bercakap tidak keruan, mengumpat, mengadu domba dan berdusta.
3. Menjaga pendengaran dari mendengar setiap yang haram atau yang tercela.
4. Menjaga anggota tubuh lainnya dari perbuatan dosa.
5. Hendaklah tidak membanyakkan makan.
6. Setelah berbuka, hendaklah hatinya antara takut dan harap. Ini adalah kerana ia tidak tahu apakah puasanya diterima, sehingga ia termasuk orang-orang yang dekat kepada Allah s.w.t ataukah ditolah sehingga ia termasuk orang-orang yang dimurkai.

Kesimpulan
Terdapat banyak hikmah-hikmah yang Allah s.w.t berikan kepada kita umatnya dalam berpuasa ini. Setiap umat Islam wajib menunaikan rukun Islam ini kerana rukun Islam adalah rukun yang perlu dilakukan untuk memperlengkapkan kehidupan sebagai seorang umat Islam.
Salah satu perkara yang jelas sekali adalah dengan berpuasa kita boleh mengawal segala nafsu-nafsu jahat yang ada di sekeliling kita.Setelah sedia maklum puasa adalah rukun Islam yang keempat dari lima rukun. Dari apa yang telah saya baca dalam buku ini terdapat banyak input-input yang berguna untuk mengetahui apa itu istilah puasa dan hikmah-hikmahnya.
Selain itu buku ini juga amatlah sesuai dijadikan panduan untuk mengetahui selok belok, hikmah, falsafah, fadhilat serta keutamaan dalam berpuasa dan hal-hal yang sepatutnya diketahui oleh setiap individu umat Islam.


Rujukan
1. Jaddid Hatayak, Syeikh Muhammad al-Ghazali, Darul Kitab al -‘Arabi.
2. Pembersihan Jiwa, Ibnu Atha’illah Sukandari, Terjemahan Abu Jihaduddin al-Hanif, Putra Pelajar, 2001.
3. Hakikat Makrifat, Syeikh Ibnu Atha’illah Sukandari disusun semuka oleh Ustaz Labib MZ.
4. Kitabun Nazhar wal Ahkam fi Jami’i Ahwalis Suuq, Imam Yahya bin Umar Al-Andalusi, Asy-Syirkah At-Tunisiah lit Tauzi’, cet. 1975M.
5. Abu Muhammad Rasyid Ridha, Ciri Dan Fungsi Wanita Solehah, Solo, Al-Alaq.
6. Al-Hamidi, Wanita Hari ini Kini dan Esok.
7. Al-Manak Watan, Wanita Daiyah yang Sukses.
8. Al-Quran terjemahan Depag RI.
9. A. Hasan, Pengajaran Sembahyang, Bandung, Diponegoro.
10. Syayid Sabiq, Fiqhus Sunnah.
11. Siri Keajaiban Rukun Islam, Hikmah Puasa, Rukun Ke-4, Dimensi Fiqah & Kerohanian, pengarangnya Ahmad Syafi’i Khatib.

No comments:

Post a Comment