Oleh: Mohd Ilham Bin Hairon
Bersyukur ke hadrat Tuhan kerana dengan limpah kurnianya akhirnya dapat juga saya menyiapkan tugasan yang diberikan ini. Berkat kesabaran dan kesungguhan semua pihak, dan dengan keizinan-Nya, siaplah sudah tugasan ini.
Ingin saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam proses pembikinan tugasan ini. Terima kasih juga kepada pensyarah saya, Ustaz Aziz bin Harji, kerana memberi tugasan ini yang mana telah menambahkan pengetahuan saya terutamanya mengenai kandungan Surah Al-Kahfi.
Juga kepada rakan-rakan yang membantu secara tidak langsung untu menyiapkan tugasan ini.Sekian, terima kasih.
PENGENALAN
Surah ini terdiri atas 110 ayat, termasuk golongan surat-surah Makkiyyah. Dinamai Al-Kahfi, ertinya Gua dan Ashabul Kahfi yang ertinya Penghuni-Penghuni Gua. Selain cerita tersebut, terdapat juga beberapa buah cerita dalam surah ini, yang kesemuanya mengandung iktibar dan pengajaran yang amat berguna bagi kehidupan manusia. Banyak hadis-hadis dari baginda Rasulullah s.a.w. yang menyatakan keutamaan dan kelebihan membaca surah ini. Antara isi kandungan surah adalah Kekuasaan Allah swt untuk memberi daya tahan hidup pada manusia di luar hukum kebiasaan; dasar-dasar tauhid serta keadilan Allah s.w.t. tidak berubah untuk selama-lamanya; kalimat-kalimat Allah (ilmu-Nya) amat luas sekali, meliputi segala sesuatu, sehingga manusia tidak mampu menulisnya. Kepastian mengenai akan datangnya hari kebangkitan; Al Quran adalah kitab suci yang isinya bersih dari kekacauan dan kepalsuan. Selain itu terdapat juga dasar hukum Wakalah (berwakil); mengenai larangan membangun tempat ibadah di atas kubur; tentang hukum membaca "Insya Allah", juga perbuatan salah yang dilakukan kerana lupa adalah dimaafkan; tentang kebolehan merosak suatu barang untuk menghindarkan bahaya yang lebih besar; juga Cerita Ashhabul Kahfi; cerita dua orang laki-laki yang seorang kafir dan yang lainnya mukmin; cerita Nabi Musa a.s. dengan Khidhr a.s.; dan cerita Dzulkarnain dengan Ya'juj dan Ma'juj.
Dalam surat al-Kahfi, Allah SWT menceritakan tiga kisah pada masa lalu, iaitu kisah Ashabul Kahfi, kisah pertemuan Nabi Musa as dan Nabi Khidzir as serta kisah Dzulqarnain. Kisah Ashabul Kahfi mendapat perhatian lebih dan digunakan sebagai nama surah dimana terdapat tiga kisah tersebut. Hal ini bukanlah kebetulan semata-mata, tapi kerana kisah Ashabul Kahfi, seperti juga kisah dalam al-Quran lainnya, bukan merupakan kisah semata-mata, tapi juga terdapat banyak pelajaran dan pengajaran (ibrah) didalamnya.
“Dengan izin Allah mereka kemudian ditidurkan selama 309 tahun di dalam gua, dan dibangkitkan kembali ketika masyarakat dan raja mereka sudah berganti menjadi masyarakat dan raja yang beriman kepada Allah SWT”, (Ibnu Katsir; Tafsir al-Quran al-'Adzim; jilid:3 ; hal.67-71).
Mereka adalah para pemuda yang diberi petunjuk oleh Allah Ta’ala serta mengilhami keimanan mereka, sehingga mereka mengenal Allah dan mengingkari kepercayaan kaum mereka yang menyembah berhala. Mereka yang mengadakan pertemuan untuk membicarakan masalah akidah mereka disertai dengan perasaan takut akan kekejaman dan kekerasan kaum mereka, seraya berkata, ertinya,
Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk. (SURAH AL-KAHFI AYAT 14)
Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk disembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka)? Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?
(SURAH AL-KAHFI AYAT15)
Dan apabila kamu meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain Allah, maka carilah tempat berlindung ke dalam gua itu, nescaya Tuhanmu akan melimpahkan sebagian rahmat-Nya kepadamu dan menyediakan sesuatu yang berguna bagimu dalam urusan kamu**
**Perkataan ini terjadi antara mereka sendiri yang timbulnya kerana ilham dari Allah SWT
(SURAH AL-KAHFI AYAT 16)
ISI-ISI CERITA
Ashabul Kahfi adalah merupakan nama gelaran sekelompok pemuda yang beriman yang hidup di zaman pemerintahan Raja Dakyanus (Decius) yang memerintah jajahan Empayar Rom Timur di Turki, di sebuah kota bernama Aphesus, atau disebut juga dengan nama Tharsus. Tetapi nama kota itu pada zaman dahulu ialah Aphesus (Ephese). Setelah Islam datang, barulah kota itu berubah nama menjadi Tharsus (Tarse, sekarang terletak di dalam wilayah Turki) beberapa ratus tahun sebelum diutusnya Nabi Isa as. Pada asalnya pemerintah negeri tersebut ialah seorang yang baik.
Tetapi,selepas kematian beliau, seorang raja yang zalim lagi kejam iaitu Raja Dakyanus telah menyerang dan mengambil alih kawasan tersebut. Raja tersebut telah mengarahkan semua mayarakat kota ketika itu untuk menyembah berhala dan mengakui bahawa dirinya sebagai tuhan.
Ketika itu, si raja dapat mengetahui terdapat sekelompok penduduk yang tidak mahu menyembah berhala,dan beliau naik marah lalu memanggil mereka dan memerintahkan mereka untuk menganut kepercayaan beliau. Tapi pemuda-pemuda tadi,Ashabul Kahfi, menolak dan melarikan diri, dan dikejar oleh orang-orang Raja tersebut untuk dibunuh. Ketika mereka lari dari berkejaran dengan pasukan raja, mereka sampai mereka di mulut sebuah gua yang kemudian dijadikan tempat persembunyian. Gua tersebut diberi nama Washid, atau Keram.
Antara pemuda-pemuda yang terlibat dalam peristiwa ini adalah Tamlikha, Zunuwanus, Maksalmina, Nainunus, Martunus, Sabunus dan Pulyatynus. Di samping itu,terdapat juga seekor anjing yang bernama Qithmir, milik seorang pengembala yang juga salah seorang daripada mereka, dimana anjing tersebut telah bertugas menjaga pintu gua tersebut. Pemuda-pemuda tersebut menaiki sebuah bukit yang bernama Naglus atas cadangan si pengembala tadi.
Setelah itu, mereka berjalan menghampiri gua tersebut. Setelah tiba waktu malam, mereka masuk berlindung di dalam gua dan Qithmir, si anjing itu berjaga-jaga di pintu gua sambil menjulur-julurkan kakinya ke depan.
Kemudian Allah SWT telah memerintahkan Malaikat Maut supaya mencabut nyawa mereka bertujuh. Kepada masing-masing dari mereka Allah SWT telah mewakilkan dua Malaikat untuk membalik-balik tubuh mereka dari kanan ke kiri. Allah lalu memerintahkan matahari supaya pada saat terbitnya condong dan memancarkan sinarnya ke dalam gua dari arah kanan, dan pada saat hampir terbenam supaya sinarnya mulai meninggalkan mereka dari arah kiri.
Maksud nya : “Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan, dan bila matahari terbenam menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu. Itu adalah sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Allah. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barangsiapa yang disesatkanNya, maka kamu tidak akan mendapatkan seorang pemimpin pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya”. (SURAH AL-KAHFI AYAT 17)
Maksud nya : “Dan kamu mengira mereka itu bangun, padahal mereka tidur; Dan kami balik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan diri dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi oleh ketakutan terhadap mereka”. (SURAH AL-KAHFI AYAT 18)
Pada ketika di Istana, Raja Dakyanus telah bertanyakan tentang enam orang pembantunya.Raja Diqyunius menjadi gusar dan marah mendengar berita mereka melarikan diri. Bersama tentera-tentera berkudanya Raja Diqyunius pergi menjejaki keenam-enam orang tersebut. Lalu dia sampai ke pintu gua pemuda-pemuda itu.
Kerana terlalu marah, Raja Dakyanus memanggil tukang-tukang batu lalu menyuruh mereka menutup pintu gua itu serapat-rapatnya menggunakan batu-batuan. Ditinggalkan mereka di dalam gua itu tanpa diusik oleh sesiapa selama 309 tahun. Kemudian Allah telah membangkitkan mereka semula daripada tidur yang panjang itu. Pemuda-pemuda tersebut mula merasa lapar dan menyuruh salah seorang dari mereka keluar ke kota membeli makanan.
Maksud nya : “Dan mereka tinggal dalam gua mereka tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun (lagi).” (SURAH AL-KAHFI AYAT 25)
Maksud nya: “Katakanlah, "Allah lebih mengetahui berapa lamanya mereka tinggal (di gua). Kepunyaan-Nya-lah semua yang tersembunyi di langit dan di bumi. alangkah terang penglihatan-Nya dan alangkah tajam pendengaran-Nya. Tidak ada seorang pelindungpun bagi mereka selain dari pada-Nya, dan dia tidak mengambil seorangpun menjadi sekutu-Nya dalam menetapkan keputusan." (SURAH AL-KAHFI AYAT 26)
Maksud nya : “Dan Demikianlah kami bangunkan mereka agar mereka saling bertanya di antara mereka sendiri. berkatalah salah seorang di antara mereka: sudah berapa lamakah kamu berada (disini?)". mereka menjawab: "Kita berada (disini) sehari atau setengah hari". Berkata (yang lain lagi): "Tuhan kamu lebih mengetahui berapa lamanya kamu berada (di sini). Maka suruhlah salah seorang di antara kamu untuk pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik, Maka hendaklah ia membawa makanan itu untukmu, dan hendaklah ia berlaku lemah-lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan halmu kepada seorangpun.” (SURAH AL-KAHFI AYAT 19)
Seorang daripada pemuda tersebut, Tamlikha telah meminta dirinya untuk ke kota. Sampai di sana beliau melihat bendera berwarna hijau berkibar di pintu gerbang kota yang bertulis “Tiada Tuhan selain Allah dan Isa adalah Roh Allah.” Tamlikha lalu berjalan menuju ke arah sebuah kedai roti. Kepada penjual roti itu ditanyakannya pelbagai jenis soalan, dan dari penjual roti itulah juga Tamlikha sedar bahawa dia telah berada di zaman yang lain. Penjual roti itu menyangka bahawa Tamlikha telah terjumpa dengan harta karun, lalu dibawanya kepada Raja Abdurrahman, pemerintah negeri tersebut.
Raja Abdurrahman yang adil telah mendengar penjelasan Tamlikha, dan disuruhnya Tamlikha untuk menyebut nama-nama yang dia kenali pada zaman dahulu. Tetapi tiada seorang pun yang disebut Tamlikha yang masih hidup. Lalu dia dibawa ke rumahnya yang dahulu yang masih kekal di tempat yang paling tinggi di kota itu. Seorang tua penghuni rumah itu telah mengaku bahwa Tamlikha adalah datuknya selepas mendengar nama Tamlikha anak Filistin. Maka benarlah kisah yang diceritakan nabi Isa kepada mereka, kata orang tua itu.
Mereka yang telah menyaksikan peristiwa ini terus memuji-muji kebesaran Allah S.W.T. Lalu di bawa dua pemerintah dari kota itu untuk berjumpa dengan teman-temannya yang lain di gua tersebut. Setelah diceritakan kepada teman-temannya, lantas mereka bersyukur dan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah S.W.T. atas kejadan yang berlaku. Melihat peristiwa yang menakjubkan ini, kedua-dua pemerintah itu bertengkar untuk membina rumah-rumah ibadah mereka dia atas gua tersebut. Akhirnya, sebuah gereja Nasrani telah dibina di atas gua itu.
RUMUSAN MENGENAI SURAH AL-KAHFI
Ayat kesepuluh surah ini telah menjelaskan kepada kita bahawa para pemuda tersebut mencari tempat perlindungan di sebuah gua dari pemerintahan zalim. Pemerintahan tersebut menyebabkan mereka tidak mungkin dapat mengungkap pandangan mereka, menjelaskan kebenaran, dan menyerukan agama Allah. Oleh kerana itu, mereka telah menjauhkan diri mereka dari masyarakat.
Akan tetapi, hal ini seharusnya tidak difahami sebagai waktu tanpa kerja yang jauh dari masyarakat, kerana mereka telah pergi ke sana sambil memohon rahmat dan bantuan Allah. Mereka juga berupaya untuk memperbaiki dan mengembangkan diri mereka sendiri. Umat Islam di Hari Akhirat nanti yang berada di bawah pemerintah yang menindas akan juga menyembunyikan diri dan berharap kepada Allah untuk memberikan rahmatNya atas mereka, dan juga memudahkan kehidupan dan perjuangan mereka atas gerakan-gerakan anti-agama.
Alasan ditidurkan olehNya Ashabul Kahfi adalah penyerahan diri terhadap takdir dan kedamaian, kerana Allah, Yang telah menciptakan alam semesta tanpa, telah mengatur segala sesuatu demi kemaslahatan umat Islam. Di zaman sekarang, sebagian umat Islam telah mengambil pendirian yang sama secara spiritual. Dengan cara ini, mereka tidak dipesongkan oleh fahaman materialis yang berupaya menjauhkan masyarakat dari iman mereka, dan juga tidak tersentuh oleh kekerasan yang diarahkan oleh fahaman-fahaman ini.
Oleh kerana itu, mereka dapat terus hidup menuruti Al Qur'an tanpa dipengaruhi oleh kehancuran akhlak, kekejaman, dan kekacauan yang ada di sekitarnya. Ashabul Kahfi telah tertiduri selama beberapa ratus tahun dan Allah telah membangkitkan mereka pada waktu yang ditentukan-Nya.
Kisah Ashabul Kahfi, meskipun sangat mengagumkan, bukanlah merupakan tanda kekuasaan Allah SWT yang paling mengagumkan, kerana Allah SWT juga memiliki tanda-tanda kekuasaan tersendiri dan kisah-kisah lain yang di dalam Al-Quran yang terdapat pengajaran berharga bagi orang-orang yang merenungkannya.
Bahawa orang yang memohon perlindungan kepada Allah SWT, maka Allah akan melindungi dan menyayanginya, dan menjadikannya sebab-sebab untuk menunjukkan kepada orang-orang yang sesat. Allah SWT telah melindungi Ashabul Kahfi dari tidur mereka yang cukup lama dengan memelihara keimanan dan tubuh mereka dari gangguan serta pembunuhan oleh kaum mereka dan Allah SWT menjadikan bangun mereka dari tidur sebagai tanda kesempurnaan kekuasaanNya, kebaikanNya yang banyak dan bermacam-macam lagi, supaya hamba-hambaNya mengetahui bahawa janji Allah SWT pastinya benar.
Adalah perintahNya untuk menuntut ilmu-ilmu yang bermanfaat dan membincangkannya, adalah kerana Allah Ta’ala telah mengutus mereka untuk tujuan tersebut dan mengilhami antara mereka melalui dialog dan perbincangan sehingga diperoleh bukti-bukti dan pengetahuan bahawa janji Allah pasti benar dan sesungguhnya kiamat itu pasti terjadi tanpa ada keraguan di dalamnya.
Surah ini juga adalah berkenaan dengan etika seseorang yang merasa ragu mengenai sesuatu ilmu, maka hendaklah ia kembali kepada gurunya dan berusaha untuk memahami pelajaran tersebut.
Daripada Muaz Ibnu Anas Al-Juhari, daripada bapanya, daripada Nabi SAW baginda bersabda:
“Sesiapa membaca dari Surah Al-Kahfi, maka jadilah baginya cahaya daripada kepala hingga kakinya dan sesiapa yang membaca keseluruhannya, maka jadilah baginya cahaya antara langit dan bumi.” (HR Ahmad)
Daripada Umar beliau berkata, Nabi SAW telah bersabda:
“Sesiapa membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit, untuknya di hari kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat.” (HR Ibnu Katsir)
Monday, April 13, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment