Monday, April 13, 2009

Enam Asas Dan Pedoman Kehidupan Muslim

Oleh: Khairul Anwar Bin Husin

Pengenalan
Enam Asas Dan Pedoman Kehidupan Muslim ini mengisahkan perkara-perkara penting bagi seseorang individu muslim dalam menjadi insan yang berguna dan berilmu. Tajuk ini juga menerangkan bagaimana untuk kita mengamalkan keenam-enam asas itu dan menyebarkan kepada individu muslim yang lain. Ia juga member peringatan bahawasanya kita ini hanyalah hamba Allah SWT dan kita tidak boleh membuat sebarang kerosakan atau pun kemungkaran di atas muka bumi ini. Enam asas ini akan dapat mengubah individu itu menjadi muslim yang sejati jika diamalkan keenam-enam perkara itu.

ENAM ASAS DAN PEDOMAN KEHIDUPAN MUSLIM

Akal

1.Akidah dan keimanan kepada Allah hendaklah berterusan hingga ke akhir hayat. Jika tidak maka perintah dan larangan Allah tidak ada ertinya. Tiap orang harus menjadi pengawas terhadap dirinya sendiri.

”Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu untuk bermain-main (saja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami ?” (al-Mu’minun 115)

2.Penyembahan berhala, patung dan arca menunjukkan akal fikiran manusia yang paling rendah. Sebelum Islam ada orang tertentu yang mengaku pemimpin agama mengangkat dirinya sebagai perantara antara manusia dengan Tuhan atau sebagai Tuhan. Mereka menggunakan agama untuk menguasai akal fikiran manusia, menyesatkan mereka dengan mantera dan bacaan yang hanya diketahui oleh mereka sahaja, dan semua peribadatan haruslah mengikut cara mereka.

3.Tugas Rasulullah hanyalah berdakwah dan tugas pengikutnya ialah melaksanakan ajaran agama. Rasulullah bukanlah pembuat syariat, peraturan hukum dan undang-undang. Semua adalah dari Allah SWT.

”Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan. Dan bagi tiap-tiap kaum ada orang yang memberi petunjuk kepadanya.” (Ar-Ra’ad 7)

”Hai Rasul sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan berarti kamu tidak menyampaikan amanatNya. Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.” (Al-Maidah 67).

”Tidakkah mereka mengetahui bahawasanya Allah menerima taubat dari hamba-hambaNya ?” (At-Taubah 104)

Yang memberi pengampunan atas permohonan taubat dari manusia hanyalah Allah. Nabi dan Rasul tidak mampu mengampuni dosa manusia.

Ilmu Pengetahuan
Rasulullah SAW mewajibkan sahabat yang pandai mengajar yang tidak pandai. Kaum yang kurang pandai diwajibkan belajar. Dan sesiapa yang tidak mahu belajar atau mengajar, dia akan dianggap melanggar hak masyarakat dan diancam hukuman di dunia dan di akhirat.
Pada 14 abad yang lalu Islam sudah melaksanakan kewajipan untuk belajar bahkan kewajipan mengajar. Kewajipan belajar harus dilaksanakan sebelum masyarakat dihinggapi penyakit malas dan beku.

Tawanan perang Badar yang tidak ditebus oleh keluarganya kerana tidak berkemampuan, akan dibebaskan sesudah menunaikan tugas mengajar anak-anak muslim sebagai imbalan pelepasannya. Ini menunjukkan bahawa Ialam amat menitikberatkan soal ilmu pengetahuan dalam kehidupan manusia. Ini kerana, ilmu itu adalah pelita hidup kita di dunia dan di akhirat. Tanpa ilmu, kita akan mudah ditipu dan dipermain-mainkan.

Peribadi
Ibadah dalam Islam mengarah kepada penyucian jiwa, tubuh dan harta. Ibadah merupakan makanan bagi kesuburan dan kelangsungan hidup keimanan.
Tanpa makan dan minum tubuh manusia akan mati. Begitu juga tanpa ibadah, keimanan akan mati. Ibadah hanya kepada Allah dan bukan kepada makhluk lain. Pada dasarnya semua ibadah dilarang kecuali yang disyariatkan Allah dan dicontohkan oleh Rasulullah.
Di zaman moden ini, kita sering kali mendengar tentang isu-isu ajaran sesat yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Para pengikutnya terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Jadi, kita haruslah mencegah diri kita dan orang lain dari terjebak dalam ajaran sesat. Untuk itu, kita hendaklah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sosial Kemasyarakatan
Kehidupan manusia bersifat kemasyarakatan dan bukan individu (perorangan ). Islam mengharuskan persamaan dan mengutuk diskriminasi warna kulit, darah dan daging. Paling mulia di sisi Allah SWT adalah orang yang bertakwa. Sebagai manusia, kita harus melaksanakan keadilan sosial, kasih sayang, tolong menolong melalui kebajikan dan takwa, pembahagian zakat, hak waris bagi wanita, mengakui hak milik perorangan, aturan nikah, berkeluarga dan berumah tangga. Manusia juga tidak boleh menggugat kepentingan masyarakat. Dalam masyarakat, kerjasama dan bertolak ansur adalah penting untuk menjana masyarakat yang harmoni dan aman. Ini kerana, dengan sikap kerjasama dan bertolak ansur, kita dapat menyelesaikan segala masalah dan dapat mencegahnya sebelum ia merebak. Pendek kata ‘‘Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh“.

Hukum
Tujuan perang atau penggunaan senjata hanyalah untuk mencapai keamanan dan perdamaian. Kita haruslah taat kepada Allah, Rasulullah dan para pemerintah. Kita juga harus tunduk kepada undang-undang negara yang dipersetujui. Pemerintah haruslah berwibawa dalam melaksanakan hukum, dan mampu menjatuhkan hukum. Pemerintah juga harus bijak menyedarkan masyarakat melalui pertimbangan akal, hati nurani, dan ancaman denda yang berat. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan masyarakat patuh dan takut melakukan kesalahan. Pemerintah juga haruslah patuh kepada undang-undang dan hukum yang telah ditetapkan. Ini kerana, pemerintah adalah ketua kepada rakyat dan rakyat akan mengikut apa sahaja yang diperintahkan dan menurut apa yang dilakukan.

Akhlak ( Moral )

Tiap manusia harus menjadi anggota masyarakat yang berguna. Hendaklah sentiasa bersiap sedia, serius, gigih, berketerampilan dan mampu bersaing.
Sabda Rasulullah SAW :
”Allah menyenangi hambaNya yang bekerja”
”Sesungguhnya Allah senang kepada orang bila dia bekerja dengan baik dan dengan keahlian”
Al Imam Bukhori berkata :
”Saya mengutuk orang yang tidak punya pekerjaan untuk dunia mahupun akhirat”

Islam memerintahkan pengurangan pengangguran. Penganggur yang mempunyai wang tetapi tidak berakhlak akan merosakkan dan merugikan masyarakat.

Sabda Rasulullah SAW :
”Sebaik-baik manusia yang bisa memberi manfaat kepada orang lain”.

Runtuhnya akhlak bererti runtuhnya umat dan bangsa.

Kesimpulan
Sebagai manusia kita haruslah memegang dan mengamalkan asas dan pedoman. Ini kerana keenam-enam asas dan pedoman itu merupakan halatuju ke arah keamanan, kesejahteraan dan kedamaian. Setiap asas-asas itu mempunyai kelebihan dan pengajaran yang tersendiri. Ia juga dapat menghalang manusia melakukan kerosakan, huru-hara dan kacau-bilau dalam sesebuah masyarakat. Ada juga yang dapat memupuk manusia agar menjadi seorang insan yang berguna kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara. Jadi kita kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini wajib berpegang teguh pada asas-asas ini.

No comments:

Post a Comment