Monday, April 13, 2009

Perlukah pendidikan seks di utamakan?

Oleh: Amrina Binti Abdullah

Suatu pertanyaan yang tidak begitu sahaja dapat dijawab, sebelum kita mengetahui beberapa persoalan.

1. apakah itu seks?
2. apakah itu pendidikan seks dan apa tujuannya?
3. siapakah yang mengajar pendidikan seks?
4. apakah Islam tidak mempunyai pendidikan seks?
5. sudahkan ada di dunia ini,negara yang telah melaksanakan pendidikan seks bagaimana hasilnya?
6. Islam Mengajar Cara Mendidik Seks.
7. Pendidikan seks dan Agama Islam .

1. Apakah Itu Seks ?

Salah satu dari erti seks ialah Nafsu Syahwat iaitu suatu kekuatan pendorong hidup yang mempunyai beberapa nama di antaranya insting atau naluri yang dimiliki manusia. Naluri yang dimiliki lelaki dan perempuan yang mempertemukan mereka bagi meneruskan kelanjutan keturunan manusia.
Nafsu syahwat ini telah ada sejak manusia lahir di muka bumi ini lagi iaitu semasa mereka menyusu dengan ibu mereka. Mereka mula menghayatinya apabila kedua bibirnya bertemu dengan puting buah dada ibunya untuk menyusui kerana lapar. Inilah rasa seks pertama yang dialami manuasi.

Menurut FREUD seks berkembang melalui beberapa fasa iaitu;
• Fasa 1 - fasa oral(mulut atau bibir), berlaku pada usia 1-2 tahun
• Fasa 2 - dubur, berlaku pada usia 2-3 tahun di mana bayi akan merasai mereka ingin membuang air besar dan sering kali kita lihat pada tahap ini bayi memakan tahinya sendiri.
• Fasa 3 - zakar, iaitu bayi lelaki mengetahui mereka mempunyai alat kelamin yang dipanggil zakar. Berlaku pada usia 3-5 tahun.
• Fasa 4 – fasa di mana seks tidak menonjol, berlaku sejak mereka memasuki alam persekolahan. Berlaku sehingga ke alam remaja.
Perkembangan seks ini lebih menonjol pada anak lelaki berbanding dengan anak perempuan.
• Fasa 5 – fasa di mana kalenjar dan alat kelamin mula berfungsi serta perhatian seks terhadap lelaki dan perempuan yang berbeza dan pada tahap ini mereka akan menjadi manusia seksual.
Bagi anak lelaki fasa ini akan berlaku dalam lingkungan umur 16 tahun dan bagi anak perempuan seawal umur 12 tahun dengan perkembangan yang sangat berbeza.

Anak lelaki
Akil baligh atau tahap matang bagi anak lelaki berlaku apabila mereka bermimpi melakukan hubungan seksual dengan perempuan dengan mengeluarkan air mani disertai dengan rasa nikmat yang dianugerahkan oleh ALLAH swt. Mimpi ini dinamakan mimpi basah kerana mengeluarkan air mani di bahagian alat sulitnya.
Selepas peristiwa ini, anak lelaki akan mengalami perubahan yang ketara pada diri mereka seperti perubahan dalam bentuk badan yang makin membesar, suara menjadi lebih kasar, jiwanya mulai tertarik kepada perempuan.

Anak perempuan
Bagi anak perempuan, mereka akan mengalami pendarahan yang keluar dari farajnya, yang dinamai haid pertama, yang sering memberikan rasa ketakutan, tidak selesa dan yang jelas mereka tidak merasai nikmat seks, seperti mana yang dirasai oleh anak lelaki semasa tibanya akil baligh.
Mereka juga akan mengalami perubahan dalam bentuk fizikal dan rohaniah akibat kalenjar kelaminnya mulai berfungsi mengeluarkan telur pada setiap bulan iaitu ovum. Di antaranya ialah perubahan bentuk badan,buah dada mulai membesar dan mula menginginkan lelaki yang ideal, taat, pelindung serta mempunyai sifat pemimpinnya.

Tindakan seksual yang dilarang oleh Islam selepas akil baligh:
• Onani, iaitu memuaskan nafsu dengan merangsang alat kelamin sehingga mencapai kepuasan seks dengan diri sendiri.
• Homoseks, bagi perempuan yang mempunyai sifat lesbian iaitu mencari kepuasan seks dengan kaum sejenis baik secara rangsangan atau melalui hubungan seksual.
• Liwat, bagi lelaki iaitu memuaskan nafsu seks melalui rangsangan dengan merangsangkan zakar masing-masing atau memasukkan zakar ke dalam dubur pasangannya iaitu kaum sejenisnya.
• Zina, iaitu di antara lelaki dan perempuan bagi mencari kepuasan seks dengan meraba-raba tubuh, bercumbuan sehingga ke tahap melakukan hubungan seksual tanpa ikatan yang sah.
• Melacur, iaitu bagi memuaskan nafsu atau untuk mencari pendapatan yang memuaskan bagi perempuan dan bagi lelaki dilarang memuaskan nafsu mereka dengan melakukan zina dengan pelacur.

Tindakan di atas bukan sahaja tidak dirahmati oleh Allah s.w.t. malahan ia adalah dosa besar. Tindakan ini juga akan membawa kesan-kesan yang tidak baik pada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Maka jauhilah diri dari melakukan tindakan yang tidak bermoral ini bagi menjaga kesihatan dari dijangkiti sebarang penyakit, mendapat kerahmatan dari Allah s..w.t, dan sebagainya.

2. Apakah Itu Pendidikan Seks Dan Apakah Tujuannya

Menurut seksualogi, nafsu syahwat adalah kekuatan, naluri yang terkuat di antara naluri-naluri lainnya. Ini pun dijelaskan oleh ALLAH s.w.t. dalam surah Ali Imram ayat 14 yang bermaksud:
”Dihiasi hidup manusia dengan keinginan kepada wanita, dan anak-anak, kekayaan yang melimpah dari emas dan perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup manusia di dunia, dan di sisi Allah tempat kembali yang baik.”
Nafsu seks ini juga merupakan nafsu seks yang dapat menjerumuskan manusia ke jurang kejahatan seperti pembunuhan, zina dan sebagainya. Pembunuhan yang pertama yang terjadi pada anak-anak Adam dan Hawa, sebagai bapa dan ibu manusia yang pertama adalah kerana seks.
Ia dapat dirumuskan bahawa nafsu seks ini begitu besar bahayanya, sehingga Nabi Yusuf sendiri pun tidak luput dari dorongannya, sehingga ia hampir jatuh kepada kejahatan, andai Allah tidak melindunginya, sebagai yang dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam kitab suci Alquranul Karim pada surah Yusuf ayat 23, 24, dan 24 yang bermaksud:

”Dan dia(Zulaikha) yang dia (Nabi Yusuf) tinggal di rumahnya, telah menggodanya untuk menurutkan hawa nafsunya dan dia menutup pintu-pintu serta berkata: ”Marilah ke sini”, Yusuf menjawab: ”Aku berlindung pada Allah, sesungguhnya dia Tuanku (suami Zulaikha), telah memberikan tempat yang baik buatku, sesungguhnya tidak beruntung orang-orang yang zalim.”

Jelaslah bahawa nafsu syahwat itu dapat dikelompokkan ke dalam dua kelompok, iaitu:

• Nafsu yang dirahmati, dibimbing oleh Allah, yang akan membawa manusia kepada kebahagian, kesenangan, dunia dan akhirat, menjadi kekuatan utama dalam pembentukan rumah tangga. Nafsu yang memberikan kesenangan seks yang optimal dalam hubungan seksual, yang dihalalkan kerana dilakukan setelah adanya ikatan perkahwinan, ijab qabul, antara orang tua si gadis dengan si lelaki, yang merupakan suami isteri. Ijab qabul inilah yang membolehkan, memberi hak suami untuk melakukan segala macam tindakan seperti mencium, memegang, berduaan di tempat tidur, yang merupakan ibadah, dianjurkan oleh Islam. Malah perkahwinan ini adalah suruhan, sunnah, hal yang diamalkan Nabi Muhammad s.a.w. yang disuruhkan dengan ucapan beliau.

”Nikah itu adalah sebahagian sunnahku maka orang yang tidak mengamalkan sunnahku, dia tidak termasuk umatku.”

• Nafsu syahwat yang tidak dirahmati Allah, nafsu yang liar, yang dibimbing oleh syaitan, maka ia akan membawa manusia kepada kemaksiatan, untuk melakukan perkara yang terlarang dan diharamkan:
a. Onani, iaitu melakukan berbagai tindakan hingga menghasilkan kepuasan seks pada diri sendiri. Di dalam hukum Islam ia di panggil kahwin tangan, tindakan ini adalah dilarang oleh Islam, sebagaimana yang diucapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
”Allah mengutuk orang yang kahwin, bersetubuh dengan tangannya.”
Bagi seorang pemuda yang ingin berkahwin tetapi belum bersedia, maka Nabi Muhammad memberikan cara untuk menahan perasaan seks itu melalui berpuasa.

b. khalwat, berduaan dengan perempuan yang bukan muhrim, perbuatan ini adalah sangat dibenci oleh Allah s.w.t. dan dilarang oleh Agama Islam. Sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang membawa maksud bahawa ”Orang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah berkhalwat, berduaan dengan perempuan tanpa disertai oleh muhrimnya, kerana yang ketiga adalah Syaitan.”

c. zina, melakukan hubungan seksual di luar nikah dapat dikelompokkan menurut seksualogi ke dalam:
• premarital intercourse, zina pemuda-pemudi sebelum kahwin.
• Intramarital intercourse, zina yang dilakukan oleh suami atau isteri dengan orang lain atau pelacur.
• Postmarital intercourse, zina yang dilakukan oleh janda atau duda, dengan orang lain atau pelacur.

Semua bentuk zina dilarang oleh Allah s.w.t., tercantum dalam surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud:”Janganlah engkau mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah sesuatu perbuatan keji dan jalan yang buruk.”

d. Homoseks atau lesbian, tindakan mencapai kepuasan seksual dengan sejenis , lelaki dengan lelaki di namakan homoseks dan perempuan dengan perempuan di namakan lesbian. Tindakan homoseks ini pernah terjadi pada waktu Nabi Luth, yang melarang mereka, namun mereka tidak menghiraukan malah mengusirnya dari daerah tersebut. akhirnya Allah s.w.t. menghancurkan mereka dengan hujan batu, sebagai yang dijelaskan dalam surah Al-A’raf ayat 84 yang bermaksud:
”Dan Kami turunkan kepada mereka hujan batu, maka perhatikanlah kesudahan orang-orang yang berdosa.”

Dari uraian tersebut dapat kita simpulkan bahawa pendidikan seks ialah mendidik nafsu syahwat sesuai dengan ajaran Islam, supaya ia menjadi nafsu yang dirahmati Allah, untuk mencipta ketenangan dan kebahagian dalam rumah tangga, tempat mendidik keturunan yang taat kepada Allah dan supaya manusia menjauhi zina.

Islam memerintahkan umatnya baik lelaki ataupun perempuan tanpa mengira usia suci dari melakukan zina. Si bujang dan si gadis, si dewasa tidak akan melakukan hubungan seksual sebelum berkahwin, dan si duda atau si janda tidak akan melakukan hubungan seksual sesudah kematian atau penceraian isteri atau suami.

3. Siapakah Yang Mengajar Pendidikan Seks ?

Setiap manusia, baik lelaki mahupun perempuan, sejak lahir mereka telah diajar mengenai pendidikan seks. Mereka telah diajar oleh kedua ibu bapanya dengan mendidik anak-anaknya dan juga untuk dirinya sendiri. Selain ibubapa kakak,abang dan saudara terdekat juga akan bertanggungjawab untuk mendidik anak yang masih kecil mengenai asas-asas pendikan seks. Sebagai contohnya mereka mendidik anak kecil supaya menjaga pergaulan di antara lelaki dan perempuan, menjaga aurat dan sebagainya.

Di sekolah, guru-guru juga mengajar pendidikan seks. Walaupun secara tidak mendalam tetapi setiap yang diajar oleh orang yang berpelajaran sangat berkesan pada anak-anak kecil sehinggalah mereka meningkat dewasa.pendidikan seks bukan sahaja diajar pada waktu pendidikan jasmani,pendidikan Islam tetapi diajar pada setiap masa, bagi melahirkan pelajar dan anak yang baik dengan mempunyai tingkah laku baik.

Masyarakat serta pemerintah juga mengutamakan pendidikan seks untuk membuat peraturan, undang-undang mencegah serta menghukum pelanggar seks. Pendidikan seks sangat dititikberatkan bagi memberi kesedaran yang mendalam pada setiap umat manusia supaya sentiasa menjaga aktiviti seksual mereka. Dengan adanya hukuman seperti ini, masalah yang berkaitan dengan seks dapat memberi kesedaran pada setiap pesalah.

4. Apakah Islam Tidak Mempunyai Pendidikan Seks ?

Menurut Islam pendidikan seks ialah sebahagian dari pendidikan akhlak, iaitu untuk menjadikan manusia beriman, mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya dan menjauhi larangan-Nya dan larangan Rasul-Nya.Seluruh pendidikan, termasuk pendidikan seks, etika seks, dimulai dari pengertian aurat, iaitu bahagian tubuh yang diwajibkan menutupinya, tidak boleh diperhatikan dan tidak boleh juga melihat aurat orang lain, secara mendalamnya dia adalah bahagian dari tubuh yang dapat membangkitkan nafsu seks, dan pelaksanaan nafsu seks.
Aurat bagi lelaki ialah bahagian yang terletak antara pusat dan lutut, termasuk penis, sebahagian pusatnya, dan pada perempuan seluruh tubuh selain muka dan tangan, dengan pusatnya faraj, vulva. Mengenai aurat ini marilah kita dengarkan dua hadis yang bermaksud:

Diriwayatkan dari Aisyah r.a.: Sesungguhnya Asma anak Abu Bakar masuk ke dalam tempat Rasul Allah s.a.w. dan dia berpakaian tipis, maka Rasulullah memalingkan pandangan dari Asma dan berkata: ”Hai Asma, sesungguhnya perempuan bilantelah mencapai haidh, maka tidaklah sah lagi dilihat dari padanya selain ini.” Dan beliau mengisyaratkan kepada muka beliau dan kedua telapak tangannya.

Bersabda Rasulullah s.a.w.: ”Janganlah lelaki melihat aurat lelaki lainnya dan janganlah perempuan melihat aurat perempuan lainnya, dan janganlah bersentuhan lelaki dengan lelaki lain di bawah satu selimut dan janganlah perempuan bersentuhan dengan perempuan di bawah satu selimut.” (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim dan Abu Daud dan Tarmidzi).

Tingkah laku menutup aurat telah diajar sejak bayi lagi, iaitu semasa bayi mula membuang air kecil dan air besar. Pada setiap itulah, si ibu akan membersihkan dan menutup tubuh bayi tersebut dan tidak akan membiarkan si bayi mendedahkan auratnya dengan bertelanjang. Pada usia 2 tahun, mereka akan diajar untuk membuang air kecil atau besar di dalam kamar mandi yang tertutup, sehingga tidak kelihatan dari luar oleh orang lain.Dengan cara ini, maka manusia muslim telah diajar dan dilatih untuk berpakaian sejak mereka bayi lagi. Terutamanya untuk menutupi auratnya dengan bentuk badan yang berbeda antara lelaki dengan perempuan. Bagi perempuan auratnya mestilah dijaga untuk mengelak dari merangsang seksual.

Ibu bapa haruslah tidak pula memperlihatkan aktiviti sekssual mereka di hadapan anak-anak mereka, di muka bayi sekalipun, kerana walaupun si bayi tidak mengerti apa-apa tetapi aktiviti seksual itu telah mempengaruhi ke dalam otaknya, melalui pancainderanya terutama penglihatan dan pendengaran. Ibu bapa juga haruslah menjaga aurat di depan anak-anak mereka dengan berpakaian sopan, menjaga tingkah laku dan sebagainya. Perkara di atas telah dibuktikan oleh seorang psikologi WERNER WOLFF, yang berkata:
”Bahaya yang paling besar ialah di mana anak kecil tidak mengerti apa-apa mengenai reaksi-reaksi emosional atau seksual yang diperlihatkan orang tua mereka di hadapan anak-anak mereka, R.M Kindner mentafsirkan suatu material autobiografi iaitu di mana seorang pemuda menderita gangguan jiwa disebabkan teringat akan peristiwa yang berlaku semasa dia masih di dalam buaian. Penderitaan yang dialaminya ialah kerana mengingat peristiwa di mana orang tuanya melakukan hubungan seksual dengan jelas di hadapannya.”

Penemuan psikologi ini memperkuatkan lagi isi hadis, yang menjelaskan bahawa kedua orang tualah yang pertama bertanggungjawab atas didikan akhlak anal mereka, termasuk akhlak seksual, sebagaimana yang diucapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:”Setiap anak yang dilahirkan adalah suci,maka kedua orang tuanyalah yang menjadikan ia Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Jelasnya, jangankan tingkah laku, malah keyakinan lain mengenai Islam dapat dilahirkan pada si anak kerana tingkah laku, serta bicara yang diperlihatkan oleh kedua orang tua mereka dihadapan anak-anak mereka sejak kecil lagi.

Di dalam Islam juga telah meletakkan dasar akhlak seks dilakukan dengan bicara atau menegur jika si anak yang masih kecil melakukan sesuatu yang tidak baik seperti tidak berpakaian, membuang air kecil di merata-rata tempat dan sebagainya. Rumah tangga juga haruslah beriklimkan Islam, seperti yang disunnahkan Nabi s.a.w. yang bermaksud: ”Hasilkan rumah tanggamu dengan solat berjama’ah dan membaca Alquran.”

Dengan memberi didikan agama dan pendidikan seks sejak anak-anak masih kecil ia dapat membentuk seorang mukmin yang sejati apabila dewasa kelak. Ibu bapa haruslah mendidik dan melatih anak-anak bersolat sejak berusia 7 tahun lagi, mengajar mereka tentang aurat, najis, pencucian alat kelamin dari najis, iaitu cara berwudhu yang betul dan memelihara auratnya. Dengan melakukan solat sejak kecil ia dapat memberikan pengertian tentang Allah s.w.t. yang Mahakuasa, Mahapengasih dan Mahapenyayang, serta menanamkan kepatuhan kepada Allah s.w.t.. Anak-anak kecil juga haruslah menghasilkan dan menanamkan rasa iman ke dalam hati, sehingga dapat menjauhi diri mereka dari melakukan kejahatan dan kemungkaran, di antaranya kejahatan seksual.
Allah berfirman dalam surah Al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud:

”Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Alquran dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat)adalah lebih besar(keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain)dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Dengan perintah mengajar anak yang berumur tujuh tahun mendrikan solat, ia dapat mempersiapkan anak tersebut untuk menghadapi zaman remaja yang penuh dengan cabaran sehingga sekiranya pendidikan solat ini betul-betul dilakukan maka ia akan menjadi benteng atau tiang kepada setiap insan itu daripada terjerumus ke dalam lembah kesesatan yang penuh dengan maksiat. Islam mengatur pergaulan anak lelaki dan perempuan , mahupun lelaki dan perempuan di antaranya:

• Nabi s.a.w. melarang dan memperingatkan bahayanya berdua-duaan atau berkhalwat. Berdasarkan hadis ini yang bermaksud:
”Orang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka ia tidak akan berkhalwat dengan seorang perempuan disertai muhrimnya, kerana yang ketiga adalah syaitan.”

• Nabi s.a.w. menunjukkan cara memakai mata, penglihatan sebagai alat yang mudah menimbulkan nafsu syahwat.
Dari ’ Ali r.a. dari Nabi s.a.w. beliau bersabda: ”Hai ’Ali, janganlah engkau perturutkan pandangan pertama dan kedua, kerana yang pertama halal bagimu dan yang lain tidak halal bagimu.”(Riwayat Abu Daud dan Tarmizi).
Allah s.w.t. sendiri juga memerintahkan untuk menjaga pandangan dan memelihara faraj kerana keduanya mempunyai kaitan. Mata adalah alat pancaindera yang sangat peka terhadap seks. Allah s.w.t. telah berfirman dalam surah An-Nur ayat 30 yang membawa maksud:

Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: ” Hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci dari mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan.”
Katakanlah kepada perempuan yang beriman: ”Hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung mereka ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasan mereka, kecuali kepada suami mereka.”
Allah s.w.t. juga melarang kita mendekati zina, iaitu melakukan sesuatu yang mungkin mendekatkan diri kepada zina, seperti pergaulan bebas, mandi bersama lelaki dan perempuan, mengunjungi pusat hiburan(disko), membaca buku-buku porno, menonton video yang berunsur lucah dan sebagainya. Allah berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud:

”Janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang busuk.”


Allah s.w.t. berfirman dalam surah An-Nur yang bermaksud:

”Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, deralah mereka setiapnya seratus kali dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari akhirat, dan hendaklah(pelaksanaan hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman).”

Dari maklumat di atas dapat dirumuskan bahawa dalam pendidikan seks, Islam mengutamakan dahulu pendidikan rohaniah, moral, etika, sejak dari bayi lagi yang diajar oleh ibu bapa serta keluarga di dalam rumahtangga dengan meletakkan dasar Iman kepada Allah s.w.t.. Jelas bahawa Islam mempunyai pendidikan seks yang sempurna untuk mereka yang beriman.

5. Sudahkan Ada di Dunia ini Negara Yang Telah Melaksanakan Pendidikan Seks dan Bagaimana Hasilnya ?

Negara Eropah yang pertama memasukkan pendidikan seks ke dalam sekolah ialah negara Sweden, yang majoriti penduduknya menganut agama Katolik yang kuat, kerana melihat bahawa, baik remaja mahupun orang dewasa telah memperlihatkan penyimpangan hidup seksual. Yang jelas telah menunjukkan ia berlawanan dengan ajaran gereja, seperti hidup bersama, pendidikan seks juga haruslah neutral iaitu tanpa dipengaruhi oleh Agama. Sesudah hampir satu abad berjuang maka hasilnya jauh dari yang diharapkan dan sebab yang utama ialah kerana Gereja sudah lemah pengaruhnya.

Kenyataan ini memperkuatkan pendapat bahawa pendidikan seks tanpa iman untuk orang Islam tidak ada ertinya. Alat-alat pencegah hamil, seperti pil, kondom memberikan mereka keberanian untuk berzina, berani untuk menggugurkan kandungan, dan antibiotik yang dapat melindungi mereka dari penyakit kelamin.

Dari seluruh uraian dapat kita mengambil kesimpulan bahawa sudah tiba saatnya terutama ulama, pendidik muslim memikirkan untuk merumuskan pendidikan seks untuk orang tua, anak-anak, masyarakat dan undang-undang yang dapat menyelamatkan generasi penerus dari kehancuran. Maka memang perlu pendidikan seks di utamakan sejak kecil, kerana pemikiran seseorang akan cepat bertindak semasa kecil lagi. Apalagi sekiranya mereka tidak pernah mendapat pendidikan agama dan hidup dalam rumah tangga di mana kedua orang tua pun tidak melaksanakan kewajipan agama, baik untuk diri mereka sendiri, mahupun terhadap anaknya.

Pelajaran agama Islam yang diberikan di sekolah-sekolah umum tidak boleh diharapkan akan dapat memberikan keimanan kepada anak-anak kita, kalau tidak ditambah oleh orang tua dan di surau atau masjid, semasa kuliah mahgrib,subuh atau ceramah agama yang disampaikan oleh orang-orang yang berilmu.

Perbuatan jenayah dan salah laku seks di kalangan remaja adalah antara gejala kemerosotan akhlak yang kian membimbangkan. Apatah lagi apabila kajian yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dua tahun lalu mendapati bahawa antara yang terbabit dalam kes jenayah dan kegiatan salah laku seks ialah remaja berusia 12 tahun. Mungkin kebimbangan inilah yang mendorong Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (KPNPM) mencadangkan supaya mata pelajaran seks diperkenalkan di sekolah menengah, walaupun belum ada kajian yang membuktikan bahawa ketiadaan pendidikan seks sebagai satu mata pelajaran atau kegiatan kokurikulum adalah faktor yang menyebabkan meningkatnya penyelewengan seks di kalangan remaja.

Namun, sesuai dengan fungsi dan tanggungjawab sosial institusi pendidikan, cadangan KPNPM yang dikemukakan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datin Paduka Zaleha Ismail adalah wajar. Malah dari perspektif pembangunan kemanusiaan, cadangan ini jika dilaksanakan dengan bijaksana boleh memberi sumbangan positif kepada matlamat melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, rohani, intelek dan emosi seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Bukanlah sesuatu yang keterlaluan apabila mengharapkan proses pendidikan yang bersepadu dan berterusan merangsang remaja mengenal pasti dan membezakan nilai murni kemanusiaan dan kehidupan dengan lebih rasional dan mampu menghayati nilai ini dengan bijaksana dan berhemah, khususnya berkaitan seks.

Bukan juga mustahil bahawa melalui pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang terancang, kefahaman seks dapat diterapkan untuk meningkatkan keprihatinan remaja terhadap gejala negatif seks. Setidak-tidaknya, program pendidikan yang terancang dan menyeluruh dapat mengubah tanggapan remaja terhadap seks kepada persepsi yang lebih insani dan suci. Melalui pembelajaran dan perbahasan yang terpimpin mengenai fungsi seks misalnya, remaja setidak-tidaknya dapat memahami hakikat seks sebagai kegiatan reproduktif semula jadi yang penting dan yang diamanahkan untuk kesinambungan zuriat dan pewarisan genetik yang ditakdirkan, demi kelangsungan generasi. Dengan kefahaman ini, setidak-tidaknya, remaja dapat menyedari tanggungjawab masing-masing sebagai sumber baka keturunan bagi kesejahteraan dan keselamatan generasi akan datang. Bagaimanapun, tindakan memperkenalkan pendidikan seks sebagai mata pelajaran atau aktiviti kokurikulum secara tergesa-gesa akan hanya menyebabkan pelbagai kesan luar jangkaan. Ini kerana seks bukan sekadar kegiatan fizikal kehidupan tetapi suatu fenomena atau fitrah kewujudan yang kompleks dan abstrak.

Oleh itu, menganggap seks dari aspek yang berasingan, walau bagaimana saintifik dan sistematik sekali pun, tidak akan menghasilkan kefahaman atau gambaran menyeluruh yang realistik dan objektif selaras hakikatnya sebagai satu fenomena kewujudan. Apatah lagi seks bukan saja membabitkan elemen fisiologi, tetapi juga unsur berkaitan keghairahan dan kepuasan nafsu, kerelaan dan iltizam perasaan, serta kesediaan dan kesanggupan dari segi psikologi. Dengan demikian, sebarang kesilapan dan kecuaian dalam pelaksanaan pendidikan seks yang cuba diperkenalkan akan menyebabkan kerosakan kepada norma sosial dan nilai keagamaan yang sukar diperbaiki. Misalnya, memperkenalkan seks sebagai satu proses pengawanan dan pembiakan antara individu manusia, hanya akan memberi pengetahuan saintifik yang menyumbang kepada perkembangan kognitif (pengetahuan semata-mata tanpa membabitkan emosi) remaja.

Remaja akhirnya akan mencapai tahap literasi dan kefahaman seks dengan mengetahui struktur dan fungsi organ seks, memahami bagaimana proses pengawanan dan persenyawaan antara sel pembiakan (iaitu sperma dan ovum) berlaku, mengetahui fisiologi edaran haid dan edaran kesuburan wanita dan mengetahui peringkat perkembangan janin di dalam rahim ibu dan perubahan yang berlaku dalam tempoh hamil. Remaja juga akan mendapat gambaran sebenar mengenai bagaimana sperma boleh memasuki sistem pembiakan wanita melalui hubungan jenis dan berdasarkan gambaran ini mereka boleh, secara rasional, merumuskan kaedah yang boleh digunakan untuk mengelakkan kehamilan atau dijangkiti penyakit yang merebak melalui hubungan jenis.
Dengan pengetahuan yang diperolehi secara formal ini, mereka lebih berkeyakinan membincangkan isu seks dan mengadukan masalah yang mereka hadapi atau berusaha mencari penyelesaiannya.

Dalam pada itu, mereka juga diandaikan tidak mudah terpengaruh dan terbabit dengan kegiatan maksiat. Bagaimanapun, pada masa yang sama, literasi dan kefahaman seks secara langsung atau tidak akan merangsang keinginan mencuba melakukan hubungan jantina di kalangan remaja. Inilah antara implikasi luar jangkaan yang tidak boleh diabaikan begitu saja. Kecenderungan meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada pengetahuan semata-mata untuk mengubah sikap dan tingkah laku adalah berbahaya. Hal ini disedari pakar pendidikan di Barat terutama Amerika Syarikat sejak beberapa tahun lalu. Misalnya, pada 1994 berdasarkan hasil penyelidikan mengenai program pendidikan seks, pakar ETRA Association yang berpusat di Santa Cruz, California, merumuskan bahawa pelajar yang menerima pendidikan seks lebih mengetahui mengenai haid, hubungan jenis, kaedah mencegah kehamilan dan cara mengelakkan jangkitan penyakit melalui hubungan seks. Malangnya perilaku seks mereka tidak selaras pengetahuan yang mereka perolehi. Menurut penyelidik terbabit, pengetahuan seks tidak mempunyai kesan bermakna dalam melakukan hubungan jenis atau untuk menangguhkannya, atau pun untuk mengurangkan kehamilan tanpa pernikahan.

Sebaliknya pelajar yang tahu menggunakan kaedah mencegah kehamilan berkemungkinan besar menggunakannya dengan lebih kerap untuk melakukan apa yang digelar di Barat sebagai seks selamat. Apa yang didapati juga ialah kebanyakan pelajar yang mengikuti pendidikan seks mengikut pendekatkan Pendidikan Seks Komprehensif (Comprehensive Sex Education), suatu pendekatan yang dikatakan menerima sokongan Persatuan Kebangsaan Sekolah Psikologi, Persatuan Perubatan Amerika, Lembaga Persatuan Kebangsaan Sekolah dan Persatuan Perubatan untuk Remaja - menganggap seks hanya sebagai sebahagian daripada kehidupan, sama penting seperti mata pelajaran lain dan kegiatan berkaitan seperti membaca dan membuat eksperimen. Demikianlah, dengan memperkenalkan mata pelajaran seks, remaja seolah-olah didedahkan kepada potensi seks yang ada pada diri masing-masing dan kaedah yang selamat untuk mereka
menyalurkan potensi itu.

Berdasarkan pengetahuan yang diberikan, remaja ini dapat memanfaatkan potensi seks masing-masing secara terancang untuk memenuhi keinginan dan keperluan seksual mereka tanpa memudaratkan diri atau pasangan masing-masing. Secara tidak langsung juga, pengenalan pendidikan seks akan dianggap remaja sebagai penurunan kuasa dan hak seks masing-masing, di samping memberi mereka pilihan menggunakan kuasa dan hak itu. Apakah tidak mungkin tanggapan ini disalahertikan sebagai kebenaran melakukan seks secara bebas? Inilah satu lagi implikasi luar jangkaan yang membimbangkan. Jika diabaikan, kesan kedua ini bukan sahaja akan mencemarkan norma sosial dan adat resam, tetapi juga maruah bangsa dan kesucian agama. Kegagalan program pendidikan seks di Barat perlu dijadikan teladan. Falsafah Pendidikan Seks Komprehensif di Amerika Syarikat yang menekankan bahawa pendidikan yang memberikan pengetahuan seks yang menyeluruh ialah strategi terbaik untuk melahirkan remaja yang lebih bertanggungjawab terhadap kelakuan hubungan seks masing-masing. Ini termasuk menahan diri daripada meneruskan hubungan seks bebas, hubungan seks selamat, hubungan seks menggunakan kondom dan bersedia melakukan onani yang tidak memudaratkan supaya bilangan remaja yang hamil dapat dikurangkan dan penyakit berjangkit melalui hubungan seks dapat dicegah.

Semua ini ternyata bukan falsafah yang sesuai di negara ini. Dari segi pelaksanaan, falsafah Pendidikan Seks Komprehensif menganjurkan pendekatan berasaskan fakta dan maklumat walaupun kaedah dan media penyampaiannya dipelbagaikan. Pendekatan akademik seperti ini tidak mungkin dapat menghuraikan secara objektif interaksi unsur bukan fizikal seperti emosi dan nilai hubungan kemanusiaan, harapan dan perasaan atau keinsafan tanggungjawab, kasih sayang dan kemelut psikologi yang turut mengaduni hubungan seks. Dengan demikian, apa yang akan diajar guru hanya seks sebagai proses atau kegiatan dengan kepentingannya dibincangkan berasaskan logik saintifik. Mungkin di negara yang remajanya diberi kebebasan seks, pelaksanaan pendidikan seks yang menggunakan pendekatan akademik semata-mata tidak janggal.

Malah mungkin inilah pendekatan yang paling sesuai dan mudah dilaksanakan. Dua implikasi luar jangkaan yang dinyatakan tidak memberi kesan yang besar kepada kehidupan dan maruah rakyat di negara terbabit, tetapi tidak di Malaysia. Sehubungan itu, sebarang cadangan untuk memperkenalkan pendidikan seks di sekolah di negara ini perlu dikaji secara mendalam dan menyeluruh, khususnya dari segi falsafah, matlamat dan pendekatan yang akan digunakan. Sekiranya pendidikan seks yang hendak diperkenalkan itu hanya untuk 'memberi pengetahuan asas seks yang memadai' atau 'meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai seks' atau 'membendung penularan masalah sosial akibat kurang arif mengenai seks' atau 'memberi penjelasan serta berbincang mengenai seks dengan remaja', maka kaedah dan kurikulum pendidikan seks yang kini digunakan di sekolah sudah memadai.

6. Islam Mengajar Cara Mendidik Seks

• Mengazankan, mengiqamahkan bayi yang baru lahir, oleh kerana pancaindera pertama yang berfungsi ialah pendengaran, yang juga perhubungan dengan tangis yang dilakukan bayi begitu ia lahir ke dunia. Pancaindera, pendengaran yang menangkap suara akan meneruskannya ke kulit otak, di mana suara tersebut akan disimpan, kerana otak berfungsi sebagai tempat menyimpan maklumat. Dengan ini maka kata-kata pertama yang disimpan ialah Allahu Akhbar, syahadah baik terhadap Allah mahupun terhadap Nabi Muhammad s.a.w..

• Mendoakan, meminta perlindungan dari Allah s.w.t. Ini kerana pancaindera bayi mulai berfungsi mulai dari pendengaran kemudian diikuti oleh penglihatan, maka ibu dan bapa haruslah berhati-hati dalam berkata-kata, hendaknya perkataan yang keluar selalu adalah kata-kata yang baik kerana semuanya akan disimpan di otak pemikiran si bayi dan menjadi perbendaharaannya yang nanti akan dipakainya bila tiba saatnya, walaupun pada saat itu ia belum mengerti apa-apa. Selalulah membaca Alquran di hadapan si bayi kerana bayi dapat mendengar setiap apa yang dibaca oleh kita dan mereka akan menyimpan setiap apa yang dibaca oleh kita. Sebagaimana yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.”Hiasilah rumahmu dengan solat berjama’ah dan membaca Alquran.”

• Meng-aqiah-kan si bayi sewaktu ia berumur 7 hari, iaitu memotong 2 ekor kambing untuk anak lelaki dan seekor kambing untuk perempuan dan sebahagian dagingnya diserahkan kepada semiskin dan memberi ia nama yang baik.

• Mengkhatankan anak lelaki. Nabi s.a.w. juga telah bersabda yang bermaksud: ”Siapa yang masuk Islam, haruslah dikhatan.”

Khatan bermaksud membuangkan kulit penutup alat kelamin di mana di bawahnya terdapat suatu tempat yang berbau dan sarang pada virus, yang boleh menyebabkan penyakit alat kelamin jika tidak bersunat. Faedah yang kedua diperolehi ialah si anak akan berasa diri mereka seorang muslim dan mereka akan diajar untuk menutup auratnya,dan tidak boleh melihat aurat orang lain, baik lelaki mahupun perempuan.

• Menutup aurat. Aurat adalah bahagian tubuh manusia yang harus ditutupi dan tidak boleh dilihat oleh orang lain atau memperlihatkannya kepada orang lain. Aurat lelaki adalah antara pusat dan lutut. Bagi perempuan aurat adalah seluruh tubuh selain muka dan kedua telapak tangan. Terutama berhadapan dengan bukan muhrim dan sewaktu melakukan solat untuk menghadap Allah s.w.t. Islam mengutamakan umatnya menjaga aurat kerana aurat ialah bahagian tubuh yang boleh minimbulkan nafsu sehingga boleh merangsang orang lain.
• Mengajar solat kepada anak-anak mulai umur tujuh tahun dan orang tua haruslah wajib mendidik anak-anak mereka memelihara waktu solat. Mulai umur 10 tahun anak-anak lelaki dan perempuan harus dipisahkan tempat tidurnya baik dari ibunya, juga dari antara mereka sendiri kerana ia adalah suatu tindakan pencegahan pelanggaran seks.


• Larangan melihat aurat. Islam melarang umatnya melihat aurat, sebaimana yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:” Janganlah lelaki melihat ’aurat lelaki dan janganlah perempuan melihat ’ aurat perempuan lain dan janganlah bersentuhan kulit lelaki dengan lelaki lain di bawah satu kain (selimut) dan janganlah bersentuhan kulit perempuan dengan perempuan lain di bawah sehelaik ain(selimut).” (Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmidzi.”)

Sering terjadi di asrama bahawa pemuda mandi bertelanjang dan sedang mandi mereka membandingkan alat kelamin mereka begitu juga dengan pemudi-pemudi di asrama mandi bersama dengan tidak memakai apa-apa, sambil memperhatikan kecantikan temannya. Walaupun mereka sejenis namun Islam melarang mereka melihat aurat teman, baik sejenis apalagi lawan jenis.

• Larangan melihat lawan jenis. Pertemuan pandangan dapat menimbulkan nafsu seks, maka Islam melarang melakukan ini dan diperintahkan untuk mengendalikan pandangan baik lelaki mahupun perempuan.

7. Pendidikan Seks Dan Agama Islam

Pendidikan seks adalah sebahagian dari pendidikan umum dan dasar pendidikan ini adalah IMAN, pendidikan yang menghasilkan akhlaqul Karimah, sebagai salah satu tugas Nabi Muhammad s.a.w. yang selalu diucapkan beliau yang bermaksud:
”Sesungguhnya aku ini dibangkitkan untuk menyempurnakan kesempurnaan akhlak.”

Bila Iman telah bersarang di dalam kalbu manusia, maka dia sudah bersedia untuk melakukan segala perintah Allah dan Rasul-Nya dan menghindari dan menghentikan segala larangan. Di dalam Alquran Allah menjelaskan bahawa seks(Nafsu Syahwat) itu hanya bisa ditundukkan dan dididik dengan Iman, dengan Petunjuk Allah sebagai yang diucapkan oleh Nabi Yusuf ketika ia terlepas dari musibah seks yang ditimbulkan oleh godaan paksa dari Siti Zulaikha.

Pendidikan seks ini harus diberikan dan dipahami oleh setiap muslim dan diajarkan sejak ia lahir dan orang yang pertama bertanggungjawab atas pendidikan seks ini adalah orang tua, ibu bapa dan tempat pendidikan seks utama ialah rumah tangga. Berdasarkan surah At-Tahrim ayat 66 yang bermaksud:
”Jagalah dirimu dan keluargamu dari neraka.”

Tidak sahaja dalam keyakinan yang lebih berat orang tua berpengaruh apalagi dalam pembentukan akhlak baik akhlak seksual mahupun akhlak lainnya. Nabi s.a.w. menjelaskan bahawa yang banyak membawa orang masuk ke neraka ialah kerana mulut dan alat kelamin yang bertindak sebagai pelaksana nafsu seks. Dari Abi Hurairah r.a. bersabda: Ketika Rasulullah s.a.w. ditanya orang ”apakah yang banyak memasukkan orang ke dalam syurga” Baginda menjawab: ”Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik” dan ditanya ” Apakah yang banyak memasukkan orang ke dalam neraka” Baginda menjawab: ”Mulut dan faraj.”

Kesimpulan

Kesimpulan yang dapat kita simpulkan ialah :

• Kehidupan seks remaja di kalangan remaja Islam pada saat ini sudah mencapai tahap yang membimbangkan dan perlu dititikberatkan oleh semua individu, supaya mereka tidak akan terus sesat ke jalan yang tidak dirahmati Allah s.w.t.
• Harus mempunyai satu usaha baik dari orang tua,guru, masyarakat, negara sendiri untuk mencari jalan bagi mencegah masalah seksual di kalangan anak-anak muda, supaya generasi muda dapat menjadi peneraju seterusnya dalam mentadbir negara dengan berlandaskan Islam.
• Dilihat dari segi Islam pendidikan seks tanpa Iman tidak akan membawa ertinya.
• Pendidikan seks Islam ialah akhlak seksual, akhlak yang mengatur kehidupan seksual manusia sejak mereka lahir lagi iaitu anak,remaja, orang tua, antara manusia baik sejenis mahupun berlainan jantina, pakaian, pergaulan berdasarkan Iman sebagai yang diatur dalam Islam.
• Pendidakan seks dimulai sejak bayi dilahirkan dengan mengazankan, mengaqihkan, khatan buat anak lelaki dan cara pendidikan yang terbaik ialah mengajar mereka solat sewaktu anak-anak berumur 7 yahun di mana waktu itulah tempat tumbuhnya IMAN.
• Seksual Islam adalah seksual yang dibimbing oleh ajaran Allah dan Rasul-Nya, bukanlah seksual bebas atau free sex. Seksual Islam sesuai dengan Islam sendiri akan membawa manusia kepada kebahagian diri, rumah tangga, masyarakat dan negar, serta kebahagian dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment