Monday, April 13, 2009

Kewujudan Neraka

Oleh: Mohd Qusyairie B Yunus

PENDAHALUAN:-

Allah SWT telah mengurniakan kepada kita kehidupan sementara di dunia dan dengannya keupayaan untuk berfikir dan kemudian memilih haluan kita dalam kehidupan ini. Setelah itu, kita akan mati dan akan dikebumikan di dalam tanah.

Kemudian, kita akan dibangkitkan kembali pada hari qiamat. Barang siapa yang melakukan kebajikan di bumi akan mendapat ganjaran syurga, tetapi barang siapa yang tidak bernasib baik (mengingkari Allah) akan dikirimkan ke neraka.

Al-Quran dan Sunnah telah berulangkali memberi peringatan kapada kita bahawa barang siapa yang dimasukkan ke dalam neraka jahanam tidak akan keluar lagi daripadanya.

Allah menerangkan di dalam al-Quran dalam “SURAH AT-TAHRIM Ayat 6”:- “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka yang diperintahkan.”



PENCIPTAANNYA:-

Allah SWT mencipta Neraka Jahannam dan menyebut di dalam al-Quran bahawa ia telah disediakan untuk orang-orang yang tidak beriman. FirmanNya,

“ Dan peliharalah dirimu dari api neraka yang disediakan untuk orang-orang kafir,” (Ali ‘Imran:131)

Bukti yang menunjukkan bahawa neraka telah pun diciptakan disebut dalam hadith berikut yang menerangkan bahawa orang yang ditakdirkan untuk masuk ke dalam neraka neraka akan ditunjukkan tempatnya di dalam neraka itu selepas kematiannya,

Abdullah bin Umar menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda,“ Apabila seseorang mati, akan ditunjukkan kepadanya tempatnya pagi dan petang, dan jika ia termasuk penduduk syurga, (dia akan ditunjukkan tempatnya) di kalangan penduduk syurga, jika dia termasuk penduduk neraka, (dia akan ditunjukkan tempatnya) di kalangan penduduk neraka.” (Bukhari)



PINTU-PINTU NERAKA:-

Neraka mempunyai lebih dari satu pintu yang menuju ke dalamnya, dan bukti tentang kewujudannya tersebut dalam ayat al-Quran berikut,

“ Orang-orang kafir dibawa ke neraka Jahannam berombong-rombongan. Sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakanlah pintu-pintunya.” (As-Zumar:71)

Dalam Ayat yang lain, al-Quran telah menerangkan jumlah pintu-pintu neraka dalam “SURAH AL-HIJR Ayat 43-44”:-

“ Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar tempat yang telah diancamkan kepada mereka (pengikut-pengikut syaitan) semuanya. Jahannam itu mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu dari mereka.”


BAHAN BAKARNYA:-

Neraka merupakan api yang sangat dahsyat – tidak sebagaimana api dunia yang kita kenali yang boleh membakar kayu, arang batu dan bahan-bahan lain. Bahan baker neraka ialah manusia jahat yang berhati keras seperti batu. Batu-batu juga menjadi sebahagian dari bahan bakarnya, termasuk patung-patung berhala yang telah dijadikan sembahan selain Allah ketika di dalam kehidupan dunia ini. Al-Quran menerangkan dengan jelas pelbagai jenis bahan bakar api neraka sebagai bukti kebenarannya:-

MANUSIA

Firman Allah SWT: “ Sesungguhnya orang-orang kafir, harta benda dan anak-anak mereka, sedikit pun tidak dapat menolak (siksa) Allah dari mereka. Dan mereka itu adalah bahan bakar api neraka.” (Ali ‘Imran:10)
JIN
Firman Allah SWT: “ Dan Sesungguhnya di antara kami ada yang taat dan ada pula orang-orang yang menyimpang dari kebenaran. Barang siapa yang taat, maka mereka itu benar-benar telah memilih jalan yang lurus. Adapun orang-orang yang menyimpang dari kebenaran, maka mereka menjadi kayu api bagi neraka Jahannam.”
BATU-BATU
Firman Allah SWT: “ Maka jika kamu tidak dapat membuat(nya) – dan pasti kamu tidak akan dapat membuat(nya), peliharalah dirimu dari api neraka yang bahan api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir.” (Al-Baqarah:24)

TUHAN-TUHAN PALSU
Firman Allah SWT: “ Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah adalah makanan Jahannam, kamu pasti masuk ke dalamnya. Andai kata berhala-berhala itu Tuhan, tentulah mereka tidak masuk neraka. Dan semuanya akan kekal di dalamnya.” (Al-Anbiya’:98-99)

KEHEBATAN APINYA

ABU Hurairah meriwayatkan:- “ Ketika Rasulullah SAW berkata, ‘Api (dunia) kamu adalah satu dari 70 bahagian api neraka,’ lalu seorang bertanya, ‘Ya Rasulullah, adakah ia (api dunia) tidak akan mencukupi (untuk membakar orang-orang kafir)?’ Maka Rasulullah SAW berkata, ‘Api neraka mempunyai 69 bahagian lebih dari api biasa (dunia), dan kesemuanya adalah sangat panas sebagaimana ia (api dunia).” (Bukhari)

Api yang sangat dashyat itu tidak akan berkurangan, sebaliknya nyalanya akan bertambah panas dari masa ke masa.

Firman Allah SWT:- “ Tempat kediaman mereka adalah neraka Jahannam. Tiap-tiap kali nyala api Jahannam itu akan padam, kami akan tambah bagi mereka nyalanya.” (Al-Isra’:97)

NAMA-NAMA NERAKA

Neraka mempunyai beberapa nama, sebagaimana telah disebutkan di dalam al-Quran, iaitu:-
1. JAHANNAM
Firman Allah SWT: “ Sesungguhnya neraka Jahannam itu (padanya) ada tempat pengintai.“(An-Naba’:21)
2. LATHA
Firman Allah SWT: “ Sekali-kali tidak dapat sesungguhnya neraka (Latha) itu adalah api yang bergejolak, yang mengelupaskan kulit kepala.”(Al-Ma’arij:15-16)
3. AL-HUTAMAH
Firman Allah SWT: “ Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Hutamah. Dan tahukah kamu apa Hutamah itu? (Iaitu) api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan, yang (naik) sampai ke hati.”(Al-Humazah:4-7)
4. SA’IR
Firman Allah SWT: “ Segolongan masuk ke syurga dan segolongan masuk ke neraka (Sa’ir).”
5. SAQAR
Firman Allah SWT: “ Aku akan dimasukkannya ke dalam (neraka) Saqar. Tahukah kamu apakah (neraka) Saqar itu? Saqar itu tidak meninggalkan dan tidak membiarkan (Neraka Saqar) adalah pembakar kulit manusia,”(Al-Muddaththir:26-29)
6. AL-JAHIM
Firman Allah SWT: “ Dan perlihatkan dengan jelas neraka jahim kepada orang-orang yang sesat.” (Asy-Syu’ara’:91)
7. AL-HAWIYAH
Firman Allah SWT: “ Dan adapun orang-orang yang ringan timbangan (kebaikan)nya, maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah. Dan tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu? (iaitu) api yang sangat panas.”(Al-Qari’ah:8-11)

PARA PENJAGA NERAKA

Neraka mempunyai banyak malaikat-malaikat yang menjaga neraka. Semua para malaikat itu merupakan makhluk yang sangat patuh kepada perintah Allah SWT dalam ketaatan; disiplin dan perlaksanaan tugas menurut apa yang diperintahkan Tuhan.

Buktinya al-Quran ada menyebut bahawa jumlah para penjaga neraka adalah sembilan belas. Salah satu dari sembilan belas malaikat itu adalah Malik, penjaga pintu neraka. Allah telah menyebut namanya di dalam al-Quran:
“ Mereka berseru: ‘Hai Malik, biarlah Tuhanmu membunuh kami sahaja.’ Dia menjawab: ‘Kamu akan tetap tinggal (di neraka ini).”(Az-Zukhruf:77)

Malik juga disebut di dalam hadith Rasulullah SAW. Diriwayatkan dari Samurah bahawa Nabi SAW bersabda:
“ Malam tadi aku melihat (di dalam mimpiku) dua lelaki telah dating kepadaku. Seorang daripada mereka berkata, ‘Orang yang menyalakan api neraka ialah Malik, penjaga pintu neraka; Aku ialah Jibrail, dan ini Mika’il.”

PARA PENDUDUK NERAKA

Beberapa ayat al-Quran dan hadith-hadith menerangkan beberapa orang yang akan menjadi salah seorang daripada penduduk neraka, mereka termasuklah:

1. Firaun
2. Isteri-isteri Nuh dan Luth
3. Abu Lahab dan Isterinya
4. Amr bin Luhayy
5. Amr bin ‘Amir al-Khuya’i
6. Abu Talib

KATEGORI PENDUDUK NERAKA

1. Orang-orang kafir
2. Golongan Munafik
3. Golongan yang syirik
4. Ahli Kitab (Yahudi & Kristian) yang menolak Islam.
5. Orang Sombong Penolak Kebenaran
6. Para pelaku dosa dan penjenayah
7. Penentang Allah SWT dan Rasulnya
8. Orang yang zalim
9. Penderhaka (orang yang melampaui batas)
10. Pembunuh
11. Orang yang menganiaya orang-orang beriman
12. Orang yang membunuh diri
13. Penduduk neraka yang lain

SAIZ PENDUDUK NERAKA

Saiz para penduduk neraka akan ditambah. Tubuh mereka akan membesar supaya mereka akan lebih terdedah kepada siksaan.

Hal ini diceritakan di dalam hadith Rasulullah SAW:
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “ Gigi geraham seorang penduduk neraka sama seperti (bukit) Uhud, dan tebal kulitnya sama seperti tiga malam perjalanan.” (Muslim)

Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “ Jarak di antara dua bahu penduduk neraka sama seperti tiga hari perjalanan untuk seorang penunggang yang tangkas.” (Muslim)

Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “ Sesungguhnya, tebal kulit sesorang penduduk neraka sama dengan empat puluh dua lengan gergasi, gigi gerahamnya seperti (bukit) Uhud, dan tempat duduknya di neraka (jaraknya) di antara Mekah dan Madinah.”


PENUTUP:-

Pada hari kiamat para penduduk neraka akan melihat tempat tinggal mereka di hadapan mereka dan akan menyedari segala keselahan yang telah mereka lakukan. Tetapi sudah tentulah terlambat.

Pada hari itu, neraka akan ditanya adakah ia telah berpuas hati, namun demikian ia menjawab bahawa ia masih lagi boleh menerima orang-orang yang akan mendudukinya.

Mudah-mudahan folio ini dapat mendatangkan manfaat yang besar kepada para pembaca untuk menghindari diri daripada tercebur ke jurang neraka yang mengerikan.

No comments:

Post a Comment