Friday, April 3, 2009

Tokoh Perubatan Islam

Oleh: Saiful Shafenzi Bin Saidin

PENDAHULUAN
Sebelum kedatangan ilmu perubatan muslim, tidak ada ilmu perubatan yang bernilai yang dipraktikkan di Eropah. Hal ini diakui oleh semua ahli sejarah moden bahawa perkembangan ilmu peubatan Barat dipengaruhi oleh perubatan muslim. Di Eropah pada abad ke-14 hingga ke-17 Masihi ilmu peubatan muslim telah dikaji dengan bersungguh-sungguh oleh penuntut-penuntut di Eropah dan baru seabad yang lalu iaitu dalam abad ke-19 Masihi perubatan muslim dihapuskan dari kurikulum institusi pelajaran di sekolah dunia barat. Ilmu perubatan muslim bermula pada zaman pemerintahan Bani Umayyah (661 – 720 M) tetapi kemajuan yang pesat dalam bidang perubatan berlaku pada zaman Abbasiyah (750 – 1258 M). Perkembangan sains dan ilmu perubatan mempunyai perhubungan erat antara satu sama lain kerana Islam mementingkan kesihatan umatnya. Kebanyakkan ilmu perubatan umat Islam telah ditimba dari sumber asing khasnya dari Parsi, Kristian, Yunani, India dan Mesir. Ini menyebabkan ilmu perubatan muslim lahir sebagai integrasi antara teori-teori perubatan Yunani, tradisi Hippokrates dan Galen serta pengalaman bangsa Parsi dan India. Perkembangan ilmu perubatan pada waktu tersebut telah melahirkan ramai tokoh perubatan Islam seperti Ibn Maskawaih, Ibn Sina, Al-Razi, Abdul Qasim, Thabit Ibn Qurra dan ramai lagi.

Latar Belakang Ibnu Sina
Di barat, Ibnu Sina dikenali dengan nama Avicenna. Beliau mempunyai nama lengkap iaitu Abu Ali al- Huseyn bin Abdullah bin Hassan Ali bin Sina. Beliau berasal dari bangsa Parsi. Menurut Ibnu Abi Ushaybi’ah beliau dilahirkan pada tahun 375 Hijrah, di desa Afshanah berdekatan Kharmaitan Propinzi Bukhara Afghanistan. Pada zaman kanak-kanak, beliau mempelajari Al-Quran dan sastera secara tidak formal. Beliau mula belajar pada usia 5 tahun. Apabila umur beliau 10 tahun, beliau telah berjaya menghafal Al-Quran. Pada masa umurnya meningkat 18 tahun Ibnu Sina telah menjadi Doktor Di Raja. Di samping itu, Ibnu Sina juga telah menguasai seluruh cabang ilmu pengetahuan yang ada pada ketika itu. Ilmu-ilmu agama seperti tafsir, fiqah, perbandingan agama (ushuluddin), tasawuf dan sebagainya sudah dikuasai beliau ketika baru berusia 10 tahun. Pada zaman kanak-kanaknya, beliau dibimbing dan dididik oleh Abu Abdullah Natili, seorang sahabat karib ayahnya, dan ayahnya sendiri. Antara bidang ilmu yang berjaya dikuasai beliau termasuklah dalam bidang falsafah, kedoktoran, geometri, astronomi, muzik, syair, teologi, politik, matematik, fizik, kimia, sastera dan kosmologi. Beliau seorang doktor yang pertama. Beliau menceburi pelbagai bidang dan pada usia 21 tahun, ketika berada di Kawarazm, beliau mula menulis karyanya yang pertama berjudul "Al-Majmu" yang mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan. Kemudian beliau menyambung karyanya dalam buku-buku lain. Nama-nama buku yang pernah dikarang Ibnu Sina, termasuklah berbentuk risalah berukuran kecil, dimuat dan dikumpulkan dalam satu buku besar berjudul "Essai de Bibliographie Avicenna" yang dihasilkan oleh Pater Dominican di Kairo. Antara yang terkandung dalam buku tersebut termasuklah buku karangan yang amat terkenal iaitu Al-Qanun Fit – Tibb. Ibn Sina merupakan seorang yang bertuah kerana mempunyai seorang ayah yang amat mementingkan pendidikan agama dan juga keduniaan walaupun beliau dilahirkan dalam keluarga seorang pemungut cukai. Ibn Sina merupakan seorang yang rajin membaca buku dan tidak mudah berputus asa. Pernah suatu ketika beliau telah membaca buku "Metafizik Aristotle" sebanyak 40 kali hanya semata-mata untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi. Ketokohannya memang terserlah semenjak kecil lagi. Ini terbukti sewaktu berusia 17 tahun, beliau telah berjaya menyembuhkan Putera Raja Bukhara, Nooh Ibn Mansoor selepas semua pakar perubatan yang terkenal gagal dalam usaha tersebut. Raja Mansoor amat terhutang budi dan telah menawarkan hadiah yang lumayan kepadanya. Namun begitu, beliau menolak dan hanya meminta kebenaran untuk menggunakan perpustakaan Di Raja sahaja. Sewaktu berumur 20 tahun iaitu selepas kematian ayahnya, beliau telah mengembara ke Juran dan bertemu dengan Abu Raihan Al-Biruni sebelum berhijrah ke Hamadan. Di Hamadan, beliau mengarang kitab al-Qanun fit Tibb untuk mengubati Raja Hamdan iaitu Shams al-Daulah. Dari Hamadan beliau menuju pula ke Ispahan (Iran) di mana beliau telah menyempurnakan penulisannya dalam pelbagai bidang. Beliau merancang untuk meneruskan pengembaraannya, namun terpaksa kembali semula ke Hamadan kerana faktor kesihatan. Ibn Sina telah menghembuskan nafas terakhirnya di sana pada tahun 1037M ketika berusia 56 tahun. Potret beliau telah digantungkan didinding Fakulti Perubatan Universiti Paris sebagai mengenang jasa beliau dalam bidang ilmu perubatan. Ibnu Sina banyak mempengaruhi ilmu perubatan pada zaman moden ini. Pengaruh Ibnu Sina sebagai seorang doktor perubatan dalam Negara-negara Eropah begitu meluas. Buku hasil karyanya berjudul Al-Qanun Fit- Tibb (Peraturan Perubatan) terdiri daripada 14 jilid, telah dianggap sebagai himpunan perbendaharaan ilmu perubatan. Ilmu perubatan Ibnu Sina banyak mempengaruhi ilmu perubatan moden pada masa kini, dari segi penggunaan ubat-ubatan, diagnosis dan pembedahan. Hasil penulisan Ibnu Sina banyak diterjemahkan oleh orang eropah. Antaranya Sepanyol di Toledo. Pada abad ke 12 Masihi Gerard Cremona berpindah ke Toledo, Sepanyol telah menterjemahkan buku hasil penulisan Ibnu Sina ke bahasa Latin. Buku ini menjadi bahan rujukan utama di universiti-universiti Eropah sehingga tahun 1500 Masihi. Buku beliau telah dicetak sebanyak 16 kali dan 15 edisi dalam bahasa Latin dan sebuah edisi dalam bahasa Yahudi (Hebrew). Di samping itu, buku tersebut turut diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Itali. Pada abad ke 16 Masihi, buku tersebut dicetak sebanyak 21 kali. Al-Qanun Fit-Tibb juga digunakan sebagai buku teks kedoktoran di pelbagai universiti di Perancis. Misalnya di Sekolah Tinggi Kedoktoran Montpellier dan Louvin telah menggunakan buku tersebut sebagai bahan rujukan pada abad ke 17 Masihi. Di samping itu juga, Prof. Phillip K. Hitpi telah menganggap buku tersebut sebagai "Ensiklopedia Kedoktoran". Penulis- penulis barat telah menganggap Ibnu Sina sebagai ‘Bapa Doktor’ kerana Ibnu Sina telah menggabungkan teori perubatan Yunani Hippocrates dan Galen dan juga pengalaman dari ahli-ahli perubatan dari India dan Parsi termasuk pengalaman beliau sendiri. Ibnu Sina seorang perintis yang dapat menerangkan penyakit urat saraf. Al- Qanun Fit-Tibb juga mengandungi tentang penyakit saraf. Buku tersebut juga mengajar tentang cara-cara pembedahan dimana ia menekankan keperluan pembersihan luka. Malahan di dalam buku-buku tersebut juga dinyatakan keterangan –keterangan dengan lebih jelas di samping hiasan gambar-gambar dan sketsa-sketsa yang sekaligus menunjukkan pengetahuan anatomi Ibnu Sina yang meluas. Ibnu Sina terkenal sebagai seorang doktor. Pelbagai gelaran diberi kepada Ibnu sina. Ibnu Sina pernah di beri gelaran sebagai "Medicorum Principal" atau "Raja Diraja Doktor" oleh kaum Latin Skolastik. Antara gelaran lain yang pernah diberikan kepada beliau adalah sebagai "Raja Ubat". Malahan dalam dunia Islam, beliau dianggap sebagai "Zenith", puncak tertinggi dalam ilmu kedoktoran. Ibnu Sina menjadi "Doktor Di Raja" iaitu doktor kepada Sultan Nuh 11 bin Mansur di Bukhara pada tahun 378 Hijrah / 997 Masihi iaitu ketika beliau berusia 18 tahun. Pada waktu itu penyakit sultan dalam keadaan kritikal dan tidak ada doktor lain yang berjaya mengubati baginda. Akan tetapi berkat pertolongan Ibnu Sina baginda kembali pulih. Ibnu Sina seorang pengkaji dan beliau telah banyak menjumpai penemuan-penemuan baru. Ibnu Sina dikenali sebagai seorang saintis yang banyak memberikan saham terhadap dunia ilmu pengetahuan melalui penemuan-penemuan barunya. Antara sumbangan beliau adalah di dalam bidang geografi, geologi, kimia dan kosmologi.

Bidang Geografi
Ibnu Sina merupakan seorang ahli geografi kerana mampu menerangkan bagaimana sungai-sungai berhubung dan berasal dari gunung-ganang dan lembah-lembah. Malahan beliau mampu mengemukakan suatu hipotesis atau teori pada ketika itu di mana gagal dilakukan oleh ahli Yunani dan Romani sejak dari Heredotus, Aristoteles sehinggalah Protolemaious.
Bidang Geologi, Kimia Dan Kosmologi
Sumbangan Ibnu Sina dalam bidang geologi, kimia serta kosmologi memang tidak dapat di sangsikan lagi. Menurut A. M. A shushtery, karya Ibnu Sina mengenai ilmu pertambangan (mineral) menjadi sumber geologi di Eropah. Dalam bidang kimia, beliau juga meninggalkan penemuan-penemuan yang bermanfaat. Menurut Reuben Levy, Ibnu Sina telah menerangkan bahawa bahan-bahan logam sebenarnya berbeza antara satu sama lain. Setiap logam terdiri dari pelbagai jenis. Penerangan tersebut telah memperkembangkan ilmu kimia yang telah dirintis sebelumnya oleh Jabbir Ibnu Hayyan, Bapa Kimia Muslim. Sebahagian daripada karyanya yang dapat dicatat disini adalah daripada :
1. Bidang logika "Isaguji", "The Isagoge", ilmu logika Isagoge.
2. Fi Aqsam al-Ulum al-Aqliyah (On the Divisions of the Rational Sciences) tentang pembahagian ilmu-ilmu rasional.
3. Bidang metafizika, "Ilahiyyat" (Ilmu ketuhanan)
4. Bidang psikologi, "Kitab an-Nayat" (Book of Deliverence) buku tentang kebahagiaan jiwa.
5. Fiad-Din yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin menjadi "Liber de Mineralibus" yakni tentang pemilikan (mimeral).
6. Bidang sastera arab "Risalah fi Asab Huduts al-Huruf", risalah tentang sebab-sebab terjadinya huruf.
7. Bidang syair dan prosa "Al-Qasidah al- Aniyyah" syair-syair tentang jiwa manusia.
8. Cerita-cerita roman fiktif, "Risalah ath-Thayr" cerita seekor burung.
9. Bidang politik "Risalah as-Siyasah" (Book on Politics) – Buku tentang politik.

Sumbangan Ibnu Sina
Ibnu Sina telah memperkembangkan ilmu psikologi dalam perubatan dan membuat beberapa perjumpaan dalam ilmu yang dikenali hari ini sebagai ilmu perubatan psikosomatics "psychosomatic medicine". Beliau memperkembangkan ilmu diagnosis melalui denyutan jantung (pulse diagnosis) untuk mengenal pasti dalam masa beberapa saat sahaja ketidak seimbang humor berkenaan. Diagnosis melalui denyutan jantung ini masih dipratikkan oleh para hakim (doktor-doktor muslim) di Pakistan, Afghanistan dan Parsi yang menggunakan ilmu perubatan Yunani. Seorang doktor tabii dari Amerika (1981) melaporkan bahawa para hakim di Afghanistan, China, India dan Parsi sangat berkebolehan dalam denyutan jantung di tempat yang dirasai tetapi mutunya yang pelbagai. Ini merangkumi :
a. Kuat atau denyutan yang lemah.
b. Masa antara denyutan.
c. Kandungannya lembab di paras kulit dekat denyutan itu dan lain-lain lagi.
Dari ukuran-ukuran denyutan jantung seseorang hakim mungkin mengetahui dengan tepat penyakit yang dihinggapi di dalam tubuh si pesakit. Ibnu Sina menyedari kepentingan emosi dalam pemulihan. Apabila pesakit mempunyai sakit jiwa disebabkan oleh pemisahan daripada kekasihnya, beliau boleh mendapati nama dan alamat kekasihnya itu melalui cara berikut: Caranya adalah untuk menyebut banyak nama dan mengulanginya dan semasa itu jarinya diletakkan atas denyutan (pulse) apabila denyutan itu terjadi tidak teratur atau hampir-hampir berhenti, seseorang itu hendaklah mengulang proses tersebut. Dengan cara yang sedemikan, nama jalan, rumah dan keluarga disebutkan. Selepas itu, kata Ibnu Sina "Jika anda tidak dapat mengubat penyakitnya maka temukanlah si pesakit dengan kekasihnya, menurut peraturan syariah maka buatlah". (Terjemahan). Ibnu Sina adalah doktor perubatan yang pertama mencatatkan bahawa penyakit paru-paru (plumonary tuberculosis) adalah suatu penyakit yang boleh menjangkit (contagious) dan dia menceritakan dengan tepat tanda-tanda penyakit kencing manis dan masalah yang timbul darinya. Beliau sangat berminat dalam bidang mengenai kesan akal (mind) atas jasad dan telah banyak menulis tentang gangguan psikologi. Beliau telah menghasilkan 250 buah karya dan masih kekal hingga ke hari ini dan termasuklah 116 buah karyanya dalam bidang Ilmu Perubatan. Banyak karyanya ditulis dalam bahasa Arab dan juga beberapa dalam bahasa Parsi. "Qanun Fitt Tibb" adalah karyanya yang termasyhur, paling kerap dicetak di Eropah pada zaman "Renaissance". Karya Qanun itu telah mempunyai pengaruh yang asas dalam ilmu perubatan di Eropah pada zaman Renaissance dan telah menjadi bahan rujukan yang utama di universiti-universiti Eropah hingga ke abad 17 Masihi. Selain itu, di dalam buku "Al-Qanun fit Tibb" Ibn Sina ada menulis mengenai kajiannya terhadap tumbuh-tumbuhan. Beliau telah membahagikan sesi pertama jilid ini kepada enam bab iaitu pengenalan campuran ubat dadah melalui percubaan dan kias. Manakala di bahagian kedua ia mengandungi beberapa lukisan dan peraturan. Bagi setiap tumbuhan ini beliau akan menceritakan mengenai bentuk dan sifatnya dengan tepat serta membandingkannya antara satu sama lain di samping memberikan petikan-petikan berkenaan dengan tumbuhan tersebut daripada ahli sains purba seperti Dioscorides dan Galen. Selepas itu beliau akan membuat ujian bagi setiap tumbuhan sama ada dari segi tabii ataupun sifatnya. Seterusnya Ibn Sina turut membuat kajian mengenai pelbagai tumbuh-tumbuhan herba, tanaman bunga, kulat(fungi), rumpai-rumpai(algae) dan mengambil berat mengenai pelbagai jenis tumbuhan dari spesis yang berlainan bagi setiap genus. Beliau juga membuat catatan berkenaan dengan tumbuhan yang sama dan tidak sama serta membincangkan mengenai kediaman asli(habitat) bagi setiap tumbuhan, di samping tanah yang sesuai bagi tumbuhan berkenaan sama ada bergaram atau tidak. Selain itu beliau ada menceritakan mengenai warna-warna bunga dan buah-buahan, sama ada keras atau kering; daunnya yang lebar atau sempit; bergigi atau kesemuanya bertepi. Bahagian yang terbaik baginya ialah senarai tumbuh-tumbuhan di mana beliau telah memberi pelbagai nama bagi setiap tumbuhan Yunani dan tempatan. Beliau telah merakamkan fenomena berbuah, selang-seli bagi tumbuh-tumbuhan dan palma, iaitu sebahagian pokok-pokok yang memberikan hasil yang banyak dalam satu tahun dan hasil yang sedikit bagi tahun yang lain, atau berbuah satu tahun dan tidak berbuah sama sekali dalam tahun yang lain. Ibn Sina juga ada merujuk kepada kebolehan bau dan rasa bagi setiap tumbuhan dan ia telah mendahului Karl Metz pada tahun 1934 dengan menekan betapa pentingnya diagnosis melalui getah tumbuhan.

Penutup
Ibnu Sina meniggal dunia di Hamdan, pada usia beliau 58 tahun pada bulan Ramadhan 428 Hijrah /1037 Masihi. Beliau dimakamkan di sana. Dalam rangka memperingati 1000 tanun hari kelahirannya (Fair Millenium) di Tehran pada tahun 1955 Masihi beliau telah dinobatkan sebagai "Father of Doctor" untuk selamanya-selamanya, dan di sana (Tehran) telah dibangunkan sebuah monemun sejarah untuk itu. Makam beliau di Hamdan telah di kelilingi oleh makam-makam doktor islam yang lain. Hal ini menyebabkan ahli-ahli ilmu yang baru berasa megah jika dimakamkan di mana “zeninth “ itu dimakamkan.

No comments:

Post a Comment