Monday, April 13, 2009

Kebangkitan Wanita Islam

Oleh: Aimi Sarah Bt Amran

Abstrak

Anggapan ramai selama ini bahawa wanita sebagai insan kelas dua berbanding dengan lelaki iaitu dari segi kecerdasan,akhlak dan kemampuan tenaga fizikal; adalah ternyata tidak tepat.Wanita juga mempunyai kebolehan,bakat dan kekuatan yang tersendiri,setaraf dengan lelaki.Ia dapat dilihat bukan sahaja di zaman ini,tetapi juga pada zaman silam melalui sejarah-sejarah yang akan diceritakan di sini Wanita merupakan suatu golongan yang sering dianggap sebagai lemah dan tidak setanding dengan kaum lelaki dalam segala aspek.Anggapan ini adalah tidak benar sama sekali kerana wanita mempunyai kelebihan tersendiri dan berkebolehan dalam banyak perkara.
Buku Kebangkitan Wanita Islam ini diterbitkan bagi memberi pengetahuan dan menimbulkan kesedaran di kalangan orang Islam bahawa berdasarkan sejarah,kaum wanita Islam telah memainkan peranan terpenting dalam pelbagai bidang yang sesuai dengan mereka serta dibenarkan syara’,demi membangunkan ummah dan Negara:baik di bidang akademik mahupun di bidang bukan akademik.
Kemunculan tokoh-tokoh wanita dalam sejarah memberi nafas baru kepada kebangkitan umat baik dari segi politik mahupun sastera.

Pendahuluan

Anggapan ramai selama ini bahawa wanita sebagai insan kelas dua berbanding dengan lelaki iaitu dari segi kecerdasan,akhlak dan kemampuan tenaga fizikal; adalah ternyata tidak tepat.Wanita juga mempunyai kebolehan,bakat dan kekuatan yang tersendiri,setaraf dengan lelaki.Ia dapat dilihat bukan sahaja di zaman ini,tetapi juga pada zaman silam melalui sejarah-sejarah yang akan diceritakan di sini.
Tanpa kita mengkaji terhadap kemampuan dan kebangkitan insan ini dan tanpa kita membaca sejarah kebangkitan sesuatu umat di masa silam,maka kita tidaklah memperoleh berita atau bukti yang jelas mengenai peranan mereka dalam sejarah dunia,terutama dalam perkembangan dunia atau tamadun Islam.
Dengan itu,marilah kita sama-sama mempelajari dan menyimpulkan tentang wanita Islam setelah mengetahui sejarah-sejarah masa silam yang akan dinyatakan di sini.

Islam Mengarah Mengajar Kaum Wanita

Sesungguhnya agama Islam telah mewajibkan ke atas setiap wanita Islam menuntut ilmu sebagaimana juga ke atas setiap lelaki Islam,di mana Islam telah menyamakan antara lelaki dan wanita dalam urusan-urusan kerohanian dan kewajipan keagamaan.Tegasnya Islam tidaklah membezakan antara kedua jenis insan ini dalam tugas belajar dan mengumpulkan ilmu.
Rasullullah s.a.w tidaklah membezakan antara lelaki dan perempuandalam kewajipan belajar ini,di mana ilmu pengetahuan merupakan suatu perkara yang suci dalam agama Islam;manakala mempelajarinya menjadi kewajipan individu(fardu ‘ain).
Wanita-wanita yang hidup di Zaman Jahiliah sebelum kedatangan Islam dahulu,juga mempunyai hak untuk belajar.Apabila Islam datang,maka bermulalah perkembangan fikiran yang memajukan orang Arab di mana kalangan wanita giat memainkan peranan dalam masyarakat,yang mana keadaan ini belum wujud sebelum Islam.
Contohnya Sayyidah ‘Aa’isyah bt Abu Bakar As-Siddiq(isteri Nabi s.a.w yang termuda) adalah seorang yang berkebolehan membaca al-Quran dari Mushaf manakala isteri pertama Rasullullah s.a.w,Khadijah bt Khuwailid adalah seorang wanita berilmu yang banyak membaca kitab-kitab dari langit termasuk al-Injil.

Antara Wanita-wanita Islam yang Pintar
• Al-Khunsaa’

Beliau hidup di zaman hayat Rasullullah s.a.w,dikenali sebagai tokoh penyair di mana kebanyakan syairnya adalah tentang kerinduannya terhadap 2 saudaranya.Dalam masa usaha-usaha penaklukan dan penyebaran Islam dilancarkan ke atas negeri Parsi,Khunsaa’ juga telah turut menyumbangkan semangat Islam dan keberaniannya;di mana beliau telah menyertai pasukan ke sana.Turut menyertai Khunsaa’ ialah 4 orang puteranya di mana akhirnya gugur dalam medan perang ketika itu.
• Sayyidah Sakiinah bt Sayyidina Husain

Seorang penyair wanita dan sasterawati,hebat dalam menggambarkan peristiwa yang telah berlaku dan tokoh pengkritik.Ramai penyair datang dari setiap pelusuk Negara untuk bertanding syair dengannya.
• ‘Aai’syah bt Talhah

Terkenal sebagai pengkritik syair dan nyanyian.Juga pernah mengumpulkan ahli-ahli sastera,penyair dan periwayat untuk membincangkan hal-hal kesusasteraan,syair dan riwayat.


Tugas Memberi Pelajaran Kepada Wanita

Terdapat 2 golongan berlainan pendapat tentang perkara ini:
Golongan Pertama
Golongan ini mengatakan wanita Islam cuma wajib diajarkan kitab Al-Qur’an Al-Karim dan perkara yang berhubung dengan agama Islam sahaja,tidak lebih dari itu;di mana mereka melarang mengajarkan wanita menulis dan bersyair.Pendapat begini antaranya disuarakan oleh golongan Ansar di Madinah.Golongan ini menonjolkan bahawa kaum wanita mempunyai akal yang singkat dan keagamaan yang rendah.Justeru adanya kekurangan itu,maka digalakkan kalangan tertentu yang berkebolehan dan bertaqwa mengajarkan ilmu pengetahuan kepada kaum wanita.
Golongan Kedua
Golongan yang menyeru agar kalangan yang bertanggungjawab mengajar dan memberi pendidikan kepada wanita-wanita Islam dengan sepenuhnya.Inilah pendapat yang benar dan lebih tepat iaitu berdasarkan sumber Hadith Rasullullah s.a.w yang merangsang agar wanita diberi pelajaran.
Galakan Nabi Agar Mengajar Isteri Menulis
Di negara yang melarang wanita mempunyai ilmu dan nuur(petunjuk Ilahi),maka wanita Islam di sana tinggal dalam keadaan jahil,tidak tahu membaca dan menulis.Akan tetapi,Rasullullah amat menekankan supaya suami-suami memberi pelajaran kepada isteri mereka dengan ilmu yang sepenuhnya sehingga habis semua ilmu yang dicurahkan.



Antara Wanita Istimewa Islam
• Sayyidah Khadijah
Sayyidah Khadijah bt.Khuwailid merupakan orang atau wanita pertama yqang memberi perangsang dan saranan kepada Nabi s.a.w dalam perjuangan dakwah Islam.Beliau sama-sama melibatkan diri dalam kegiatan dakwah Nabi s.a.w dan memberi sumbangan moral dengan sikapnya yang lemah-lembut serta sumbangan fikiran atau harta benda.
• Sayyidah ‘Aa’isyah
Beliau ialah puteri Abu Bakar As-Siddiq,seorang isteri Rasullullah di mana beliau menjadi wanita contoh bagi seluruh wanita Islam Arab.Beliau menjadi tempat rujukan Hadith-hadith Nabi s.a.w dan juga seorang pakar kesusasteraan,penyair dan pemidato.
• Sayyidah Fatimah Az-Zahraa
Puteri Rasullullah s.a.w sendiri yang menerima didikan adab menerusi Rasullullah s.a.w sendiri lalu terbentuklah akhlak beliau yang bagus.Fatimah tidaklah pernah mengabaikan kewajipan rumah tangganya.Beliau mempunyai fikiran yang tajam ,pengetahuan yang luas,kesempurnaan jiwa dan kebolehan menggubah syair yang bagus dan mengetahui selok-belok agama,juga banyak meriwayatkan hadith Nabi.Pertuturan dan pengucapan Fatimah amat mirip dengan cara pengucapan Nabi s.a.w.
• Sayyidah Sakinah bt Sayyidina Husain
Beliau mengatasi kecerdasan wanita-wanita lain di zamannya dalam semua aspek;memiliki idea dan kepintaran di mana beliau menjadi tumpuan para penyair dan peminat Al-Qur’an.Selain mempunyai akhlak yang sempurna,gemar belajar,dan suka menyertai majlis ulama;beliau juga merupakan seorang penyair yang terbaik di kalangan sasterawan dan pensyair.sesungguhnya beliau terkenal dengan dengan ketinggian mutu sastera dan ilmu pengetahuan yang luas.
• Sayyidah Zubaidah Permaisuri Ar-Rasyid
Beliau adalah seorang perwira wanita Islam dan pembantu Kerajaan Abbasiyah,mempunyai kedudukan yang tinggi di zamannya,berakhlak terpuji dan memiliki banyak keistimewaan.Beliaulah yang membina suatu projek bekalan air di mana beliau mendirikan telaga-telagayang berderetan dari Makkah ke Padang Arfah untuk memberi minum kepada para haji.Seterusnya beliaulah yang membina kembali kota Iskandaruunah sesudah dimusnahkan oleh kerajaan Byzantin.
• Khaizuraan
Merupakan Permaisuri Khalifah Al-Mahdi ,khalifah ketiga Bani ‘Abbaas dan dikagumi akal dan kecerdasannya,juga kesopanan dan keberaniannya di mana beliau dikunjungi oleh para menteri,ulama dan penyair.
• Buuraan
Merupakan Permaisuri Khalifah Al-Ma’muun,seorang muslimah Parsi.Beliaulah antara wanita yang mendirikan sekolah-sekolah dan hospital di kota Baghdad,Madinah As-Salaam.
• Syajaratud-Durr
Permaisuri Najmuddin Ayyuub ini pernah menceburkan diri ke medan perang menentang Raja Perancis St.Louis,sesudah kewafatan suaminya;dan beliau diiktirafkan sebagai Raja Mesir.Juga merupakan wanita yang julung-julung menjadi Raja,memerintah dengan kemahiran dan pengalaman.
• Sayyidah Mahr An-Nisaa’
Merupakan Permaisuri Parsi.Suatu peristiwa telah berlaku di mana suaminya telah tertawan dalam suatu peperangan ,lantas beliau sendiri mengepalai tentera Islam lalu beliau berjaya membebaskan suaminya daripada cengkaman musuh.Suaminya Sultan Saliim menggelar beliau “Nur Al-Qashr”(cahaya mahligai) manakala rakyat pula memanggil beliau “Nur Jihaan”(cahaya dunia).

Kegiatan Wanita Islam Dalam Politik
Meskipun lapangan politik merupakan suatu lapangan yang rumit,akan tetapi ada wanita Islam yang menceburkan diri dalam bidang ini.Penglibatan mereka ini adalah disebabkan sifat kelancaran mereka bertutur,sifat lemah-lembut mereka yang berkesan dan idea-idea yang bernas serta kebolehan mereka dalam berpidato;seperti peristiwa yang berlaku dalam peperangan antara Khalifah Ali bin Abi Talib dengan Mu’awiyah.Sesudah zaman Mua’wiyah,muncul pula tokoh-tokoh wanita Islam seperti Khaizuraan,Syajaratud-Durr yang memainkan peranan penting dalm bidang politik kerajaan Islam di masa silam.

Peluang Wanita Islam Dalam Pengajian Tinggi
Ada pendapat yang mengatakan bahawa wanita Islam hanya wajar diberi pengetahuan membaca dan menulis,sebenarnya mereka patut diberi peluang sampai ke peringkat yang lebih tinggi dari segi keilmuan ,sastera dan kebudayaan dan mereka telah pun memperoleh pencapaian yang besar dari segi pendidikan dan pembelajaran di zaman Keagungan Islam dahulu.
Wanita Islam tidaklah cukup dengan sekadar belajar dan mengumpulkan ilmu sahaja,malahan mereka ingin pula berkhidmat dan menyumbangkan tenaga agar ilmu yang diperoleh dapat pula dimanfaatkan dan dinikmati oleh umat Islam.Kebolehan mereka dalam bidang sastera,politik,kemasyarakatan,kedoktoran,kehakiman dan pendidikan dapat dimanfaatkan.

Islam Mengakui Hak Belajar Wanita
Agama Islam memang mengakui hak wanita untuk belajar sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.Justeru itu,ibu bapa berkewajipan memberi pelajaran kepada anak-anak perempuans sejak dari kecil lagi.Sesungguhnya di kalangan wanita Islam terdapat sasterawati,penulis,penyair,ahli pidato,ahli Fiqh Islam,doktor,hakim dan ahli politik.
Tidaklah diragui lagi bahawa sebaik-baik ihsan terhadap kaum wanitaialah memberikan mereka sebaik-baik pendidikan ilmiah,amaliyyah,pendidikan rumahtangga dan akhlak.Islam memang mewajibkan lelaki dan wanita menuntut dan memiliki ilmu pengetahuan,di mana Rasullullah s.a.w sendiri telah menjadikan tugas belajar itu suatu kefardhuan agama bagi setiap individu muslim dan muslimah.

Perbandingan Dengan Wanita Kristian
Sejarah Abad Pertengahan membuktikan bahawa wanita Eropah yang beragama Kristian adalah tenggelam dalam laut kejahilan.Orang Yunani kuno seperti orang Sparta memang mempunyai kemajuan dan pembangunan,tetapi wanita diperlakukan seperti barang mainan lelaki dan dipergunakan untuk kesedapan lelaki sahaja.Mereka tidak memberikan wanita mereka hak untuk mencari dan menuntut ilmu.Manakala orang-orang Perancis pula menganggap bahawa wanita wajib berada di antara 4 tembok(terkongkong dan terpenjara).
Para wanita Islam pada Abad Pertengahan telah pun mencapai kedudukan yang tinggi dari segi ilmu,kesedaran mental dan ketinggian rohani;serta telah menyertai kehidupan keagamaan,sosial dan politik untuk memajukan masyarakat.Mereka juga telah mencapai kedudukan yang tinggi dari segi kebudayaan dan ilmu di mana mereka dicemburui pula kerananya.
Berdasarkan kenyataan ini,ternyatalah tidak benar pendapat Barat bahawa kejahilan wanita Islam berpunca daripada pegangan keislaman.Islam itu adalah agama ilmu dan cahaya,bukan agama kejahilan dan kegelapan.Cuma apa yang berlaku ialah semangat penjajahan sendiri yang menyebarkan pemikiran salah terhadap Islam.

Wahai Umat Islam,Ajarilah Puteri-puterimu
Suatu realiti yang tidak diragui lagi bahawa memang banyak faedahyang akan diperolehi umat Islam sebagai natijah dari memberi pendidikan kepada puteri-puteri Islam secara sempurna;termasuklah pendidikan akhlak,keagamaan dan ilmiah.
Telah berlalu suatu masa di mana mengajar anak perempuan merupakan suatu keaiban yang memalukan.Akan tetapi kini keadaan ini telah berubah,kita dapat menyaksikan sendiri bahawa setiap ibu bapa Islam pada setiap negara Islam menjalankan tugas mendidik putera-puteri mereka tanpa membezakan antara keduanya.
Pendidikan bagi wanita ialah untuk membolehkan mereka hidup dan berdikariapabila mereka mengalami nasib malang atau kematian bapa.Berilah sepenuh perhatian kepada puteri-puterimu sebagaimana putera-puteramu.Sesungguhnya wanita itu mempunyai jasmani yang lemah jadi perkuatkanlah mereka dengan memberinya ilmu dan akhlak yang baik,malah berikan kepada mereka kebebasan belajar.Kaum wanita sanggup melaksanakan sesuatu tugas apabila dididik,sama seperti lelaki.

Kelebihan Kaum Ibu Melahirkan Ketokohan Anak
Para ibu memiliki kelebihan yang penuh dalam melahirkan anak-anak yang bakal menjadi tokoh-tokoh penting dan berguna di kalangan manusia seperti Abu Bakar As-Siddiq,Umar b Al-Khattab,Hasan dan Husain(cucu Nabi s.a.w) dan lain-lain.
Mereka menjadi berguna berpunca daripada pendidikan ibu mereka,di mana ibu mempunyai kecenderungan dan perhatian yang lebih untuk mendidik mereka serta ibu juga memainkan peranan menjadi contoh tauladan yang tinggi pada diri mereka.
Ibu memainkan peranan penting dalam kejayaan hidup anak-anak mereka.Tanpa kaum wanita yang bernama ibu ini,tidak wujudlah mereka.Pengorbanan para ibu adalah yang paling besar berbanding dengan kaum lelaki.Ini membuktikan bahawa kaum wanita juga merupakan kaum yang kuat kerana dapat menahan segala keperitan sewaktu bergelar ibu dan isteri.

Wanita Islam Hari Ini
Pada zaman penjajahan dulu,wanita Islam tidak diberi kesempatan untuk memainkan peranan.Lantaran itu mereka adalah lemah dan mundur serta ketinggalan dalam pendidikan,seterusnya mereka dibelenggu agar mereka tidak menjalankan gerakan kebebasan.
Namun pada masa kini,mereka telah diakui mempunyai persamaan dengan lelaki kecuali sesetengah perkara(tanggungjawab suami,pimpinan),dan kerana itu mereka bebas bekerja sendiri dan berdikari dalam hidup mereka.Kejayaan demi kejayaan dalam ilmu pengetahuan serta pelbagai kebolehan lain,menyebabkan mereka telah mencapai suatu taraf yang pernah dicapai oleh lelaki.Malah mereka sekarang sudah mencapai taraf yang tinggi dalam pendidikan seperti diterima untuk mengikuti pengajian di pengajian tinggi sehingga kadang-kadang melebihi jumlah kaum lelaki yang diterima di sana.
Selain itu,pekerjaan dalam semua bidang juga sudah pun disandang oleh kaum wanita dengan jayanya.Mereka juga telah diberi hak untuk memilih wakil-wakil seperti dalam pilihan raya,persatuan dan sebagainya;juga sebagai anggota parlimen dan sebagai menteri di mana wanita memberi sumbangan dalam pembangunan negara dan masyarakat.
Islam Memberikan Wanita Hak yang Sempurna
Sesungguhnya agama Islam telah mengharuskan wanita berniaga dan memberikan hak untuk pengurusannya,di mana hak itu ialah hak untuk memiliki,hak untuk menjual dan membeli,dan hak untuk menguruskan harta atau barangan yang dimiliki tanpa merujuk kepada suami.
Tambahan pula,agama Islam memberikan wanita hak untuk menerima pusaka sebagai seorang isteri,ibu,anak perempuan atau saudara perempuan kepada si mati.Jadi,Islam memberikan wanita hak untuk belajar,hak untuk memiliki dan hak dalam warisan pusaka.

Persamaan Antara Wanita Dan Lelaki
Wanita seharusnya disamakan dengan lelaki untuk mencapai kemajuan pembangunan seperti zaman dulu.Dengan itu,kita mestilah meninggalkan perkara-perkara
yang menghalang kebebasan supaya mereka dapat memberikan sumbangan bagi membina kehidupan Islam yang sempurna.
Islam menganjurkan persamaan antara lelaki dan wanita dalam pemberian pahala dan azab seksaan,juga dalam pendidikan dan pembelajaran;tiada wujud perbezaan antara lelaki dan perempuan kecuali dalam perkara nafkah kepada mereka,juga dari segi pengawasan dan mempertahankan keselamatan mereka.
Di kala Rasullullah s.a.w memulakan dasar dan pokok pengajaran Islam,beliau mengajar dan menyebarkan dasar-dasar itu kepada kaum lelaki dan wanita tanpa membezakan jantina mereka.


Kesimpulan
Seandainya umat Islam di seluruh negara Islam kini ingin kembali kepada keagungan mereka yang lampau dan berhasrat mengulangi sejarah mereka yang gemilang,maka hendaklah mereka membangkitkan semangat wanita-wanita Islam dan mendidik mereka dengan pendidikan Islam yang unggul .Dengan itu,kaum wanita zaman sekarang dapat mencapai kedudukan yang tinggi dari segi ilmu sebagaimana yang telah dicapai oleh wanita-wanita Islam di zaman keagungan Islam dahulu.Mereka juga dapat membina semangat untuk maju di medan ilmu dan kerohanian.

No comments:

Post a Comment