Monday, April 13, 2009

Mengingati Mati

Oleh: Razia Hanim Binti Hussain

Husnul Khatimah adalah cita-cita akhir bagi seorang mukmin, dengan mengharap agar segala yang dikerjakan bernilai ‘amal soleh’ dan diterima di sisi-Nya sebagai hamba yang soleh.
Namun tidak semudah yang kita bayangkan, perjalanan untuk mencapainya penuh cabaran yang terpaksa kita tempuhi. Kita harus melalui sakaratul maut terlebih dahulu.
Kematian terletak di tangan Allah, jika suah tiba masanya, kita sebagai hamba yang kerdil tidak dapat menundanya walaupun sesaat. Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 34 yang bermaksud:
“Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah dating ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat pula mempercepatkanya.”
Daripada manusia yang paling intelek sampai yang paling bodoh menyedaribahawa ia akan hadir di hadapan-Nya. Itulah sebabnya dalam salah satu firman-Nya, kematian ini di ibaratkan sesuatu yang harus diyakini. Firman Allah dalam surah A-Hijr, ayat 99 yang bermaksud:
“Dan sembahlah TuhamMu sampai datang kepadamu yang diyakini”
Kedatangan ajal tidal mengenal waktu, tempat dan keadaan manusia. Jika ajal telah datang menjemput kita, kita terpaksa menerima. Maka ketika hidup penuh dengan ujian dan cubaan ini menuntut kita agar lebih berhati-hati, di dunia sebagai ladang yang akan kita petik hasilnya di akhirat kelak.

KEWAJIPAN MENGINGATI MATI

Setiap muslim yang sentiasa mendalami wahyu Allah Taala pasti mempunyai keyakinan bahawa setiap insan pasti menghadapi saat kematiannya, mereka tidak ragu bahawa setiap insan akan dihidup dan dibangkitkan semula, mereka akan menghadapi suatu rangkaian hidup yang abadi. Bermula dengan datangnya ajal dan diikuti babak peristiwa alam barzakh, iaitu suatu kehidupan di alam kubur yang penuh dengan berbagai pancaroba, hingga menemui hari kebangkitan di Mahsyar dan alam akhirat, bagi menentukan kesudahan hidup seseorang sama ada akan menjadi ahli syurga atau neraka.

Peristiwa di alam barzakh bagi orang-orang yang beriman dan berbekalkan amal yang soleh dan ketaqwaan yang unggul, akan merasai suatu kerehatan yang damai, sementara menunggu datangnya hari kebangkitan. Tetapi bagi manusia yang ingkar yang sarat dengan beban dosa, maka alam barzakh itu merupakan episod ngeri yang dipenuhi azab sengsara, menjelang suatu kesengsaraan dan azab yang lebih besar akan dirasai ketika di mahsyar kelak.

Oleh kerana iktiqad orang yang beriman meyakini adanya kehidupan selepas mati itu, maka tidak dapat tidak manusia mesti mengetahui hal-hal yang berkait dengannya. Rasulullah telah memberitahu melalui mutiara sabdanya mengenai alam barzakh dan alam akhirat, yang semua itu mesti difahami dan diambil pengertian secara bersungguh-sungguh. Apabila tiba saatnya melalui alam tersebut, maka tidaklah terlalu terkejut dan terpinga-pinga seperti seorang yang terjebak dalam mimpi ngeri.

Terutama di akhir zaman ini semakin kurang atau amat sedikit dari kalangan manusia yang bercakap tentang kematian, alam barzakh dan seterusnya hari mahsyar. Kerana manusia sedang membangun dunianya, kebanyakan mereka dilalaikan oleh kesenangan, keindahan dan kelazatan dunia yang sementara. Sesungguhnya mereka yang memburu kesenangan duniawi ini bagaikan memburu bayang yang bergerak, sehingga kehabisan umur dan kematian pun tiba. Akhirnya mereka terkejut besar apabila Malaikat maut datang dengan mengejut untuk mencabut nyawanya, kerana tiada sebarang persiapan atau bekalan untuk menghadapi suatu perjalanan yang jauh.

Saiyidian Ali r.a. pernah berkata: "Bahawa manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya." Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam lalai atau bagaikan orang yang tertidur lena, dia akan terkejut ketika kematian tiba secara mendadak.

Berbeza dengan orang yang hatinya sentiasa mengingati mati atau tazkiratul maut, maka kematian itu bagi mereka ibarat sebuah jambatan untuk menuju kepada suatu pertemuan dengan Allah SWT yang sering disebut dan mengingatinya. Sebagaimana kisah Nabi Ibrahim Khalilullah yang didatangi oleh malaikat maut.

"Apakah ana hendak mengambil nyawaku?" tanya Nabi Ibrahim kepada Izrael.

"Benar", jawab malaikat maut.
"Tidakkah anda tahu bahawa aku adalah Khalilullah (kekasih Allah), yang selalu didampingi dan mendampingi-Nya? Adakah menasabah seorang kekasih hendak mengambil nyawa kekasihnya?"

Dengan kata-kata Nabi Ibrahim a.s. itu maka malaikat maut kembali semula mengadap Allah SWT, lalu Allah perintah Izrael supaya menemui Nabi Ibrahim dengan membawa pesanan dari Allah. Malaikat maut pun berkata kepada Nabi Ibrahim: "Justeru dengan kematian itu, bererti Allah Yang Maha Pengasih telah menjemput kekasih-Nya agar datang menemui-Nya." Dengan penjelasan malaikat maut itu maka Nabi Ibrahim a.s. amat gembira menghadapi kematian itu.

Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Hendaklah kamu membanyakkan ingat akan perkara yang boleh meleburkan kelazatan hidup," bertanya Abu Hurairah: "Apakah yang boleh meleburkan kelazatan hidup itu?" Jawab Rasulullah: "Zikrul maut" iaitu mengingati akan mati.

Kelazatan dunia merupakan penyumbang terbesar terhadap sifat lalai manusia, lalai dalam solat juga berpunca dari kelazatan dunia, dan manusia yang sedang diuliti oleh kesenangan dan kelazatan dunia pasti tidak ingin didatangi maut, kerana baginya maut adalah noktah kepada kesenangan yang sedang dikecapi di dunia ini.

Kematian menyebabkan dia rugi besar, segala kekayaan dan pangkat kebesaran akan berakhir secara mendadak, isteri atau suami disayangi terpaksa ditinggalkan, kemewahan yang melazatkan hidup akan berpindah milik kepada para waris, orng akan bersenang lenang mendapat harta pusaka tetapi dia kesepian di dalam kubur. Lantaran itu dia tidak ingin mati malah sesetengahnya ada yang benci akan kematian.

Sesungguhnya mencintai kelazatan dunia itu boleh menyebabkan manusia tidak ingat akan kematian, padahal kematian itu pasti datang sama ada dia ingat atau lupa kepadanya, sama ada dia benci atau suka kepada mati. Justeru kematian adalah suatu permulaan kepada kehidupan yang sebenar, iaitu hidup yang tidak akan disudahi dengan kematian.

Oleh kerana kehidupan selepas mati ibarat suatu perjalanan yang jauh yang memakan masa lama. Menyedari hakikat itu pasti insan memerlukan suatu persiapan yang mencukupi dan sempurna, orang yang lalai tidak pernah memikirkan persiapan menghadapi mati. Bayangkan jika secara tiba-tiba seseorang itu terlantar di padang pasir yang tandus, bila dahaga telah mencekik kerongkongnya lantas diapun terbayang mustahaknya air, tetapi baru dia sedar bahawa sedikitpun dia tidak mempunyai bekalan air itu.

Orang sering bercakap tentang rakan atau sahabat mereka yang telah kembali menyahut seruan Ilahi, si pulan telah mati dan si anu telah mati, tetapi sayangnya jarang sekali dia memikirkan bilakah kematian itu akan sampai kepada giliran dirinya. Sebelum mati itu datang, apakah persiapan yang telah dibuat?

MENGINGATI MATI PERKUKUHKAN IMAN
KEMATIAN akan datang tidak mengira siapa atau di mana kita berada. Allah berfirman dalam surah An-Nisa ayat 78 yang bermaksud: "Di mana jua kamu berada, maut akan mendatangi kamu walaupun kamu berada di dalam kota-kota yang tinggi dan kukuh". Dan dalam firman-Nya yang lain dalam surah Al-A'raf ayat 34 bermaksud: "Apabila datang ajal mereka, ia tidak akan terawal walau sesaat dan tidak akan terlewat".
Apabila ajal telah datang maka ketika itu barulah seseorang itu akan merasakan bahawa dia tidak lain hanyalah seorang hamba yang terpaksa akur kepada sunnah alam dan terpaksa bersiap sedia untuk menemui Tuhannya. Di kala itu, barulah manusia merasakan segunung penyesalan dan sedar untung nasibnya yang sebenar.
Oleh sebab itulah, telah menjadi amalan kepada salafussoleh dan ulama terdahulu menjadikan tazkiratul maut atau mengingati mati ini sebagai suatu zikir harian. Rasulullah saw sendiri pernah mengingatkan sahabatnya agar banyak mengingati mati melalui sabdanya yang bermaksud: "Perbanyakkanlah mengingati perkara yang memusnahkan kelazatan dunia (mati)".
Sahabat dan ulama adalah contoh dan teladan terbaik sebagai peribadi muslim. Mereka hidup dalam kehidupan yang murni dan sejahtera. Mereka maju dalam bidang keduniaan tetapi dalam masa yang sama mereka tidak lupa untuk mengingati bahawa mati pasti datang. Ibnu Muthi pada suatu hari memandang ke rumahnya yang tersergam indah dan berasa kagum tetapi kemudian ia menangis. Beliau berkata: "Andai kata kematian itu tidak wujud pasti aku akan lebih mencintaimu dan gembira memilikimu. Andai kata kita tidak akan dimasukkan ke dalam lubang kubur yang sempit itu sudah tentu mata kita akan terpesona melihat harta dunia ini". Lalu beliau terus menangis.
Mengingati mati menyedarkan kita bahawa hidup ini amat singkat dan kita akan dihadapkan ke hadapan Allah dengan hanya berbekalkan amalan dan amal ibadat kita. Mati adalah jambatan yang menghubungkan kehidupan kita di dunia dengan kehidupan di akhirat. Saat kematian itulah yang menjadi penentu kita di akhirat kelak. Sekiranya amalan kita ketika di dunia ini baik maka kita akan menerima ganjaran yang baik di akhirat kelak. Dan demikianlah jika sebaliknya.
Dengan kesedaran ini, manusia pasti akan berlumba-lumba membuat kebaikan dan amal soleh di muka bumi ini. Mengingati mati iaitu dengan membayangkan nikmat dan ganjaran yang bakal diterima di akhirat kelak akan menyebabkan seseorang itu tidak mahu terlepas peluang melainkan dengan membanyakkan amal ibadat. Bukan setakat itu saja bahkan mengingati mati akan mendorong mereka menjauhi segala macam kemaksiatan dan kemungkaran. Hasilnya kehidupan manusia akan sentiasa di dalam kesejahteraan dan keharmonian.
Oleh kerana itu, adalah selayaknya umat Islam menjadi umat yang hidup dalam aman dan harmoni disebabkan sikap berlumba-lumba melakukan kebajikan dan bebas daripada gejala kemaksiatan dan kemungkaran.
Antara faktor kekuatan yang membuahkan hasil sedemikian adalah adanya sifat mengingati mati di dalam diri setiap individu Islam di dalamnya. Sering memikirkan mengenai untung nasib selepas mati akan menyebabkan seseorang itu amat takut untuk melakukan kemungkaran seperti menerima rasuah, pecah amanah, menabur fitnah, mencuri, berzina dan sebagainya. Mengingatkan akan saat-saat kematian dan seterusnya azab seksa yang bakal diterima nanti, bukan saja dapat menjauhkan seseorang itu daripada melakukan maksiat bahkan ianya tidak akan terlintas langsung di kotak pemikiran mereka.
Oleh kerana itulah, tazkiratul maut atau mengingati mati ini menjadi salah satu cara dalam pendidikan Islam dan manhaj pembentukan peribadi. Tidak dinafikan juga bahawa mengingati mati atau inginkan syahid menjadi rahsia kekuatan umat Islam dalam meluaskan empayar Islam sehingga menguasai lebih sepertiga daripada muka bumi ini.
Oleh yang demikian, mengingati mati bukanlah alasan membawa kepada kemunduran dan ketinggalan di dalam segenap bidang di dunia ini bahkan ianya menjadi pendorong dan titik tolak kepada kemajuan dan kecemerlangan umat Islam di muka bumi. Sekiranya manusia tidak pernah memikirkan bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara dan kehidupan di akhirat adalah kekal abadi nescaya mereka akan terus memburu dunia dengan apa cara sekalipun tanpa mempedulikan sebarang batasan dan undang-undang. Akhirnya kehidupan manusia itu sendiri akan hancur dan porak peranda.
Bagi mengetakkan perkara ini daripada berlaku maka Islam telah datang dengan mengajar umatnya supaya mengingati mati atau tazkiratul maut ini sebagai sumber kekuatan dalam setiap tindakan demi menjamin keharmonian hidup masyarakat yang bebas daripada kemungkaran dan perbuatan yang merosakkan.
KELEBIHAN MENGINGATI MATI

1) Akan segera bertaubat kepada Allah

2) Memadai hatinya dengan apa yang ada padanya

3) Akan rajin mengerjakan ibadah.

Begitulah sebaliknya. Manusia akan dihinakan dengan 3 perkara jika ia lupa dari mengingati mati.

1) Dia lupa kepada taubat kepada Allah

2) Sentiasa tidak redha dengan apa yang ada padanya

3) Malas untuk mengerjakan ibadah kepada Allah.

MAKRUH MENGHARAPKAN MATI

Sebahagian ulama dan pendukung As-Syafie menghukumkan makruh sekiranya mengharapkan kematian kerana bahaya yang menimpanya. Namun, harus mengharapkan mati kerana risau terhadap agama, kerosakan zaman telah merebak dan seumpamanya.

Maksud sabda baginda saw :
“Jangan kamu meminta mati kerana bahaya yang menimpanya. Kalaupun terpaksa, maka katakanlah : Ya Allah Ya Tuhanku! Hidupkanlah aku sekiranya kehidupan lebih baik bagiku.Dan matikanlah aku sekiranya kematian lebih baik bagiku”

TANDA-TANDA SEBELUM MATI
Tanda 100 hari sebelum mati
Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendainya. walau bagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma sama ada mereka sedar atau tidak sahaja. tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut hingga hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan menggigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru sahaja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang manfaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan alaman dan usuran yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati
Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arasy Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. adapun malaikat maut ini wajahnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah yang akan dicabutnya.

Tanda 7 Hari Sebelum Mati
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 Hari Sebelum Mati
Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita aiaitu diantara dahi kanan dan kiri, Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang hendak memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 Hari Sebelum Mati
Akan berlaku sesudah Asar dimana kita akan merasakan satu denyutan di sbelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda Akhir
Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.


KESIMPULAN / PENUTUP


"Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Dan sesungguhnya pahala kamu akan disempurnakan pada hari kiamat. Sesiapa yang dijauhkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka dia sesungguhnya telah beruntung. Kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdayakan" ( Ali Imran : 185 )

Sesungguhnya kematian tidak dapat dipisahkan dari manusia. Kematian tidak mengenal sesiapa. Apabila sampai ajal yang ditetapkan oleh Allah, maka tiada yang boleh menolaknya.
Para ulama mengibaratkan nyawa ini seperti daun pokok yang rendang. Daun-daun ini akan gugur apabila tiba masanya; tidak kira hijau atau kuning, tua atau muda. Adakah kita telah bersedia untuk menemui masa-masa tersebut ?
Menjadi kewajiban manusia mengambil peringatan ini supaya dapat bersedia menghadapi masa tersebut. Ingatlah apabila tiba saat dicabutkan roh dari badan, pintu taubat telah tertutup. Jika kita di kalangan orang yang taat kepada Allah, maka kita adalah orang yang beruntung. Begitulah sebaliknya.

No comments:

Post a Comment