Monday, April 13, 2009

Fikah Itu Memang Best!

Oleh: Nur Farhana Bte Abdul Malik

ABSTRAK
Buku ini mengisahkan tentang pandangan orang ramai tentang ilmu fikah. Ramai yang beranggapan bahawa ilmu fikah ini amat susah untuk dipelajari dan sukar untuk difahami.
Tetapi melalui buku ini, persepsi kita akan berubah kerana mempelajari ilmu fikah amat menyeronokkan dan kita akan dapat menimba ilmu. Selain itu, kita dapat mengetahui pembahagian hukum fikah iaitu hukum taklifi dan hukum wad’i. Hukum taklifi bermaksud penjelasan Tuhan pada kedudukan suatu perkara itu samada disuruh, ditegah ataupun diberi peluang memilih. Hukum wad’I ialah hukum yang menjelaskan dan mengikat kedudukan hukum.
Fikah itu amat mudah dan menyeronokkan. Walaupun ayat-ayatnya panjang, ratusan kata, tetapi amat menyeronokkan. Objektif syarak dalam menetapkan hukum adalah dua iaitu memenuhi kepentingan atau manfaat dan menjauhkan mudarat.
Selain itu, memperkenalkan tokoh-tokoh dalam Islam yang mempertahankan ilmu-ilmu dan hukum fikah iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad. Kesemua ilmuan ini sanggup dipenjarakan dan menerima pelbagai dugaan dan cabaran dalam mempertahankan ilmu fikah.

BAHAGIAN 1
(KENAPA PERLU BELAJAR FIKAH?)

MATA RANTAI MENUJU KEBIJAKSANAAN

Menurut hadis yang direkodkan oleh Imam Tirmizi dalam sunannya jilid 5 halaman 48 berbunyi “ Seorang yang faham ilmu fikah itu lebih digeruni syaitan daripada seribu orang ahli ibadah”. Mengapakah kita perlu belajar fikah? Jawapannya mudah sahaja iaitu supaya kita tidak mudah ditipu oleh iblis dan syaitan.
Selain itu, sesiapa yang memilih sebatang jalan untuk dia menuju kepada tempat belajar, maka Allah akan menyediakan baginya sebatang jalan menuju syurga. Sementara itu, para malaikat akan membuka sayapnya untuk memayungi orang yang hendak pergi belajar itu tanda mereka menyukai orang itu.
Di samping itu, orang yang ada ilmu sentiasa didoakan oleh semua makhluk yang ada di langit dan di bumi, sehingga ikan dalam lautan pun turut mendoakan orang yang berilmu itu. Kelebihan orang yang berilmu berbanding dengan ahli ibadah seperti umpama indahnya sinaran cahaya bulan pada waktu malam berbanding bintang-bintang yang ada di langit.
Kita perlu mempelajari fikah supaya tidak ditipu oleh iblis dan syaitan. Kita tidak mahu iblis dan syaitan bergembira apabila mereka berjaya mengalahkan dan memperdayakan orang yang tidak berilmu. Tapi mengapa nabi memperkatakan bahawa oaring yang berilmu lebih utama daripada ahli ibadah? Ini kerana apabila individu itu beribadah tanpa ilmu, dia diibaratkan berjalan pada waktu malam yang gelap gelita tanpa hala tujunya dan mudah sesat.
Ini berbeza dengan dengan orang yang mempunyai ilmu kerana apabila kita beribadah, kita diibaratkan mempunyai panduan yang jelas untuk menuju destinasi dan tidak akan sesat.
Dalam surah an-Nahl ayat 43 bermaksud “ Bertanyalah kamu kepada orang yang berilmu sekiranya kamu tidak mengetahui.” Ini menunjukkan bahawa Allah meletakkan darjat yang tinggi kepada orang yang berilmu sehingga mereka dijadikan rujukan orang ramai. Sesungguhnya ilmu fikah adalah mata rantai untuk sampai kepada kebijaksanaan.

KEBIJAKSANAAN DAN MALCOLM X


Siapakah Malcom X? Beliau adalah seorang pejuang kulit hitam dan juga pemimpin The Nation Of Islam. Beliau terkenal dengan jolokan sebagai Detroit Red semasa beliau menjadi pejuang jalanan. Beliau juga pernah dipenjarakan kerana memperjuangkan hak-hak orang kulit hitam di Amerika. Dia telah dipenjarakan di Norfolk Prison Colony. Tetapi dengan takdir Allah, beliau telah mengenali Islam semasa di dalam penjara dan telah diberi petunjuk oleh Allah. Akhirnya, dia telah menganut agama Islam.
Usaha pertamanya dalam menganut Islam ialah berdakwah. Beliau telah berdakwah dengan menulis surat kepada kawan-kawannya. Selain itu, dia juga berdakwah kepada orang-orang besar di Amerika pada masa itu seperti Gabenor Massachusset, William Boston, Presiden Amerika, Harrry S. Trauman tetapi dakwah yang disampaikan gagal kerana tidak mendapat respon daripada mereka.
Malcom menjadi frust kerana kelemahan dirinya untuk menarik minat orang lain kepada Islam dan mengaku tidak mempunyai idea yang bernas dan berhujah mengenai Islam. Akhirnya beliau yang selama ini tidak pernah habis sekolah mengambil inisiatif belajar sendiri di dalam penjara. Beliau telah mengkaji ilmu-ilmu dan akhirnya dengan kesungguhan yang ada, beliau berjaya memperoleh kebijaksanaan walaupun dipagari pagar-pagar besi penjara. Beliau tekah meninggal dunia semasa berumur 39 tahun.

PERJALANAN MENUJU FIKAH

Apakah perbezaan antara syariat Islam dan hukum fikah? Dr. Yusuf Qardhawi di dalam buku Panduan Memahami Syariat Islam menjelaskan bahawa syariat adalah hukum-hakam yang digubal oleh Allah yang ditetapkan dengan dalil Al-Quran dan sunah serta cabangnya, samada kesepakatan para pakar (ijmak) atau analogi(qiyas) serta dalil-dalil lain.
Fikah pula adalah ilmu yang berkaitan dengan menyimpulkan hukum syarakyang berupa amali. Ia dikeluarkan daripada dalil-dalil yang terperinci. Imam Jurjani menjelaskan , “ Fikah itu suatu ilmu yang disimpulkan oleh pendapat seorang yang pakar (ulama) melalui penelitian dan penyelidikan.
Fikah adalah satu displin ilmu syariat seperti akidah dan akhlak. Fikah termasuk dalam kategori ilmu yang bersandarkan pada wahyu Ilahi. Menurut Dr. Yusuf Qardhawi di dalam bukunya Fiqh Keutamaan menjelaskan bahawa ilmu itu mengatur kehidupan individu Muslim, masyarakat Muslim, umat Islam, bahkan Negara Islam. Iaitu dengan melaksanakan hukum hakam Tuhan dalam diri, masyarakat dan negara.
Masyarakat Islam bukan masyarakat yang tidak mempunyai undang-undang dan peraturan social. Masyarakat Islam dibina berdasarkan hukum Allah. Hukum itdijelaskan oleh ilmu fikah. Peraturan yang ditetapkan dalam masyarakat oleh hukum fikah bertujuan supaya segala aktiviti kehidupan sesuai dengan kehendak dan perintah Allah. Secara umumnya, bagi memastikan seluruh anggota masyarakat beribadah kepada Allah s.w.t.

JANGGUT PANJANG DAN KITAB TEBAL

Masyarakat memandang ahli ilmu fikah secara stereotaip. Mereka menganggap ahli fikah perlu menyimpan janggut panjang, kena pakai serban, kena baca kitab yang berumur puluhan malahan ratusan tahun. Warna halamannya yang kekuningan dengan tulisan yang sukar dibaca. Dengan tulisan yang berbelit-belit dan sungguh menakutkan dan sukar dilakukan. Oleh sebab itu, mereka menganggap ilmu fikah itu susah.
Sebenarnya fikah itu menyeronokkan untuk dipelajari dari sudut ilmu bukan menilai ahli fikah itu secara zahir. Orang yang berilmu juga bukan dilihat melalui penampilannya sahaja. Yang paling utama dalah manfaat yang diperolehi daripada ilmu yang dipelajari.
Abu Musa al-Ash’ari melaporkan sepotong hadis daripada Nabi Muhammad yang berbunyi, “ Ilmu dan petunjuk Tuhan yang aku bawa umpama hujan yang membasahi Bumi. Ada tanah yang subur dan boleh menyerap air hujan itu. Lalu menumbuhkan rumput dan tumbuh-tumbuhan yang banyak.

Ada tanah yang gersang yang tidak boleh menyerap air. Tetapi ia menakungkan air itu. Kemudian Tuhan jadikan air yang ditakung itu mendatangkan manfaat kepada manusia. Mereka minum air itu. Mereka menyiram tanaman mereka dengan air itu. Gunakannya untuk memberi minum binatang ternakan.
Manakala tanah yang ketiga pula, ia tidak dapat menyerap air dan juga tidak boleh menakungkan air. Itulah bandingan orang yang faham (fakih) tentang agama. Lalu apa yang aku bawa dimanfaatkanolehnya. Dia berilmu dan mangajarkan ilmu.


Tanah pertama yang disebut oleh nabi dalam hadis itu adalah ibarat ahli agama yang berilmu dan faham agama atau fakih. Dia mampu memanfaatkan ilmunya bagi manfaat umat dan orang lain. Dia mampu menjadi manusia yang membawa kasih saying Tuhan pada seluruh alam. Dia ada ilmu dan mengamalkan ilmu tersebut dan diajarkan kepada orang lain.
Tanah kedua pula diibarat orang yang memelihara apa yang dilihatnya dan didengarinya. Dia mempunyai ilmu tetapi tidak mengamalkan ilmu itu. Walaubagaimanapun, dia mengajarkan ilmu yang dimilikinya kepada orang lain meskipun dia tidak mendapat apa-apa manfaat kepada dirinya, tetapi orang lain boleh mendapat manfaat itu.
Tanah ketiga pula ibarat orang yang tidak mampu menampung ilmu dan tidak pula menjadi penyalur ilmu. Dia tidak mahu menjaga ilmu yang didengar berkaitan hukum hakam agama. Dia juga tidak mahu menjaga apa yang dilihat iaitu tidak mahu mengambil pengajaran daripada kehidupan ini. Oleh sebab itu, orang seperti ini adalah orang yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat samada kepada dirinya ataupun kepada orang lai
BAHAGIAN 2
( DARI MANA HUKUM DIAMBIL?)


PEMBAHAGIAN HUKUM FIKAH

Fikah bermaksud bidang ilmu yang mengkaji hukum-hukum Islam yang bersifat amali daripada hujah yang lanjut. Hukum-hukum fikah lahir daripada ijtihad yang dilakukan oleh para pakar fikah. Ijtihad bermaksud usaha para pakar dalam memahami maksud yang terkandung dalam teks wahyu iaitu Quran dan sunnah.
Hukum terbahagi kepada 2 bentuk iaitu hukum taklii dan wad’i. Hukum taklifi bermakna penjelasan Tuhan pada kedudukan suatu perkara itu sama ada yang disuruh, ditegah ataupun diberi peluang memilih. Hukum-hukum itu adalah ;
Wajib - Adalah perbuatan yang disuruh secara tetap dan apabila ditinggalkan atau
tidak dilakukan akan mendapat dosa. Manakala yang melakukannya akan
mendapat pahala dari Allah
Sunat - Perbuatan yang disuruh secara pilihan. Sesiapa yang melakukan akan
mendapat pahala dan sesiapa yang meninggalkannya tidak berdosa.
Haram - Perbuatan yang ditegah secara tetap. Sesiapa yang melakukannya
berdosa dan dimurkai Allah. Manakala yang meninggalkannya akan
mendapat pahala.
Makruh - Perbuatan yang ditegah secara pilihan. Sesiapa yang melakukannya
tidak berdosa tetapi kalau ditinggalkan akan mendapat pahala.

Harus - Perbuatan yang diberi pilihan oleh Tuhan untuk dilakukan atau
ditinggalkan.
Jenis hukum yang kedua ialah hukum wad’i. Hukum wad’I ialah hukum yang menjelaskan dan mengikat kedudukan hukum.
1) Sebab
Adalah punca kepada penetapan suatu hukum. Contohnya perrjalanan adalah sebab hukum dibenarkan sembahyang qasar, iaitu mengurangkan bilangan rakaat sembahyang. Misalnya solat Zohor, Asar dan Isyak didirikan hanya 2 rakaat.
2) Syarat
Adalah cirri zahir yang ditetapkan oleh Tuhan. Hukum itu bergantung pada syarat yang sudah ditetapkan oleh Tuhan. Apabila tidak cukup syarat, tidak wujud hukum serta tidak wujud sebab. Contohnya, sebab diwajibkan zakat adalah cukup nilai. Apabila syarat cukup nilai tiada, tidak wajib keluar zakat.
3) Halangan
Adalah perkara yang menghalang kewujudan hukum ataupun membatalkan sebab. Contohnya, hutang menjadi halangan seseorang menunaikan zakat dan dia tidak diwajibkan berzakat.
4) Sah
Adalah perbuatan yang cukup syarat dan rukun serta tiada halangan padanya.
5) Batal
Ia adalah perbuatan yang tidak cukup syarat dan rukun ataupun ada halangan.


6) Keringanan
Ia adalah perbuatan yang diringankan oleh Tuhan apabila wujud sebab-sebabnya. Asal hukum makan bangkai adalah haram. Tetapi apabila keadaan terdesak iaitu darurat ( tida makanan dan kalau tidak makan akan mati) Tuhan mengizinkan kita makan sedikit bangkai tersebut.

JOM JADI PAKAR!
Mengetahui hukum fikah adalah asas bagi kewajipan umat Islam. Ia termasuk dalam ilmi fardu ain iaitu ilmu yang mesti diketahui oleh orang Islam. Mendalami ilmu itu dituntut oleh Islam. Tidak rugi jika kita mempelajari ilmu kerana semakin kita mencari ilmu, kita semakin yakin untuk hidup. Keistimewaan ilmu yang tidak ada pada selainnya adalah ilmu itu semakin banyak diberikan, semakin banyak kita mendapatnya.
Kita dapat terjemahkan Islam kepada 2 iaitu iman dan amal. Iman bermaksud percaya dalam hati. Manakala amal pula adalah perlakuan dan perbuatan kita yang dizahirkan oleh anggota badan. Ilmu yang berkaitan dengan iman dan akidah dinamankan ilmu tauhid. Ilmu yang mengupas membahaskan amal-amal ibadah serta hukum-hukum yang berkaitan dengannya dinamakan ilmu fikah.

SUMBER HUKUM FIKAH
1) AL-QURAN
Quran adalah kata-kata Allah yang diturunkan melalui malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad dalam bentuk mazhab. Antara mukjizat Al-Quran adalah;
 Di dalam Quran tidak terdapat pertembungan antara ayat dan ayat. Ia mempunyai irama yang indah dan rentaknya selari.
 Terdapat beberapa ayat yang menyentuh teori saintifik seperti kejadian langit dan bumi.
 Terdapat ayat yang menceritakan berkaitan sesuatu peristiwa seperti ayat yang menerangkan Rom dikalahkan.
 Apabila kita membaca Al-Quran, kita berasa tenang dan dapat menenangkan jiwa.
2) SUNNAH
Sunnah adalah setiap perkara yang lahir daripada nabi samada ucapan, perbuatan ataupun kebenaran nabi. Terdapat 3 jenis sunnah iaitu;
 Sunah ucapan atau sunnah qawliyah
 Sunah perbuatan atau sunnah fi’liyah
 Sunah kebenaran atau sunnah taqririyah
Sunnah qawliyah disebut juga oleh pakar sebagai hadis. Apabila Nabi bercakap atau menerangkan suatu hukum, para sahabat yang mendengar akan melaporkannya kepada orang lain.
Sunnah fi’liyah bermaksud perbuatan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad. Apabila para sahabat nampak nabi melakukan sesuatu, mereka melaporkan kepada orang lain.
Sunnah taqririyah ialah sunah kebenaran iaitu perbuatan yang dilakukan oleh sahabat dan nabi membenarkan para sahabat melakukannya tetapi nabi tidak melakukannya.
3) IJMAK
Ijmak bermaksud kesepakatan para pakar daripada kalangan umat Nabi Muhammad selepas beliau meninggal dunia pada zaman tertentu berkaitan suatu masalah. Apabila para sahabat berhadapan dengan masalah baru yang tidak diterangkan dalam Al-Quran dan Sunnah, mereka berkumpul dan akan membincangkan masalah tersebut bertepatan dengan kehendak syariat.
4) QIYAS
Qiyas bermaksud mengaitkan masalah yang tiada hukum yang jelas padanya dengan masalah yang ada hukum kerana ada sebab yang sama antara kedua-duanya.
Terdapat rukun Qiyas iaitu;
o Mengkaji masalah yang dinyatakan hukumnya dengan jelas dalam Al-Quran dan sunah.
o Perkara yang dikaji memag betul belum ada hukum dalam Al-Quran dan sunnah.
o Hukum masalah asal yang ditetapkan di dalam Al-Quran atau sunnah.
o Sifat yang menyebabkan hukumma masalah asal itu ditetapkan.

BAHAGIAN 3
(FIKAH ITU MUDAH DAN MENYERONOKKAN)

Dr.Yusuf Qardhawi menjelaskan maksud memudahkan dalam ilmu fikah ada 2 perkara yang patut diambil berat bagi mengembangkan ilmu fikah dalam dunis sekarang.
Pertama, memudahkan manusia memahami fikah dengan cara meluaskan pengetahuanfikah melalui alat komunikasi moden. Kedua, menudahkan hukum-hukumnya untuk dilaksanakan dan diaplikasikan di samping menghindarkan sikap memberatkan dalam melaksanakan hukum.
Imam Syafie berkata,” Berikan penjelasan kepada masyarakat berdasarkan tahap kemampuan fikiran mereka.” Lain orang lain kemampuannya.
Ilmu fikah adalah ilmu yang amat menyeronokkan untuk dipelajari. Tujuan hidup manusia tiada lain kecuali memenuhi dua tugas utama. Tugas itu adalah beribadah kepada Allah dan memakmurkan muka bumi. Ibadah dilakukan melalui dua dimensi iaitu fizikal dan rohani.
Dimensi fizikal ibadah adalah syarat-syarat dan rukun-rukun. Perkara yang hendak dilakukan itu mestilah diizinkan oleh Tuhan. Bagi memastikan perbuatan itu sah dan diterima Allah, ia perlu memenuhi syarat dan rukun yang ditetapkan.
Dimensi rohani dalam ibadah adalah ketaqwaan dan keikhlasan orang yang melakukan perbuatan itu. Keikhlasan adalah roh ibadah. Keikhlasan melakukan sesuatu kerana Allah bermula dengan kita sentiasa mengingati Tuhan iaitu dengan membaca Bismillah.


Hukum dalam Islam ditetapkan oleh Allah bagi memenuhi objektif yang ditetapkan iaitu;
o Memenuhi kepentingan atau manfaat
o Menjauhkan mudarat
Apabila manusia melaksanakan segala hukum-hakam syarak, sudah pasti segala manfaat bagi kehidupan mereka tercapai dan segala mudarat dapat dihindarkan. Jikalau kita perlu memilih antara mengelakkan mudarat dan mendapat kebaikan, kita perlu dahulukan mengelak mudarat. Ini kerana kalau mudarat sudah berlaku, maka kebaikan yang kita kejar itu pun kita tidak akan dapat.


BAHAGIAN 4
( HERO-HERO DALAM ILMU FIKAH)

IMAM ABU HANIFAH : DIPENJARA DEMI MARUAH ILMU
Namanya Nu’man bin Tsabit dan beliau dikenali dengan gelaran Abu Hanifah. Hanifah dalam bahasa Parsi bermaksud pen. Menurut satu riwayat, beliau mendapat gelaran tersebut kerana sentiasa membawa pen ke mana sahaja beliau pergi. Dengan pen tersebut, beliau menulis ilmu yang diterima daripada gurunya.
Lahir di Kota Kufah, sekarang dikenali dengan negara Iraq pada 80 hijrah bersamaan 699 Masihi. Beliau lahir dan membesar semasa pemerintahan khalifah Islamiah yang dipimpin oleh Abdul Malik b Marwan dari Bani Umaiyah.
Pada masa Abu Hanifah sedang dimuliakan oleh orang ramai kerana ilmunya, jawatan khalifah Bani Umaiyah yang berpusat di Syam disandang oleh Marwan bin Muhammad al-Ja’di. Khalifah melantik Yazid bin Umar sebagai Gabenor di Iraq. Dengan keizinan khalifah, Gabenor Yazid menawarkan jawatan hakim di Kufah kepada Abu Hanifah. Tetapi beliau telah menolak tawaran tersebut kerana tidak bersetuju dengan tindak-tanduk pemerintah pada masa itu. Sebagai hakim, beliau terpaksa berdamping dengan pemerintah dan bertanggungjawab dengan tindak-tanduknya walaupun berlawanan dengan sunnah rasul.
Disebabkan beliau menolak jawatan itu, beliau telah dipenjarakan dan disebat. Selepas dibebaskan dari penjara, kesan hukuman sebat itu jelas kelihatan pada tubuhnya. Akhirnya, beliau berpindah ke Mekah dan menetap di sana lebih daripada 6 tahun.
Selepas kejatuhan kerajaan Bani Umaiyah, kerajaan Abbasiyah pula memerintah. Sekali lagi Abu Hanifah telah ditawarkan menjadi hakim. Oleh sebab prinsip yang beliau pegang, beliau tetap menolak tawaran itu. Akhirnya, beliau dipenjarakan semula sehingga ke akhir hayat.
Beliau telah meninggal dunia semasa berumur 70 tahun pada bulan Rejab tahun 150 Hijrah semasa beliau sedang sujud dengan khusyuk dalam solat. Jenazah beliau telah dimakamkan di Tanah Perkuburan al-Khaizaran di Kota Baghdad, Iraq.

IMAM MALIK: HERO YANG MEMPERTAHANKAN SUNAH NABI

Imam Malik bin Anas dilahirkan di Madinah pada tahun 93 Hijrah. Beliau telah membesar di Madinah yang pada masa itu menjadi pusat pengajian ilmu agama. Sejak kecil beliau telah menghafal Quran dan hadis. Ingatan Imam Malik sangat kuat.
Imam Malik telah dipenjarakan oleh Gabenor Ja’afar kerana keenggannanya menarik balik fatwanya. Pada masa itu, beliau berumur 54 tahun. Oleh itu, gabenor memerintahkan supaya Imam Malik dirotan sebanyak 70 kali sebatan. Hukuman yang telah dikenakan telah mencetuskan kemarahan penduduk Madinah. Akhirnya, beliau telah dibebaskan.
Pada zaman pemerintahan al-Mansur, Imam Malik telah ditawarkan jawatan hakim. Imam Malik telah menolak jawatan tersebut tetapi beliau tidak dipenjarakan seperti Abu Hanifah. Ini disebabkan Imam Malik telah menjaga hubungan baik dengan pemerintah. Berbeza dengan Imam Abu Hanifah yang lebih tegas.
Imam Malik telah meninggal pada bulan Rabiulawal tahun 179 hijrah. Beliau telah disemadikan di perkuburan baqi’ di luar Madinah.

IMAM SYAFIE: PENGHULU IMAM DAN PEMBAHARU UMMAH

Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Idris dan dikenali dengan nama Syafie. Nama bapanya ialah Idris Abbas dan ibunya ialah Fatimah binti Ubaidillah. Beliau daripada keturunan nabi. Beliau telah dilahirkan di Kota Ghaza yang terletak di dalam daerah ‘Asalan, Palestin iaitu lebih kurang 80 kilometer dari Baitul Maqdis. Beliau telah dilahirkan dalam keadaan yatim lagi miskin.
Semasa beliau berumur 7 tahun, beliau telah berjaya menghafal Quran. Selepas itu, beliau telah memasuki kelas pengajian di masjid. Beliau telah mempelajari dan menghafal ilmu hadis dan segala masalah yang berkaitan.
Beliau telah menguasai ilmu bahasa Arab dan menjadi pakar bahasa. Beliau pernah berkata, mempelajari bahasa Arab wajib bagi setiap orang Islam samada orang Arab dan bukan Arab. Semasa di Sana’a, Yaman beliau telah berkahwin dengan Hamidah binti Nafi’, cucu Uthman bin Affan. Daripada perkahwinan itu, beliau telah dikurniakan 3 orang cahaya mata. Seorang lelaki bernama Abu Uthman Muhammad bin Muhammad bin Idris yang kemudiannya menjadi kadi di Halab, Syam. Dua lagi anaknya, adalah perempuan bernama Fatimah dan Zainab.
Imam Syafie telah menghembuskan nafas terakhir di Mesir, pada bulan Rejab tahun 204 hijrah.

IMAM AHMAD: ILMUAN YANG TEGAS

Beliau adalah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal. Lahir di Kota Baghdad pada bulan Rabiulawal, tahun 164 hijrah. Menurut cerita yang sah, keturunan Imam Ahmad bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad pada datuknya yang ke-18 bernama Nizar. Beliau adalah salah seorang ilmuan ahli sunnah wal jamaah yang terkemuka. Beliau dianggap sebagai pembaharu abad ke-3 hijrah.
Beliau membesar sebagai anak yatim. Beliau diasuh oleh ibunya sehingga dewasa. Beliau telah membesar di Kota Baghdad yang menjadi pusat pemerintahan dan pusat ilmu.
Imam Ahmad begitu berminat dalam ilmu hadis. Beliau sanggup menjelajah ke seluruh pelosok negeri apabila beliau mendengar ada orang yang melaporkan hadis. Matlamat beliau adalah mengumpulkan sebanyak mana hadis dalam khazanah ilmunya. Beliau juga tegas dalam persoalan sunnah. Mana-mana perkara yang bertentangan dengan sunnah nabi akan ditentang habis-habisan. Beliau pernah berkata, “ Sesiapa menolak hadis, dia akan tertolak hingga ke tepi jurang kebinasaan.”
Semasa pemerintahan Khalifah al-Makmun, beliau pernah dipenjarakan kerana tidak bersetuju dengan pendapat kerajaan pada masa itu. Beliau yang terkenal dengan sikap tegasnya tidak menerima pandangan ilmuan Muktazillah yang mengatakan Quran itu makhluk. Beliau telah ditangkap dan dipenjarakan. Beliau telah dibawa dari Baghdad ke tempat yang bernama Tharsus untuk dipenjarakan. Dalam perjalanan itu, kaki dan tangannya dirantai dan ditunjukkan kepada orang ramai.
Beliau juga telah dijatuhkan hukuman sebat dengan cemeti sebanyak 29 kali hingga darah mengalir daripada tubuhnya. Beliau terus dipenjarakan walaupun khalifah silih berganti. Akhirnya, semasa pemerintahan Khalifah al-Mutawakkil, beliau telah dibebaskan. Semasa beliau dibebaskan dari penjara, beliau dikatakan sudah berusia 70 tahun.
Pada hari-hari terakhir, beliau telah diserang demam panas yang berat. Pada hari Jumaat 12 Rabiulawal tahun 214 hijrah, beliau kembali ke rahmatullah semasa berumur 77 tahun.

BAHAGIAN 5
( MENYELESAIKAN MASALAH)
Perbezaan pandangan dalam masalah fikah memang tidak dapat dielakkan. Bagaimanakah kita mahu selesaikan masalah itu? Para pakar perlu berijtihad menjelaskan hukum itu dengan berpandukan petunjuk-petunjuk umum yang ada di dalam Quran dan sunnah. Apabila ilmuan berijtihad, maka sudah tentu ada perbezaan pandangan.
Kita wajib mengetahui perbezaan pandangan pakar fikah, sebagaimana kita wajib mengetahui masalah yang mereka sepakati(ijmak). Sesungguhnya perbezaan pandangan mereka adalah rahmat dan kesepakatan mereka adalah hujah.
Dr.Yusuf Qardhawi di dalam bukunya al-Sahwah al-Islamiyyah bayn al-ikhtilaf al-mashru’wa al-tafarruq al-madhmum menjelaskan, “ Sesuatu yang dapat membantu membina sikap terbuka adalah mengkaji perbezaan pendapat di kalangan ilmuan. Ia bertujuan mengetahui perbezaan pandangan mazhab dan kepelbagaian sumber pandangan itu. Setiap mereka mempunyai hujah dan dalil berdasarkan keluasan ilmu mereka dalam syariat Islam itu sendiri.
Mazhab hanyalah sebagai kumpulan pendapat berkaitan dengan masalah ranting dalam ilmu fikah. Para imam berbeza pandangan dalam menetapkan hukum sahaja, bukan pada sumber hukumnya. Semua mazhab berpegang pada Quran dan sunnah. Walaupun mereka juga berpegang pada ijmak dan qiyas, namun kedua-duanya juga diasaskan daripada petunjuk Quran dan sunnah.


Islam meletakkan setiap ilmu itu ada hubungannya antara satu sama lain. Semua ilmu berpunca daripada sumber yang satu iaitu wahyu Ilahi. Mana-mana ilmu yang bertentangan dengan wahyu akan ditolak. Semua ilmu adalah milik Allah s.w.t. dan kita dipertanggungjawabkan menguruskan ilmu itu sebaik mungkin. Kalau kita melaksanakan tanggungjawab itu, selamatlah kita. Tetapi jikalau sebaliknya, rugilah kita.
Bagi mencapai hasrat yang mulia ini, tidak ada jalan lain kecuali kita belajar berkenaan kebaikan. Kebaikan yang mampu diteladani dan dicontohi oleh umat Islam. Kita perlu kembali kepada Islam kerana hanya Islam sahaja yang mampu menyelamatkan kita di dunia dan akhirat.

DOA PERPISAHAN
Allahumma inna na’uzubika minal hammi wal hazni
Ya Allah! Kami berlindung dengan Engkau dari kerisauan dan kesedihan.
Wa na’uzubika minal’ajzi wal kasal
Dan kami berlindung dengan Engkau dari sifat lemah dan malas.
Wa na’uzubika minal jubni wal bukhli
Dan kami berlindung dengan Engkau dari sifat penakut dan kedekut.
Wa na’uzubika minal ghalabatid dayn wa qahrir rijal
Dan kami berlindung dengan Engkau dari bebanan hutang dan penindasan orang
jahat.
Itu adalah doa yang diajar oleh Nabi Muhammad kepada kita jikalau kita ada masalah. Kita digalakkan mengamalkannya di dalam kehidupan seharian. Nabi memberi amaran kepada para sahabat berkaitan 6 perkara yang akan berlaku pada akhir zaman. Beliau menjelaskan 6 perkara itu adalah , “ Hukum agama dalam jual beli, banyak syarat dikenakan, pembunuhan berleluasa, hubungan silaturrahim diputuskan, mabuk kerana minum arak dan mereka pada akhir zaman menjadikan Quran seperti bunyi-bunyian yang keluar dari seruling.
Inilah bala bencana yang menimpa umat Nabi Muhammad pada akhir zaman. Oleh sebab itu, beliau tidak mahu berjumpa dengan kecelakaan-kecelakaan seperti ini. Pada akhir zaman, umat dipimpin oleh orang yang jahil agama. Dalan hadis lain, nabi berkata, “ Kamu layak menerima kemajuan jika pemimpin kamu itu adalah daripada kalangan yang terbaik antara yang terbaik antara kamu. Orang kaya kamu adalah daripada kalangan orang yang pemurah dan urusan antara kamu dimesyuaratkan sesame kamu.


RUJUKAN
1) Alex Haley dan Malcom X. The Autobiography of Malcom X. New York: Penguin Books,1968.
2) Bukhari, Muhammad bin Ismail. Sohih Bikhari. Suntingan Mustafa Dib Bugha. Beirut: Dar Ibnu Kathir,1987.
3) Yusuf Qaradawi. Fikih Taysir: Methode Praktis Mempelajari Fikih. Terjemahan Zuhairi Misrawi dan M.Imadun Rahmat. Jakarta: Pustaka al-Kautsar,2001
4) Yusuf Qaradawi. Fiqh Keutamaan. Terjemahan Ahmad Nuryadi Asmawi. Selangor : Thinkers Library,2002
5) Yusuf Qaradawi. Sahwah Islamiyyah Bayn Ikhtilaf Mashru’ wa Tafarruq Madhmum. Kaherah:Dar Sahwah,1991
6) Zuhaili, Wahbah. Usul Fiqh Islami. Beirut: Dar al-Fikr,1986
7) Mustafa Suhaimi. Imam Abu Hanifah. Ulu Kelang : Progresif Produk,1990
8) Mustafa Suhaimi. Imam Ahmad Hanbal. Ulu Kelang: Progresif Produk,1990
9) Mustafa Suhaimi. Imam Malik. Uku Kelang : Progresif Produk,1990
10) Darimi,Abdullah bin Abdul Rahman. Sunan Darimi. Suntingan Fawaz Ahmad Zamarli dan Khalid Saba’ Alami. Beirut:Dar Kitab Arabi,1987
11) Ghazali, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad.Ihya’ Ulum al-din.Beirut : Dar Kutub Ilmiyah,2004
12) Hakim,Muhammad bin Abdullah.Mustadrak ‘ala Sohihayn.Suntingan Mustafa Abdul Qadir Ata.Beirut : Dar Kutub Ilmiyah,1990
13) Haytami,Ali bin Abu Bakar.Majma Zawa’id Beirut: Dar Kitab Arabi,1987
14) Herry Nurdi.Fiqih Itu Asyik.Jakarta: Darul Mizan,2004
15) Ibnu Abdul Bar.Mukhtasar Jami’ Bayan ‘Ilm Beirut: Dar Khayr,1992
16) Khatib Baghdadi.Kayfa Takunu Faqihan.Suntingan Amri Said Zibari.Beirut: Dar Ibn Hazm,1995
17) Muhammad Hasbi Ash Shiddiqi.Pengantar Hukum Islam.Johor Bharu: Thinkers Library,1986.
18) Muslim bin Hajjaj.Sohih Muslim.Suntingan Muhammad Fuad Abdul Baqi.Beirut: Dar Ihya’ Turath Arabi.
19) Tirmizi, Muhammad bin Isa. Sunan Tirmizi.Suntingan Ahmad Muhammad Syakir,et.al.Beirut: Dar Ihya’Turath Arabi.
20) Muhammad Nuruddin Marbu Banjari Makki.Imam Syafie Penghulu Imam dan Pembaharu Ummah.Terjemahan Muhammad Subki Abdul Rahman.Pasir Mas: Maahad Tahfiz Darul Quran wal Qiraat,2002

No comments:

Post a Comment