Monday, April 13, 2009

Liku-Liku Iblis Menipu Manusia

Oleh: Nur Farhana Bte Abdul Malik

ABSTRAK

Buku ini mengisahkan tentang liku-liku iblis menipu manusia dalam kehidupan seharian. Iblis telah berjanji di depan Allah s.w.t untuk menyesatkan umat manusia di muka bumi ini. Mengikut sejarah, iblis itu pada mulanya menyembah Allah s.w.t. bersama-sama malaikat di langit. Perintah Allah s.w.t supaya sujud itu meliputi semua, iaitu malaikat dan iblis. Namun oleh sebab iblis itu merasakan bahawa dirinya lebih mulia daripada Adam, maka ia enggan berbuat demikian. Ketika ditanya sebab keengganannya, iblis menyatakan bahawa ia sebenarnya merasakan dirinya lebih mulia daripada Adam. Iblis merasakan bahawa kejadiannya lebih mulia daripada kejadian Adam. Oleh sebab itu,ia tidak sewajarnya tunduk dan sujud memuliakan Adam. Akibat daripada itu, Allah telah menghukum kafir yang akan dibalas dengan neraka kelak. Lantas, iblis telah berjanji di depan Allah s.w.t untuk menyesatkan kaum manusia di muka bumi ini sehingga hari kiamat. Tambahan pula, membincangkan penerangan tentang qarin, ifrit, iblis dan syaitan. Dalam buku ini juga membincangkan tentang hubungan awal manusia dengan iblis, laluan iblis, tipu daya iblis dan syaitan menurut Al-Quran, laluan iblis membinasakan manusia dan penerangan tentang amalan menurun. Gangguan iblis terhadap manusia meliputi dua aspek iaitu gangguan mental dan fizikal. Selain itu juga, iblis juga dapat memasuki badan manusia melalui proses menurun. Jika keadaan ini berlaku, seseorang yang mengalami proses ini tidak sedarkan diri dan segala pergerakan badan dan pertuturan akan dikawal oleh iblis. Oleh itu, kita dinasihatkan agar tidak keluar malam dan melakukan perkara yang boleh menjurus kepada syaitan dan iblis.

MAKHLUK-MAKHLUK HALUS

Ghaib bermaksud sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan pancaindera iaitu tidak dapat dilihat dengan mata, terdengar oleh telinga. Antara contoh perkara ghaib yang wajib dipercayai oleh manusia ialah percaya kepada Allah s.w.t. Kemudian percaya tentang hari akhirat, hari kiamat iaitu alam barzakh atau alam kubur. Selain itu kepercayaan yang terkandung dalam rukun iman. Jin berasal daripada kata dasar “ jinn”, yang bererti tertutup(Munjid, 1956:102). Jin dijadikan Allah s.w.t daripada api yang tersebut dalam surah al-Hijr:27. Jin terbahagi kepada 3 iaitu golongan yang berupa seperti ular, golongan yang berupa seperti rupa anjing hitam dan golongan yang berupa seperti angina boleh terbang dan mempunyai sayap. Terdapat sejenis jin yang dikenali “shaqqq”. Golongan ini sering mengganggu mereka yang sedang bermusafir secara bersendirian. Perkataan “syaitan” dalam bahasa arab merujuk kapada sesuatu yang sombong dan terusir. Kemudian nama ini dirujuk kepada golongan jin kerana kesombongan dan terusirnya dari rahmat Allah s.w.t. Menurut nas al-Quran, iblis dijadikan daripada api yang panas dan beranak pinak. Antara tempat kegemaran jin ialah suka tinggal di tempat-tempat kotor seperti di jamban, tempat buangan sampah. Selain itu, tempat yang terpencil seperti di hutan dan paya. “Qarin” berasal dari bahasa arab yang bermaksud ‘sesuatu yang yang menyertai,sahabat’. Istilah ini merujuk kepada roh-roh jahat daripada golongan makhluk-makhluk halus yang sentiasa mendampingi manusia sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah meninggal. Qarin berusaha menggoda, merayu, memujuk dan menipu.

Terdapat beberapa pendapat yang berkaitan makan dan minum jin :
1) Jin tidak makan dan minum.
2) Sebahagian daripada jin makan dan minun, tetapi sebahagian lain tidak. Jin yang berbentuk angina tidak makan dam minum, serta tidak mempunyai keturunan. Jin yang makan dan minum berkahwin dan mempunyai keturunan.
3) Semua jin makan dan minum;
 Makan dengan mencium bau bahan tertentu tanpa menelan dan mengunyah.
 Pendapat lain menyatakan bahawa mereka makan dan menelan dan mengunyah.
Allah s.w.t. telah menjanjikan umur yang panjang, iaitu sehingga hari kiamat, namun jin itu boleh mati, iaitu sekiranya ia menyerupai objek-objek tertentu. Seperti contoh, jelmaan ular. Kalau ia dibunuh ketika menjelma, maka ia akan menerima hukum objek berkenaan iaitu menerima mati. Keterangan menunjukkan bahawa membunuh binatang, iaitu ular seperti yang dijelaskan adalah dilarang kerana terdapat jin Islam. Selain itu ular yang dimaksudkan ialah ular di dalam rumah. Ular yang berada di luar rumah tidak dilarang membunuhnya. Jikalau melihat ular dalam rumah kita diperintahkan ia keluar. Penjelmaan yang dilakukan adalah melakukan kejahatan. Setelah diberi tempoh 3 hari, tetapi ia masih menjelma, ini membuktikan bahawa jin itu bukan jin Islam. Kalau itu ular betul, ia patut dibunuh, begitu juga sekiranya ia jin kafir, kerana ia menyakiti dan menakut-nakutkan keluarga rumah. Selain menjelmakan diri seperti ular, jin juga suka manjelmakan diri kepada objek berwarna hitam, terutamanya dalam bentuk anjing dan kucing.


PERMUSUHAN ANTARA MANUSIA DAN IBLIS

Permusuhan antara iblis dan Adam a.s telah wujud sejak begitu lama lagi. Apabila Allah s.w.t. telah meniupkan roh pada jasad Adam a.s.,Allah s.w.t memerintahkan malaikat sujud kepadanya. Mengikut sejarah, iblis itu pada mulanya menyembah Allah s.w.t. bersama-sama malaikat di langit. Perintah Allah s.w.t supaya sujud itu meliputi semua, iaitu malaikat dan iblis. Namun oleh sebab iblis itu merasakan bahawa dirinya lebih mulia daripada Adam, maka ia enggan berbuat demikian. Ketika ditanya sebab keengganannya, iblis menyatakan bahawa ia sebenarnya merasakan dirinya lebih mulia daripada Adam. Iblis merasakan bahawa kejadiannya lebih mulia daripada kejadian Adam. Oleh sebab itu,ia tidak sewajarnya tunduk dan sujud memuliakan Adam. Ternyata dalam diri iblis terdapat sikap takbur yang merasakan dirinya besar dan mulia. Jadi apabila Allah memerintahkan sujud kepada satu makhluk yang kajadiannya dirasakan lebih rendah daripada dirinya, maka perbuatan sujud itu dirasakan seumpama satu penghinaan kepadanya. Adam telah membuka matanya dan mendapati dirinya dihormati. Para malaikat sedang sujud kepadanya ketika itu. Dalam masa yang sama ia menghadapi musuh yang menakutkan, yang mengancam hendak membinasakan dan menyesatkan keturunannya. Allah telah menghalau iblis keluar dari syurga, kerana keengganannya itu. Sesungguhnya, lantaran keangkuhannya itu iblis termasuk dalam golongan mereka yang hina lagi kecil. Akibat daripada itu, Allah telah menghukum kafir yang akan dibalas dengan neraka kelak. Kemurkaan Allah tidak sedikit pun menginsafkan iblis, menyedarkan dirinya untuk surut ke belakang dan bertaubat. Sebaliknya, iblis terus dengan sikap angkuhnya terhadap Allah, menyebabkannya dilaknat dan dihukumkan kafir. Bermula dari peristiwa itu secara rasmi maka termeterailah permusuhan antara iblis dan konco-konconya terhadap Adam dan anak cucunya, hingga hari kiamat. Untuk menyesatkan manusia, Iblis telah memohon kepada Allah supaya dipanjangkan umur, tidak mati hingga hari kiamat. Allah juga menyatakan bahawa iblis itu adalah makhluk yang akhir sekali dibinasakan berbanding makhluk lain. Ketika itu, tiada lagi keturunan Adam yang ada pada muka bumi ini. Iblis menyatakan keazamannya menyesatkan manusia, menggoda manusia dengan kekuatan dam keistimewaan yang ada padanya. Iblis akan memesongkan hati dan pandangan manusia daripada mengikuti perintah Allah s.w.t. Iblis akan menggoda dan menipu, menyebabkan manusia itu terpesona, hilang pertimbangan akal dan tunduk menurut kehendak nafsu, menjadikan iblis itu sebagai ketua(wali) yang berupaya memfitnah mereka. Tindakan dan godaan iblis lebih berkesan di bahagian depan dan belakang, dan kurang berkesan dari bahagian kanan dan kiri. Kesimpulannya, iblis akan sedaya upaya menyesatkan keturunan Adam supaya menjadi pengikutnya. Dalam proses menyesatkan manusia, tiada ketentuan khusus atau kategori sifat manusia yang tidak boleh dibianasakan atau digoda oleh iblis kecuali mereka yang bersifat ikhlas. Mereka yang ikhlas, akan terselamat atau terpelihara daripada godaan iblis dan syaitan.

AZAM IBLIS MENYESATKAN MANUSIA

Iblis telah bersumpah di hadapan Allah s.w.t. yang ia akan menyesatkan manusia. Semua akan disesatkan kecuali mereka yang ikhlas sahaja. Ini diakui sendiri seperti yang terkandung dalam Al-Quran surah al-Hijr : 39-40
Iblis berkata ; Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik(perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka.
Ikhlas merupakan sifat yang lahir dari hati yang lahir dari pancaran iman yang wujud pada diri seseorang. Ia adalah hasil daripada sifat-sifat terpuji yang dituntut oleh Allah s.w.t. Selain itu, lahir dari mereka yang mempunyai ilmu dan mengamalkannya. Tanpa ilmu dan amalan, sifat ikhlas yang terdapat dalam diri akan diperalatkan oleh orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Orang yang bersifat ikhlas berupaya menjalankan tugas dengan baik dan tekun. Tidak membuang masa dan tidak perlu diarah dan berurusan dengan orang yang bersifat ikhlas amat mudah. Janjinya boleh dipegang dan ditepati. Orang seperti ini akan memahami perasaan dan kesusahan yang dialami oleh orang lain akibat janji yang tidak ditepati. Dalam masa yang sama, orang yang ikhlas dapat diamanahkan dan tidak menyalahgunakan amanah yang telah diberikan kepadanya. Oleh sebab itu ia tidak dapat ditipu oleh iblis. Keikhlasan membawa manusia bekerja terus menerus . Ia mengetahui matlamat yang seharusnya dilakukan dan akhir sekali berserah kepada Allah s.w.t. Seseorang yang ikhlas itu juga akan berjaya dalam hidupnya. Menurut hadis, hanya orang yang dikasihi oleh Allah s.w.t. sahaja yang akan memperolehi sifat ikhlas. Ikhlas merupakan salah satu daripada rahsia ketuhanan yang pada hakikatnya tidak banyak diketahui oleh manusia. Namun tidak semua manusia akan memperoleh sifat ikhlas. Dalam sebuah hadis qudsi ada menyebut :
Telah berfirman Allah Taala : Ikhlas itu adalah merupakan satu rahsia daripada rahsia-Ku. Aku pertaruhkan ia dalam hati orang yang Ku-kasihi dari kalangan hamba-Ku.
Orang yang memusuhi kekasih Allah s.w.t. adalah musuh Allah. Allah s.w.t. akan melindungi hamba-Nya yang ikhlas daripada penganiyaan iblis dan manusia.

LIKU-LIKU IBLIS MENIPU MANUSIA

Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Melayu menganut kepercayaan animisme yang bertukar kepada kepercayaan Hindu ataupun Buddha. Kepercayaan ini memperlihatkan konsep semangat yang dipercayai wujud pada setiap benda, samada hidup atau mati. Semangat itu ada kalanya dirujuk makhluk-makhluk halus atau penunggu, andainya ia dirujuk kepada objek tertentu, seperti laut, sungai, pantai, hutan, pokok-pokok besar dan sebagainya. Dalam hal ini, sekiranya semangat itu merujuk kepada manusia, maka ia lebih difahami sebagai suatu objek dalaman yang perlu untuk kesejahteraan sendiri.
Semangat mempengaruhi kehidupan manusia dan berupaya mempengaruhi unsure alam. Berdasarkan kepercayaan seumpama inilah lahirnya pelbagai pantang larang dan petua-petua yang perlu diikuti. Dalam tujuan melakukan rawatan, seseorang itu perlu memperoleh kebolehan yang diperolehi atau dipelajari. Antaranya cara-caranya ialah keturunan, keturunan dan menuntut, penglibatan diri dengan makhluk-makhluk halus , pembelajaran, dan menurun.
Menurun ialah satu keadaan yang menyebabkan seseorang itu diresapi oleh makhluk-makhluk halus yang dipanggil. Ketika makhluk-makhluk halus itu menyerap dalam tubuh, orang yang berkenaan akan menjadi tidak sedarkan diri akibat resapan makhluk yang dindang tadi. Pelbagai cara yang dilakukan dalam aktiviti menurun ini. Dalam satu kajian perubatan tradisional di negeri Perlis, secara menurun yang diiringi dengan nyanyian dan alat muzik yang dikenali dengan nama ‘rebiah’. Selain itu, melibatkan jampi-jampi dalam proses menurun.
Terdapat banyak pandangan orang luar tentang menurun ini. Antaranya ialah menurut mazhab Ahli ‘s-Sunnah wa’l-Jamaah, roh merupakan objek yang mempunyai tenaga tersendiri menjadikan manusia boleh berfikir dan memahami ucapan yang didengar. Roh itu penting dalam kesejahteraan manusia dan membolehkan manusiaitu bergerak dan menggunakan akal. Penyatuan roh akan melahirkan pelbagai jenis perasaan seperti sedih, gembira, rindu dan sebagainya.
Menurut pandangan Imam Al-Ghazali pula, roh itu amat halus dan berpunca dari hati yang terpancar melalui seluruh nadi, urat dan darah. Sinar ini yang memancar keupayaan mendengar, mencium, melihat dan sebagainya. Manusia akan mati tanpa roh.
Menurut al-Juziah, roh ialah satu jisim nurani yang suci lagi ringan, yang hidup bergerak dalam tubuh manusia. Selama mana tubuh sihat, selagi itulah roh memberi kekuatan merasa, bergerak dan berperasaan. Tetapi roh itu tidak kekal dan akan menemui kematian. Rasulullah pernah bersabda :
Tidak keluar seorang daripada kamu dari dunia hingga ia tahu ke mana tempatnya dan hingga ia melihat tempatnya samada di syurga dan neraka.
Di samping kepercayaan tentang penglibatan roh-roh orang mati, ada yang beranggapan bahawa roh orang yang mati itu menjadi hantu, lebih-lebih sekiranya kehidupan orang yang berkenaan banyak melakukan kejahatan, amalan-amalan yang salah dan sebagainya. Roh dikatakan berkeliaran dan tidak diterima bumi tetapi hal yang demikian adalah tidak benar. Ini kerana roh orang mati menerima 2 nasib iaitu samada menerima nikmat dari Allah s.w.t sebagai balasan kebaikannya semasa hidup atau menanggung seksa seperti yang telah di peringatkan Allah s.w.t. Selain itu, hadis-hadis menyatakan roh mereka yang beriman bebas bergerak di syurga. Manakala mereka yang tidak beriman akan menerima balasan Allah s.w.t. Roh orang yang beriman akan berada di syurga illiyin, manakala roh orang kafir berada di dalam sijjin menurut darjahnya. Kalau diteliti, perlakuan upacara menurun mempunyai ciri-ciri utama seperti menurun melibatkan pengasapan kemenyan, sajian disediakan samada sebelum atau selepas menurun, melibatkan resapan makhluk yang tidak dapat dipastikan hakikatnya. Selain itu, orang yang menurun tidak sedarkan diri dan segala gerak-geri dan perlakuan terjadi di luar kawalan orang yang berkenaan.
Amalan menurun ini pada hakikatnya bukan hanya dilakukan oleh orang Melayu sahaja tetapi juga oleh bangsa-bangsa lain seperti India. Menurut kebudayaan India, amalan menurun ini terbahagi kepada dua iaitu menurun yang dikuasai Tuhan dan yang dikuasai oleh roh datuk nenek atau pun unsur-unsur yang lain. Menurut sami Hindu, apabila seseorang itu mengalami proses menurun, maka diri orang yang menurun itu akan dikuasai oleh Tuhan. Segala tindak tanduk termasuk kata-katayang dilahirkan dilakukan oleh Tuhan sendiri.
Manakala unsur yang dikuasai oleh roh pula mempunyai dua jenis iaitu yang negatif dan positif. Roh negatif melibatkan roh manusia yang jahat ketika hidupnya dan selepas mati roh itu digunakan untuk tujuan jahat. Roh positif adalah roh yang baik dan pada kebiasaanya proses menurun yang menggunakan roh-roh manusia dilakukan oleh bomoh atau tukang tilik.
Menurut kebudayaan Cina tradisional, menurun merupakan satu kaedah rawatan. Jampi serapah dan upacara keagaaman yang sesuai akan membolehkan mereka masuk ke dalam lembaga-lembaga yang disediakan di tempat pemujaan. Tuhan akan masuk ke dalam badan bomoh itu dan orang itu dikenali sebagai “tang kee”,sama pentingnya dengan doktor. Menurun ini merupakan keadaan seseorang yang tidak sedar atau separuh tidak sedar ketika dikuasai roh atau semangat jahat. Dikatakan juga bahawa roh itu sedia menolong apabila dipanggil.
Sebahagian daripada ilmu kebatinan Melayu melibatkan makhlus-makhluk halus. Dalam masyarakat tradisional, kekuatan yang dimiliki oleh seseorang itu meletakkan kedudukan si empunya diri di satu tahap yang berpengaruh, disegani dan digeruni oleh musuh-musuh. Oleh sebab itu, ilmu-ilmu seperti ini dituntut untuk tujuan tersebut, di samping untuk menjaga diri, keluarga juga sebagai satu sumber kehidupan.


TIPU HELAH IBLIS DAN SYAITAN YANG PERLU DIFAHAMI.

Dalam surah Al-Baqarah : 168, Allah s.w.t berfirman bermaksud bahawa, Janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Keraa sesungguhnya syaitan itu dalah musuh yang nyata bagimu. Ayat ini menjelaskan bahawa syaitan itu adalah musuh dan kita hendaklah menggangap syaitan sebagai musuh dalam apa jua keadaan sekalipun.
Penglibatan iblis jika dilihat bermula dari bayi dilahirkan sehinggalah mati. Oleh sebab itulah Rasullullah s.a.w. menyuruh supaya bayi yang dilahirkan diazankan di telinga kanannya dan diiqamahkan di telinga kirinya supaya tidak diganggu iblis yang di kenali “ ummu ‘s-sibyan”. Ummu s-sibyan adalah sejenis iblis yang sering mengganggu bayi yang boleh menyebabkan bayi tersebut menangis, demam panas dan tidak boleh tidur malam.
Gangguan makhluk halus terhadap manusia terbahagi kepada 2 iaitu gangguan fizikal dan gangguan mental. Gangguan fizikal ialah melalui gangguan syaitan dapat menimbulkan kemudaratan kepada tubuh manusia secara langsung dan tidak langsung kepada kekuasaan Allah s.w.t. Terdapat peristiwa yang berlaku membuktikannya seperti anggota badan tertentu mengalami calar-calar seperti diguris dengan benda tajam hingga mengeluarakan darah. Contohnya ialah orang yang berkelah di tepi air terjun, di hutan dan sebagainya akan seringkali terlihat lembaga yang menakutkan. Badannya akan seram sejuk dan seterusnya di ikuti dengan demam panas lalu meracau tidak sedarkan diri atauberperangai ganjil.
Selain itu, ada yang menderita bengkak kaki dan merasa bias yang teramat sangat. Bengkak itu akhirnya akan pecah dan mengeluarkan nanah dan darah. Sekiranya makhluk ini memasuki tubuh manusia dan mengganggu akal, ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan pemikiran manusia. Syaitan akan sentiasa mencari kelemahan manusia untuk membolehkannya memasuki tubuh manusia. Peristiwa-peristiwa ini melibatkan tindak tanduk makhluk-makhluk halus secara langsung tanpa melibatkan manusia. Makhluk ini mengganggu manusia jasad manusia, dan berkemungkinan besar akan memberi kesan negatif kepada mental seseorang sekiranya tidak dirawat.
Gangguan mental pula ialah syaitan akan menggoda manusia daripada mentaati perintah Allah s.w.t. Syaitan juga mendorong manusia melakukan dosa-dosa kecil berterusan, di samping melakukan dosa-dosa besar. Semuanya ini untuk mengheret manusia ke dalam neraka jahanam. Apabila di sebut tentang iblis dan syaitan, manusia pada lumrahnya akan berhati-hati. Tetapi makhluk ini tidak semestinya menampakkan diri dalam rupa yang menakutkan untuk merosakkan manusia. Cara halus yang digunakan ialah dengan menggoda dan menipu, membolehkan manusia itu percaya kepadanya tanpa menyedari bahawa sesuatu perbuatan yang dilakukannya melibatkan makhluk-makhluk halus.
Kesimpulannya, kita sebagai manusia yang telah dicipta Allah s.w.t hendaklah memgikuti perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Kita juga haruslah berhati-hati dalam kehidupan agar tidak terjebak ke dalam kancah yang tidak sihat.

RUJUKAN ;

1) Nama buku ; LIKU-LIKU IBLIS MENIPU MANUSIA
Pengarang ; DR.AMRAN B.KASIMIN
Penerbit ; DINIE PUBLISHERS
Bilangan muka surat ; 159 M/S

No comments:

Post a Comment