Friday, April 3, 2009

Mengenal Tuhan

Oleh: Nor Adila Binti Azmi

Agama Islam umpama sebatang pokok kayu. Agama Islam diumpamakan seperti sebatang pokok kayu kerana mempunyai dua ajaran. Ajaran pertama ialah kepercayaan iaitu Iman yang dinamakan Rukun Iman. Setiap orang Islam, otak dan fikirannya mesti yakin dan percaya sepenuhnya kepada enam perkara iaitu percaya kepada Tuhan yang mencipta seluruh alam, percaya kepada Malaikat yang menjaga alam ini, percaya kepada Rasul yang diutus Allah kepada manusia untuk mengajar agama yang benar, percaya Kitab Suci Allah yang diturunkan kepada Rasul-RasulNya itu, percaya kepada akhirat di mana semua yang mati akan dihidupkan kembali di dunia Akhirat dan percaya kepada Qada dan Qadar.

Di samping Rukun Iman, setiap umat Islam wajib melaksanakan lima perkara yang dinamakan Rukun Islam iaitu mengucapkan dua kalimah syahadat, mengerjakan solat lima waktu sehari semalam, mengerjakan puasa di bulan Ramadan, mengeluarkan zakat harta setelah cukup nisab dan haul sekali setahun dan mengerjakan ibadat haji ke Mekah sekali seumur hidup bagi mereka yang mampu. Rukun Iman umpama akar, Rukun Islam umpama batang, dahan dan ranting. Dengan itu, dapat disimpulkan bahawa Rukun Iman mempunyai kedudukan yang lebih penting dari Rukun Islam. Seorang umat Islam yang tidak beriman, atau lemah imannya kerana tidak dipelihara agamanya akan hidup merana kerana tidak melakukan ibadat yang dinamakan Rukun Islam. Orang yang beragama Islam yang tidak melakukan ibadat kepada Allah, ibarat pokok yang tidak berbuah.

Rukun Iman yang pertama ialah kepercayaan atau keimanan kepada Allah (Al Imaanu billah) iaitu tunjang keimanan, sumber segala kepercayaan dalam agama Islam. Apabila kepercayaan kepada Allah lemah maka agama seseorang itu akan menjadi goyah. Manusia berakal dan dapat menggunakan akal dan fikirannya akan takjub memperhatikan luasnya alam semesta. Setiap yang wujud di alam semesta ini pasti ada penciptanya. Sudah pasti ada yang mengaturnya. Jadi, yang mencipta alam semesta ini pasti satu Zat Yang Maha Besar dan Maha Agung iaitu Tuhan, Allah Yang Maha Besar. Allah itu Maha Besar, yang mencipta segala yang wujud di alam semesta ini maka pengetahuan tentang Allah adalah pengetahuan yang maha besar, pengetahuan yang tinggi, lebih penting dari pengetahuan yang lain.

Apabila kita belum begitu matang dan kukuh dalam kepercayaan terhadap Tuhan, setiap saat akal fikiran kita akan digoda oleh makhluk jahat yang bernama syaitan dan iblis. Syaitan adalah penggoda yang sentiasa menggoda kita agar kita tidak percaya kepada Tuhan. Syaitan itu mungkin buku dan mungkin juga manusia. Sekiranya syaitan itu adalah buku, kita dapat melawannya dengan membuang buku-buku yang berunsur kufur. Tetapi sekiranya syaitan itu berupa manusia, maka masalah untuk melawannya menjadi agak sukar kerana manusia di sekeliling kita tidak dapat disisihkan atau dilenyapkan begitu sahaja. Yang lebih sulit ialah godaan dari makhluk halus yang bernama iblis. Kita harus insaf, waspada dan sedar bahawa iblis bukan hanya berada di sekeliling kita tetapi juga turut berada di dalam tubuh kita, di dalam pembuluh darah yang mengalir di seluruh tubuh badan, di dalam rongga otak dan jantung kita. Allah yang kita percaya itu adalah Ghaib, Maha Ghaib. Sebab itu kita tidak dapat melihat, tidak dapat mendengar, tidak dapat memegang dengan tangan serta tidak dapat dirasai dengan lidah atau kulit.

Sekalipun Tuhan Maha Ghaib, tetapi kita dapat mengetahui bagaimana Allah, hal ini berdasarkan wahyu-wahyu yang disampaikan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad S.A.W berdasarkan Kitab Suci Al-Quranul Karim. Tuhan adalah Zat yang mencipta alam ini. Alam ini wujud kerana dicipta oleh Tuhan. Alam semesta ini dicipta oleh Tuhan maka Tuhan bersifat sempurna. Sempurna bermaksud tidak terbatas dengan sebarang batasan. Tuhan sempurna bererti Tuhan itu tidak terbatas besarnya, tidak terbatas tingginya, tidak terbatas kekuasaannya, tidak terbatas dengan titik seperti garisan, tidak terbatas dengan garis seperti dataran, tidak terbatas dengan ruang dan tidak terbatas dengan waktu. Tuhan tidak mempunyai batasan dan had, sebab itu Tuhan adalah Ghaib dari kita dan kita tidak dapat melihat Tuhan. Sesuatu yang tidak sempurna seperti makhluk, tidak akan dapat melihat sesuatu yang sempurna iaitu Tuhan. Manusia biasa tidak akan dapat melihat Allah kecuali orang yang beriman kepada Allah sahaja yang akan diberi kesempatan di Akhirat kelak untuk melihat Allah, sedangkan orang kafir tidak akan dapat melihat Allah buat selama-lamanya.

Keterbatasan otak dan akal fikiran manusia dalam menentukan siapa, dan bagaimana Tuhan yang sebenarnya telah menimbulkan pelbagai kepercayaan, pelbagai agama serta pelbagai Tuhan. Terdapat manusia yang menyembah pokok, sungai, pohon atau ranting, petir, matahari, serta manusia. Allah yang mencipta alam semesta ini memperhatikan semua yang terjadi kepada manusia. Jadi untuk memastikan keselamatan manusia dan kemanusiaan, Allah telah mengutuskan manusia-manusia istimewa iaitu Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul ke setiap pelusuk dunia untuk memberitahu Tuhan yang mencipta dan mengatur seluruh alam semesta ialah Allah, Yang Maha Tunggal, Maha Esa, tiada Tuhan selain Dia. Sebagai umat Islam, kita perlu mengelakkan diri kita dari terjerumus ke lembah syirik kerana syirik yang akan menyebabkan kepercayaan terhadap keesaan Allah menjadi goyah. Kita harus berhati-hati kerana sekiranya mulut sahaja yang mengakui keesaan Allah tetapi dalam perbuatan, dalam kehidupan seharian, kita memandang berbagai benda atau alam “seperti Tuhan”. Perbuatan inilah yang dinamakan syirik atau menyekutukan Allah. Syirik merupakan satu dosa yang besar dan yang paling berat di mana Allah sendiri tidak akan memberikan keampunan. Syirik merupakan satu dosa yang membuatkan manusia memasuki neraka malah menyebabkan manusia kekal selama-lamanya di dalam neraka.

Umat Islam ialah umat Tauhid dan agama Islam adalah agama Tauhid. Umat Tauhid bermaksud satu umat yang tidak bertuhankan selain dari Allah sahaja. Agama Tauhid bererti agama yang mengajar bahawa tiada Tuhan selain Allah. Di dalam Kitab Suci Al-Quran Al-Karim, terdapat dua kalimat tentang Allah. Pertama ialah kalimat Rabb dan kedua ialah kalimat Ilaah. Di dalam ayat al hamdulillahi rab bil ‘a lamin, terdapat kalimah Rabb untuk Tuhan dan dalam ayat wa ila hu kum ila hun wa hidun, terdapat kalimat Ilaah untuk Tuhan. Rabbul alamien ertinya Tuhan yang menciptakan seluruh alam sebab itu Tauhid Rububiyyah dapat diertikan sebagai Tauhid Penciptaan. Manakala Ilaah bermaksud Tuhan yang diabdikan, sebab itu Tauhid Ulluhiyyah ertinya Tauhid Pengabdian.

Tauhid Rububiyyah ialah pengakuan, bahawa seluruh alam ini, baik alam nyata atau alam ghaib dicipta oleh satu Tuhan, Tuhan yang satu itulah yang mencipta bumi, langit, bulan, matahari, dan bintang. Tuhan yang satu itulah yang mencipta jin, malaikat, dan iblis. Tuhan yang satu itulah yang menghidupkan segala yang hidup. Tuhan yang satu itulah yang menumbuhkan segala tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman. Tuhan yang satu itulah yang mencipta kuman dan nyamuk yang halus, malah Tuhan yang satu itulah yang mencipta gunung dan planet-planet. Tauhid Ulluhiyyah ialah hanya kepada Allah yang satu itulah kita menyembah, memuja, meminta pertolongan, beribadat dan berzikir. Hanya kepada Allah sahaja yang kita sanjung, kita puji, dan hanya kepada Allah yang satu sahaja kita meminta pertolongan dan perlindungan dari segala bahaya serta meminta kebahagiaan hidup di dunia dan Akhirat. Tauhid Rububiyyah dimiliki oleh semua manusia, yang mukmin atau yang kafir, bahkan dimiliki oleh binatang-binatang yang tidak berakal dan alam semesta atau batu-batu dan gunung-gunung. Sedangkan Tauhid Ulluhiyyah hanya dimiliki oleh beberapa orang manusia yang mengakui adanya Allah yang mencipta segala yang ada serta menunduk menyembah Allah dan beribadat menyembah Allah. Tauhid Rububiyyah tidak bernilai sekiranya tidak disertai dengan Tauhid Ulluhiyyah.

Sekiranya manusia ingin Allah meredhai mereka, ingin Allah memberikan keselamatan dan kebahagiaan dalam hidup mereka di dunia dan di akhirat, manusia perlu memperbanyakkan ibadat kepada Allah serta memperbanyakkan pujian dan syukur kepada Allah, memperbanyakkan takbir dan tasbih. Walaupun seseorang itu mengalami kesusahan dan masalah, namun sekiranya dia mengingati Allah, mengingati akan kebesaran Allah sudah pasti masalah dan kesusahan yang dihadapinya akan berkurang atau mungkin akan lenyap. Malah, apabila manusia itu benar-benar menyembah Allah serta beribadat kepada Allah dengan segala keinsafan dan kesedaran, maka melalui ibadat itu dia akan merasakan kelazatan hidup di dunia dan kelazatan di Alam akhirat nanti.

Allah itu berbeza dengan alam seluruhnya dan Allah tidak dapat disamakan dengan apa sahaja. Perbezaan antara Allah sebagai “sesuatu yang sempurna” dengan makhluk sebagai “sesuatu yang tidak sempurna” adalah perbezaan mutlak, perbezaan yang meliputi segala aspek. Zat makhluk terdiri daripada molekul-molekul. Zat Allah lain dari itu, Zat Allah bukan terdiri daripada molekul-molekul. Setiap makhluk mempunyai sifat yang terbatas. Jadi sebab itulah makhluk dikatakan “tidak sempurna”. Tetapi Allah yang menciptakan semua makhluk tersebut, mempunyai sifat yang terbatas. Allah berkuasa mencipta dan mengangkat Bumi dan langit bahkan berkuasa dan dapat mencipta serta mengangkat beribu-ribu Bumi dan langit sekiranya Allah berkehendak sedemikian. Ketinggian matahari atau planet masih dapat diukur, tetapi ketinggian Allah dan kebesaranNya tidak terbatas. Perbuatan Allah berbeza dengan perbuatan makhluk di muka bumi ini. Manusia boleh membuat sesuatu tetapi menggunakan bahan yang diciptakan oleh Allah. Jadi manusia sebenarnya hanya boleh mengubah apa yang sudah dicipta oleh Allah. Namun, hal ini berbeza dengan Allah. Allah mencipta sesuatu yang belum wujud. Allah mencipta sesuatu yang belum ada bahan, belum ada contoh, belum ada gambarannya namun Allah telah menciptanya dengan sempurna.

Allah berdiri dengan sendirinya bermaksud Allah tidak memerlukan apa-apa bantuan daripada makhlukNya. Allah mencipta bumi, matahari dan bulan tetapi Allah tidak memerlukan bumi, matahari dan bulan. Allah telah menciptakan manusia, malaikat, atau jin tetapi Allah tidak memerlukan manusia, malaikat atau jin. Hal ini yang dimaksudkan dengan Allah berdiri dengan sendirinya tanpa memerlukan apa-apa bantuan. Sebaliknya, manusia, malaikat atau jin memerlukan Allah, begitu juga dengan bumi, matahari dan bulan, kesemuanya memerlukan Allah. Sekalipun kita manusia sudah diciptakan oleh Allah dan telah diberi segala anggota tubuh, dikurniakan akal fikiran, diberikan paru-paru dan jantung, tetapi kita tidak dapat hidup tanpa bantuan Allah. Allah mencipta makhluk, mencipta Bumi, matahari, bulan, mencipta air, beras, jagung dan gula, bukan kerana Allah memerlukan Bumi, matahari atau bulan, bukan kerana Allah memerlukan beras atau gula. Semua yang dicipta oleh Allah adalah untuk memenuhi keperluan manusia.

Allah mempunyai Kekuasaan atau Qudrat. Malah Allah juga mempunyai Kemahuan atau Iradat. Sekiranya Allah tidak berkuasa, sudah tentu alam ini tidak akan wujud. Sekalipun Allah berkuasa mencipta alam semesta ini, tetapi jikalau Allah tidak mahu mencipta, sudah tentu alam semesta ini tidak akan wujud. Segala yang tercipta, wujud kerana Kekuasaan dan Kemahuan Allah, kerana Qudrat dan Iradat Tuhan Yang Maha Tunggal. Kekuasaan Allah adalah kekuasaan yang sempurna, tidak terbatas dan tidak ada kekuasaan lain yang dapat menghalang kekuasaan Allah. Seluruh alam yang luas dan kukuh ini, mungkin hanya sebahagian kecil sahaja dari alam yang sebenarnya. Mungkin terdapat berjuta-juta matahari dan Bumi serta bulan di mana manusia belum dapat menyelidikinya. Allah bersifat dengan Iradat bermaksud bersifat dengan kemahuan. Sekiranya Allah tidak mengkehendaki sesuatu, maka sesuatu itu tidak akan terjadi. Sekiranya Allah tidak mahu mencipta manusia, maka tiadalah manusia di muka Bumi ini.

Sifat wajib bagi Allah ialah Hayat ertinya Hidup. Allah bersifat hidup atau Allah itu hidup. Allah hidup dan menghidupkan ( Al Hayyu, Al Muhyii ). Sedangkan makhluk di muka Bumi ini hidup tetapi tidak dapat menghidupkan, malah bukan sahaja tidak dapat menghidupkan, mereka juga akan mati atau bercerai dengan hidup. Perbezaan inilah yang merupakan perbezaan besar antara Hidup Allah dengan hidup makhluk. Hidup Allah adalah hidup yang sempurna, hidup yang tidak berakhir dengan kematian, hidup yang bukan kerana khasiat makanan dan minuman, hidup bukan kerana sinaran dan cahaya serta bukan kerana air atau hawa. Allah hidup bukan kerana dihidupkan atau bukan kerana sesuatu. Semua makhluk yang hidup di alam semesta ini adalah bersumberkan daripada Allah. Allah akan sentiasa kekal hidup malah Allah yang akan menghidupkan atau mematikan sesuatu itu.

Allah bersifat Ilmu atau Pengetahuan. Allah berilmu ialah dengan maksud mengetahui segala sesuatu. Tidak ada sesuatu yang terjadi di alam semesta ini yang tidak diketahui oleh Allah. Ilmu Allah tidak terbatas. Allah mengetahui sesuatu yang zahir dan batin, yang nyata dan yang tersembunyi. Allah mengetahui segala yang terselindung dan tertutup rapat. Allah mengetahui segala sesuatu yang terjadi dan yang akan terjadi. Dengan ilmu yang tinggi dan sempurna, Allah telah mencipta segala benda dan alam semesta ini. Malah dengan pengetahuan yang sempurna dan tinggi, Allah telah mengadakan peraturan bagi setiap alam yang dicipta. Peraturan samada perintah atau larangan Allah itu ialah agama, yang diturunkan Allah melalui perantaraan Nabi dan RasulNya yang dari dulu sampai sekarang bernama agama Islam. Orang yang mengerti dan yakin kepada Allah, tidak akan ragu dan tidak akan membantah peraturan yang ditetapkan oleh Allah.

Sifat Allah yang wajib umat Islam percaya ialah “Kalam” bermaksud “perkataan”. Hal ini bermaksud, Allah itu berkata-kata, bukan diam atau bisu. Terdapat banyak ayat dalam Al-Quran yang menerangkan bahawa Allah itu berkata-kata contohnya seperti ‘ Qalallah ‘, ‘ Allah yaqulu ‘, ‘ Kallamallahu ‘, ‘ Qauluhu ‘ dan sebagainya. Mengikut Surah An Nisaa ayat 164, Allah berkata-kata dengan dengan sebahagian Rasul. Rasul yang dimaksudkan ialah Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Muhammad S.A.W. Seluruh ayat Kitab Suci Al-Quran yang kesemuanya berjumlah 6237 ayat, terdiri daripada perkataan dan huruf, kesemuanya adalah perkataan Allah, kalimah Allah atau Kalamullah. Al-Quran mengandungi pelajaran-pelajaran (ilmu) tentang Alam Zahir dan Alam Ghaib, perintah dan larangan (hukum) ditetapkan oleh Allah, ilmu dan hukum yang tetap, yang tidak berubah buat selama-lamanya Di samping kalamullah yang merupakan kalimah, lafaz atau kitab Suci itu, ada pula kalimah Allah yang merupakan kejadian alam, serta peristiwa yang terjadi di dalamnya. Semuanya itu berasal dari kalimah atau kalamullah.

Al-Rahman dan Al-Rahim ertinya Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Allah bersifat Al-Rahman dan Al-Rahim. Al-Rahman dan Al-Rahim berasal dari perkataan ‘rahmat’ yang bererti kasih atau sayang atau cinta. Seluruh alam yang diciptakan oleh Allah, bukan sahaja manusia tetapi juga binatang, kayu, lagit dan lain-lain, kesemuanya mendapat rahmat daripada Allah. Dengan terciptanya setiap benda atau alam itu, bererti bahawa setiap alam atau benda itu mendapat rahmat daripada Allah, iaitu rahmat ciptaan. Al-Rahman bererti Allah membahagi rahmatNya dengan sama rata kepada semua makhlukNya, baik makhluk berakal atau makhluk yang tidak berakal, makhluk yang hidup atau makhluk yang mati serta makhluk yang taat atau makhluk yang kafir. Al-Rahim ertinya Rahmat yang tidak putus, iaitu rahmat kehidupan bahagia di dalam Syurga. Namun, rahmat ini tidak menyeluruh, hanya untuk manusia yang baik sahaja. Manusia yang kafir dan ingkar, manusia yang tidak mengakui tentang wujudnya Allah atau manusia yang mengakui wujudnya Allah tetapi tidak taat dan patuh kepada Allah, mereka ini hanya akan diberikan kesenangan harta benda selama hidup di dunia ini sahaja. Namun, sekiranya mereka meninggal dunia, maka segala Rahmat Allah putus dan terhenti untuk mereka serta diganti dengan azab dan seksaan api neraka.

Sebagai umat Islam, kita semua mempercayai dan meyakini bahawa alam semesta ini adalah dicipta, dijadikan oleh Allah Maha Pencipta atau Al Khaliq. Alam yang diciptakan oleh Allah terdiri daripada dua jenis iaitu Alam Zahir di mana alam ini adalah alam yang kita dapat lihat dengan pancaindera kita. Manakala yang kedua ialah Alam Ghaib iaitu alam yang tidak dapat dilihat dengan pancaindera kita endiri, alam yang bukan terdiri daripada benda. Terdapat undang-undang baik pada alam Zahir atau alam Ghaib. Ketentuan yang berlaku pada setiap alam dan segala isinya, dinamakan Sunnatullah atau Undang-undang Allah. Sekiranya kita mempelajari Sunnah Allah yang berlaku pada alam ini, kita akan semakin percaya kepada Allah. Ertinya keimanan kita akan bertambah tebal dan kuat. Secara tidak langsung, dengan memiliki keimanan yang kuat, kita akan dapat menghadapi persoalan hidup dan kehidupan kita akan menjadi stabil, terhindar dari resah dan gelisah, serta jauh dari perasaan takut dan khuatir.

Kepercayaan atau keimanan kepada Allah adalah kesedaran tertinggi, puncak segala kesedaran dan pengetahuan. Keimanan kepada Allah yang dikatakan kesedaran tertinggi itu bukan hanya semata-mata percaya bahawa Allah wujud, hanya Allah yang mencipta seluruh alam semesta dan mengaturnya tetapi kita mestilah percaya kepada Allah dengan segala ketentuan-ketentuan yang merupakan sifatNya dan perbuatanNya. Allah mengetahui gugurnya sehelai daun, Allah sedar akan gerak geri manusia, setiap bunyi dan suara, serta setiap suara dan kalimat yang keluar dari mulut manusia. Manusia harus sedar bahawa kita diciptakan oleh Allah, lalu diberi kesempatan untuk hidup di dunia ini dengan kekuatan berfikir sehingga kita mempunyai kemampuan untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang baik atau buruk, dan kita semua akan kembali menghadap Allah untuk dipertanggungjawabkan segala gerak-geri dan tingkah laku kita selama hidup di dunia ini.

Manusia sebagai makhluk berakal selalu berfikir, menyelidik dan menetapkan kesimpulan-kesimpulan dari apa yang difikirkan dan diselidikinya. Berdasarkan kesimpulan yang dilakukan itulah dia bertindak melakukan segala perbuatan. Orang-orang yaang mempunyai jalan pemikirannya dan tindakannya benar dan baik, maka orang-orang itu akan mendapat hidayah daripada Allah. Namun, orang-orang yang mempunyai jalan pemikirannya, tindakan serta perbuatannya salah dan jahat, bererti dia tidak mendapat petunjuk dari Allah tetapi mereka terpengaruh dengan syaitan dan iblis. Nikmat pemberian Allah yang paling penting, yang paling tinggi nilainya, yang diberikan kepada manusia, bukanlah terdiri daripada nikmat kekayaan, pangkat, makanan, minuman atau sebagainya tetapi nikmat yang dimaksudkan ialah nikmat hidayah dan petunjuk daripada Allah. Setiap umat Islam diwajibkan oleh Allah untuk memohon dan meminta petunjuk 17 kali dalam sehari, iaitu dalam setiap rakaat solat. Tetapi sayangnya, tidak semua orang dapat menerima petunjuk atau hidayah daripada Allah, sebab petunjuk dan hidayah itu hanya diberikan kepada orang yang dicintaiNya sahaja.

Allah suka apabila NamaNya sering dibesarkan, disucikan dan dipuji oleh manusia, dan Allah gembira jikalau manusia meminta dariNya. Sebab itu, selain zikir, doa yang sering diucapkan juga sering mendapat tempat di sisi Allah. Maka adalah merupakan satu kesalahan besar apabila kita tidak pernah meminta dan berdoa kepada Allah. Allah menjadikan sifat kasih sayang, pemaaf, pencinta dan lain-lain sifat yang sedemikian sebagai sebahagian dari namaNya seperti Ar Rahman (Maha Pengasih), Ar Rahim (Maha Pemurah), Al Waduud (Maha Pencinta), Al Lathiif (Yang Lemah Lembut), Al Ghafuur (Maha Pengampun) dan lain-lain. Manakala berbeza dengan sifat marah dan murkanya. Sifat marah itu tidak menjadi salah satu dari Nama-nama Allah. Hanya dinyatakan bahawa Allah Zuntiqam (Pembalas segala kejahatan dengan azab seksa) dan Syadiidul ‘Iqlaab (Amat pedih seksaNya). Kecintaan terhadap Allah mesti diiringi dan disertai dengan perasaan harap dan takut (Al Rajaa’ dan Al Khauf), iaitu berharap kepada rahmat, nikmat, dan keredhaan Allah, serta takut kepada azab, seksa dan kemarahanNya. Berharap kepada Allah tidak sama dengan berangan-angan. Berharap ialah dengan berjuang memerah tenaga untuk mencapai sesuatu yang diharapkan.

Sebagai umat Islam, kita perlulah meyakini dan mempercayai akan kewujudan Allah Yang Maha Besar malah kita juga perlulah mempercayai akan Keesaan Allah Yang Esa. Tanpa Allah, siapalah kita yang lemah ini. Tanpa Allah, kita tidak akan wujud di muka Bumi ini. Jadi, seharusnya kita mesti bersyukur, serta taat akan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Kita juga mesti berusaha untuk mendapatkan petunjuk dan hidayah daripada Allah. Sekiranya kita berjaya mendapat petunjuk daripada Allah, hidup kita akan sentiasa berada dalam keadaan tenang dan aman damai. Hati yang resah juga akan menjadi tenang dan bersih. Kesimpulannya, Allah Yang Maha Kuasa memiliki kuasa untuk menjadikan kita sebagai manusia yang lemah di sisiNya. Marilah kita bersama-sama mentaati Allah. Secara tidak langsung, kehidupan kita di alam Akhirat kelak akan terjamin.

No comments:

Post a Comment