Monday, April 13, 2009

Solat Tarawih:Amalan Sepanjang Ramadhan

Oleh: Aimi Sarah Bt Amran

Abstrak
Di samping mengamalkan ibadat puasa yang diwajibkan,umat Islam digalakkan untuk mengerjakan pelbagai ibadat sunat yang ditawarkan sepanjang bulan Ramadhan yang diberkati Allah itu.Di antaranya yang utama sekali ialah ibadat solat sunat tarawih;dan seterusnya solat-solat Qiamullail(tahajjud,hajat tasbih),membaca Al-Quran,berzikir dan seumpamanya.
Allah s.w.t mengurniakan satu keistimewaan lagi iaitu malam Lailatul Qadar pada salah satu malam sepanjang bulan Ramadhan itu.Seperti yang tersebut dalam Al-Quran,surah Al-Qadr,mereka yang beribadat pada malam tersebut akan diberi pahala ganjaran seperti beribadat 1000 bulan(83 tahun).Fadhilat,kelebihan dan pahala yang paling besar dikurniakan Allah s.w.t daripada berbagai ibadat itu ialah solat sunat tarawih.

Pendahuluan
Bulan Ramadhan adalah bulan untuk memperbanyak dan melipatgandakan amal ibadat.Allah s.w.t telah berjanji untuk mengurniakan pahala dan kelebihan yang berlipat ganda,termasuk juga balasan syurga.Di antara banyak amal ibadat yang boleh dilakukan ialah iktikaf serta beribadat di dalam masjid,Qiamullail dan solat sunat tahajjud,solat sunat hajat,solat sunat tasbih,berzikir,bertahmid,membaca Al-Quran dan sebagainya.
Umat Islam sewajarnya menghidupkan suasana malam di sepanjang bulan Ramadhan dengan mengerjakan ibadat-ibadat sunat ini.Sangatlah ruginya mereka yang tidak mahu merebut peluang meraih pahala dengan beribadat solat tarawih setahun sekali ini.Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan.


Pengertian Solat Tarawih
Erti tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirehat.Solat tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isyak.Biasanya duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat tarawih,sebelum disambung semula.
Tujuan utamanya adalah untuk memberi peluang dan galakan kepada umat Islam supaya suka mengisi waktu yang terluang di dalam bulan Ramadhan,dengan ibadat-ibadat sunat seperti solat tarawih,solat witir,membaca Al-Quran,berzikir dan lain-lain.



Sejarah Solat Tarawih
Sejarah solat sunat tarawih ini dimulai oleh Rasullullah s.a.w di Masjid Nabawi.Baginda mengerjakan solat tarawih ini di masjid,lalu para sahabat mengikutnya.Pada malam berikutnya baginda mengerjakan lagi solat tarawih ini di masjid,dan para sahabat semakin ramai datang dan mengikutnya.
Pada malam ketiganya,lebih ramai lagi para sahabat telah sedia menunggu ketibaan Rasullullah s.a.w di masjid.Tetapi baginda tidak hadir dan mengerjakan solat tarawih itu di rumah.Esoknya Rasullullah s.a.w bersabda kepada mereka:”Sesungguhnya aku melihat sambutan daripada kamu.Aku tidak hadir pada malam itu hanya kerana takut solat itu diwajibkan ke atas kamu.”Jika solat tarawih itu difardhukan,tentulah agak memberati umat Islam.

Tarawih Zaman Umar Al-Khattab
Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab,semakin ramailah umat Islam mengamalkan solat sunat tarawih ini.Menurut Abdul Rahman in Ubaid Al-Qari,pada suatu malam di bulan Ramadhan,beliau pergi ke masjid bersama Khalifah Umar Al-Khattab.Setibanya di masjid,beliau dapati ramai orang yangberkelompok-kelompok membuat jemaah-jemaah mengerjakan solat ini.Sebahagiannya mengikut seorang imam dan sebahagian lagi mengikut imam yang lain.
Melihat kepada amalan yang tiada keseragaman itu,Khalifah Umar berkata:”Aku bermaksud menyuruh mereka supaya berimam kepada seorang imam yang baik bacaannya.”Seterusnya beliau menyuruh mereka berimamkan Ubai bin Ka’ab.
Pada malam berikutnya,mereka mengerjakan solat tarawih dengan seorang imam.Khalifah Umar berkata :”Ini termasuk bid’ah yang baik;tetapi orang yang tidur mendapat pahala lebih besar daripada mereka yang beramai-ramai bersolat tarawih itu.”Maksud Khalifah Umar,orang yang mengerjakan solat tarawih pada akhir malam(setelah tidur terlebih dahulu) mendapat pahala yang lebih besar daripada yang solat tarawih pada awal malam.Bid’ah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar ialah bahawa solat tarawih hendaklah dikerjakan secara berjemaah dengan pimpinan seorang imam yang baik bacaannya.


Hukum Solat Tarawih
Hukum solat tarawih ialah sunat muakkad(sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang Islam lelaki dan perempuan.Oleh kerana itu,keadaannya menjadi penyempurna bagi ibadat puasa yang wajib dan memang banyak pahalanya.Mereka yang mengerjakan ibadat puasa tetapi tidak mengerjakan solat sunat tarawih pada malamnya,seolah-olah menjadi tawar dan hambar;Berjaya tetapi tidak cemerlang.Sesungguhnya sangatlah ruginya mereka yang berpuasa Ramadhan tetapi tidak melengkapkannya dengan solat sunat tarawih.

Berjemaah Lebih Afdal
Sebagaimana yang diamalkan sendiri oleh Rasullullah s.a.w,solat sunat tarawih boleh dikerjakan dengan bersendirian ataupun secara berjemaah di masjid atau surau.Telah sepakat pendapat ulama bahawa adalah lebih afdhal solat sunat tarawih itu dikerjakan dengan berjemaah.
Rasullullah s.a.w pada mulanya mendirikan solat sunat tarawih di masjid Nabawi dengan berjemaah.Pada malam keduanya,baginda dapati sambutan begitu ramai dari para sahabat,sehingga baginda merasa bimbang kalau umat Islam kelak menganggap solat tarawih itu sebagai wajib.
Ternyata benar pada malam ketiganya menjadi bertambah ramai para sahabat yang berhimpun di Masjid Nabawi untuk mengerjakan solat sunat tarawih berjemaah bersama Rasullullah s.a.w.Tetapi baginda tidak mahu hadir,kerana bimbang umat Islam akan menganggap ibadat solat tarawih itu sebagai wajib,bukan kerana tidak mahu berjemaah.

Bilangan Rakaat Solat Tarawih
Solat sunat tarawih boleh dikerjakan sebanyak 11 rakaat termasuk 3 rakaat witir atau 23 rakaat termasuk 3 rakaat witir.Bagi umat Islam di Malaysia sejak dahulu lagi memang mengikut panduan mazhab Syafi’e iaitu mendirikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat solat tarawih dan 3 rakaat solat witir.Lagipun,solat sunat tarawih 20 rakaat mempunyai faedah dan kelebihan pahala yang lebih besar.Solat tarawih ini hendaklah dikerjakan setiap 2 rakaat 1 salam.Jika solat 20 rakaat bererti 10 salam.

Fadhilat dan Kelebihan Solat Tarawih
Malam 1:Baginda bersabda bahawa pada awal malam pertama Ramadhan ,diampuni dosa-dosa orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.
Malam 2:Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat tarawih,serta dosa kedua ibu bapanya.
Malam 3:Para malaikat di bawah ‘Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain,semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.
Malam 4:Orang-orang yang mengerjakan solat tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat,Zabur,Injil,dan Al-Quran.
Malam 5:Allah s.w.t akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram,Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
Malam 6:Allah s.w.t akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mngerjakan tarawih malam itu.
Malam 7: Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Firaun dan Hamman.
Malam 8:Allah s.w.t mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
Malam 9:Allah s.w.t mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambaNya seperti Nabi Muhammad s.a.w.
Malam 10:Allah s.w.t mengurniakan kepada kebaikan dunia dan akhirat.
Malam 11:Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.
Malam 12:Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.
Malam 13:Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.
Malam 14:Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat tarawih serta Allah s.w.t tidak akan menyesatkan mereka.
Malam 15:Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
Malam 16:Allah s.w.t menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan dalam syurga.
Malam 17:Allah s.w.t menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.
Malam 18:Malaikat akan menyeru:Wahai hamba Allah,sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan kedua ibu bapamu(yang masih hidup atau yang sudah mati).
Malam 19:Allah s.w.t akan meninggikan darjatnya di dalam syurga Firdaus.
Malam 20:Allah s.w.t mengurniakan kepadanya pahala sekalian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.
Malam 21:Allah s.w.t akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.
Malam 22:Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.
Malam 23:Allah s.w.t akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.
Malam 24:Allah s.w.t akan membuka peluang untuk 20 tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat tarawih pada malam tersebut.
Malam 25:Allah s.w.t akan mengangkat seksa kubur darinya.
Malam 26:Allah s.w.t akan mengurniakan pahala 40 tahun ibadat bagi orang-orang yang bersolat terawih pada malam tersebut.
Malam 27:Allah s.w.t akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.
Malam 28:Allah s.w.t akan menaikkan kedudukannya 1000 darjat di akhirat.
Malam 29:Allah s.w.t akan mengurniakan kepadanya pahala 1000 haji yang mabrur.
Malam 30:Allah s.w.t akan memberi penghormatan kepada orang yang berterawih pada malam terakhir dengan firmanNya(yang bermaksud):Wahai hambaku!Makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang bernama Al-Kautsar.

Selain daripada fadhilat-fadhilat yang dinyatakan,terdapat banyak lagi fadhilat dan keutamaan solat tarawih sebagaimana yang disebut dalam hadis-hadis Rasullullah s.a.w.

Iktikaf 10 Hari Terakhir Ramadhan
Terdapat beberapa hadis Rasullullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Bukari dan Muslim dari Aisyah r.a dan Ibnu Umar,bahawa Nabi s.a.w telah beriktikaf di dalam 10 hari terakhir bulan Ramadhan.
Rasullullah s.a.w meluangkan masa yang lebih untuk beriktikaf di masjid dan beramal ibadat,mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan lebih tenang,aman dan khusyuk.Baginda memutuskan kesibukannya dengan dunia luar,lalu dengan penuh khusyuk dan tawadhuk beriktikaf dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.Rasullullah s.a.w telah beriktikaf selama 10 hari terakhir bulan Ramadhan adalah untuk menunggu kedatangan malam Lailatul-Qadr.
Ibadat iktikaf ini bererti mengasingkan diri dari segala kesibukan duniawi,duduk dalam masjid sambil mengerjakan berbagai ibadat seperti solat-solat fardhu,sunat,dan berzikir mengingati Allah s.w.t.Apabila melihat seseorang sedang duduk iktikaf di dalam masjid adalah dilarang kita mengganggunya.
Orang yang ingin beriktikaf hendaklah suci daripada hadas kecil dan besar dan juga dari sebarang najis.Iktikaf hanya sah dilakukan di dalam masjid sahaja tetapi kaum wanita boleh iktikaf di dalam rumah,di tempat yang dikhaskan .Jika bersuami hendaklah meminta izin suami terlebih dahulu.Mereka yang sedang iktikaf hanya diharuskan keluar dari masjid untuk menunaikan keperluan-keperluan penting sahaja;seperti makan minum,membuang air dan seumpamanya.Keluar dari masjid untuk bersetubuh dengan isteri tidak dibenarkan.Mereka juga perlu berniat iktikaf.

Tanda-tanda Malam Lailatul-Qadr
Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran surah Al-Qadr,malam Lailatul-Qadr itu mempunyai fadhilat dan kelebihan yang amat besar.Faedah dan ganjarannya bagi mereka yang beriktikaf dan beribadat pada malam tersebut adalah menyamai ibadat beriktikaf selama 1000 bulan atau 83 tahun.
Imam-imam mazhab termasuk Imam Syafi’e masing-masing telah membuat kajian;ada yang berpendapat malam Lailatul-Qadr itu berlaku pada malam 27 Ramadhan,21 Ramadhan dan sebagainya,masing-masing dengan hujahnya.Bagaimana pun Allah s.w.t jua yang mengetahuinya.
Hasan Al-Basri meriwayatkan bahawa tanda-tanda turunnya malam Lailatul-Qadr;di antaranya ialah suasana alam pada malam itu tenang,damai dan tenteram,tidak panas dan tidak pula terlalu dingin.Cahaya matahari keesokan harinya tidak terik.
Dalam Sahih Muslim disebutkan bahawa pada malam Lailatul-Qadr seramai 70,000 malaikat turun dari Sidratul-Muntaha ke bumi.Mereka membawa rahmat Allah memasuki rumah-rumah dan memberi salam kepada orang-orang Islam,kecuali rumah orang yang ada anjing.Apabila matahari naik esoknya,malaikat-malaikat itu naik semula ke langit dengan serentak.Sayap puluhan ribu malaikat itu melindungi pancaran panas cahaya matahari,menyebabkan suasana di bumi dingin dan tenang.

Rujukan
Haji Johari Haji Alias(1995) , Solat terawih:Amalan Sepanjang Ramadhan dan Awal Syawal . Kuala Lumpur : Darul Nu’man

1 comment:

  1. Salam Tuan,
    Hadis Fadhilat dan Kelebihan Solat Tarawih adalah palsu.
    Rujukan: http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-al-hadith/1283-irsyad-al-hadith-siri-ke-86-hadith-kelebihan-solat-sunat-tarawih-setiap-malam

    ReplyDelete